Skip to main content

Peribahasa adakalanya mengongkong dan membantut

Peribahasa merupakan salah satu warisan yang diwarisi sejak berkurun lamanya. Peribahasa sentiasa diungkap sama ada dalam bentuk realis atau ambiguiti. Namun tidak pernah dikatakan bahawa peribahasa adakalanya mengongkong pemikiran dan membantut pembangunan dan kemajuan. Apa yang dikatakan dan dinyatakan tidak lain dan tidak bukan ialah peribahasa sesuatu yang indah dan mempunyai nilai-nilai estetika linguistik.

Terdapat beberapa contoh peribahasa yang jelas mengongkong cara berfikir dan membantut usaha kearah pembangunan diri. Adakah ini disebabkan kesan daripada akar warisan leluhur dan nenek moyang yang telah lama bersarang didalam jiwa masyarakat kita? Atau adakah masyarakat kita menerima peribahasa bulat-bulat tanpa memikir pro dan kontra?

Masyarakat Melayu boleh dikatakan masyrakat yang memiliki begitu banyak peribahasa. Peribahasa masyarakat Melayu sememangnya mendidik orang Melayu secara halus. Disamping itu juga peribahasa digunakan sebagai pengingatan atau penyedaran diri agar terhindar daripada melakukan kesalahan dan kesilapan.

Peribahasa Melayu ada mengatakan "hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri baik lagi dinegeri sendiri." Ungkapan peribahasa ini jelas menunjukkan yang "negeri orang" lebih baik dari semua segala segi jika dibandingkan dengan negeri sendiri. Ia juga menyatakan bahawa "negeri sendiri" walaupun tidak sebaik negeri orang tetap menjadi terbaik buat diri sendiri.

Daripada sudut politik, peribahasa sebegini dapat menanam semangat akan cintakan negara yang juga dikenali sebagai isme patriotik dan nasional. Sudah tentu peribahasa sebegini sentiasa bermain didalam akal kotak pemikiran dan meniti dibibir "golongan kuasa" yang ingin terus berkuasa walaupun rakyat menolaknya secara total. Namun daripada sudut sosial dan ekonomi apatah lagi globalisasi, peribahasa sebegini secara total tidak berguna langsung. Ini kerana ia boleh mempengaruhi "set minda" individu khasnya dan masyarakat amnya.

Minda seseorang yang telah dikunci dengan peribahasa sebegini jelas berada dalam keadaan statik dan tidak menunjukkan sebarang peningkatan apabila berada diatas percaturan "membangun" yang serba rumit dan mencabar keupayaan. Ini kerana setiap apa yang diperoleh di negeri sendiri sudah dianggap baik dan tiada apa lagi yang diperlukan untuk meningkatkan tahap "baik" itu.

Di negara Jepun umpamanya, walaupun masyarakatnya sentiasa terikat dengan perkara-perkara yang berunsur tradisi dan kebudayaan (Bushido), mereka sentiasa berusaha untuk menjadi yang terbaik walaupun mereka sudah diakui sebagai yang terbaik. Pengorbanan mereka ialah "mengubah" apa-apa saja yang boleh menghalang kemajuan. Maka tidak hairanlah selepas peristiwa pengeboman Hiroshima dan Nagasaki pada 1945, Jepun telah muncul dan menjadi bangsa yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Peribahasa "biar lambat asalkan selamat" juga boleh disifatkan sebagai pembantut kemajuan. Ini kerana peribahasa sebegini menggalakan pengamalnya sentiasa dan supaya lambat apabila melakukan sesuatu. Alvin Toffler dalam tulisannya (The Third Wave) ada menyatakan manusia zaman gelombang ke-3 perlu serba pantas seiring dengan perkembangan teknologi semasa. Jika manusia "gelombang ke-3" berada dalam keadaan lambat sudah tentu kemajuan yang ingin dicapai akan memakan masa yang agak lama sedangkan manusia "bangsa lain" sudah mencapai kemajuan dalam masa yang tidak begitu lama.

Namun demikian peng"anti"an terhadap peribahasa tidak boleh diamalkan kerana peribahasa sedikit-sebanyak mendorong diri kearah kepositifan. Apa yang perlu ialah keterikatan terhadap peribahasa yang boleh membantut pemajuan diri perlu dilonggarkan dengan mengubah sedikit peribahasa yang diguna amal pakai.

"Peraturan tidak akan melahirkan genius."

- Prof Emeritus Dr Khoo Kay Kim

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.