Skip to main content

Belanjawan 2011 dan realiti ekonomi - untung dan rugi

Pembentangan Belanjawan 2011 oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak, 15 Oktober lalu, disifatkan sebagai realistik selain membawa kemakmuran ke seluruh pelosok negara dengan mengambil kira keperluan segenap lapisan rakyat Malaysia. Ia seterusnya dilihat sebagai cukup penting dalam pembangunan ekonomi negara, di samping menandakan titik peralihan dalam proses mentransformasi ekonomi Malaysia ke arah sebuah negara maju dan ekonomi berpendapatan tinggi.

Realiti ekonomi yakni untung dan rugi adalah realiti yang tidak boleh dimatikan dengan jawaban ambiguiti mahupun abstrak. Ia memerlukan perincian, dan adakalanya memeningkan. Realiti ekonomi, untung dan rugi, bukan sahaja wujud dalam ekonomi tetapi juga wujud dalam politik dan sosial. Maka adalah tidak menghairankan jika teori ekonomi klasik, The Wealth of Nations (Adam Smith, 1776), tidak dianggap sebagai sains ekonomi tetapi dianggap sebagai sains politik.

Walaupun prospek ekonomi global pada tahun 2011 masih menggalakkan, diunjur berkembang 4.2 peratus berbanding 4.8 peratus tahun sebelumnya, namun ia dilihat belum mampu menjanjikan rangsangan pertumbuhan positif terhadap ekonomi Malaysia. Oleh hal yang demikian, kerajaan memerlukan mekanisme yang lebih fleksibel terhadap realiti ekonomi - untung dan rugi - dalam membangun dan mentransformasi ekonomi Malaysia. Mekanisme yang lebih fleksibel terhadap realiti ekonomi, untung dan rugi - sektor swasta.

Pakar ekonomi menyifatkan Belanjawan 2011 menunjukkan kelainan dalam keutamaan kerajaan - meletakkan sektor swasta sebagai enjin utama kerajaan. Secara teori dan empirik, penyifatan pakar ekonomi ini terhadap kelainan Belanjawan 2011 berkait rapat dengan realiti ekonomi, untung dan rugi, kesan daripada kecelaruan dan kekalutan percaturan ekonomi domestik, ekonomi antarabangsa, dan ekonomi global. Ada apa dengan sektor swasta sehingga kerajaan meletakkan ia sebagai enjin utama?

Sektor pembuatan, sektor perkhidmatan, sektor pertanian, sektor perlombongan, dan sektor pembinaan dijangka berkembang pada peratusan yang memberangsangkan, selain dijangka memberi kesan positif terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Seandainya kelima-lima sektor tersebut dijana oleh pihak swasta, secara separuh atau hampir keseluruhan, terutamanya sektor perkhidmatan, secara teorinya kerajaan dapat mengurangkan beban tanggungan kewangan "negara" secara keseluruhannya.

Dalam masa lima hingga sepuluh tahun dari sekarang, kadar isi rumah yakni rakyat, berupaya mencecah angka 30 juta lebih. Kenaikan kadar pertambahan isi rumah sama ada secara aritmetik mahupun secara geometrik, bakal pasti "memeningkan" kerajaan. Kenaikan kadar pertumbuhan isi rumah, menyebabkan kerajaan berhadapan dengan persoalan (1) penyediaan pekerjaan, (2) pengangguran, dan (3) inflasi dan stagflasi. Ketiga-tiga persoalan ini hanya dapat dimatikan oleh kerajaan melalui peletakan sektor swasta sebagai enjin utama kerajaan.

Andaikata sektor swasta menguasai hampir atau lebih 70 peratus kelima-lima sektor tersebut, sektor perkhidmatan terutamanya, kerajaan hanya akan bergelut dengan persoalan (3) inflasi dan stagflasi selain "bagaimana hendak mempelbagaikan kutipan cukai" dan "bagaimana hendak menambahkan pendapatan "negara." Walaupun hanya bergelut dengan persoalan (3) inflasi dan stagflasi, secara empirikal ekonomi kerajaan tidak akan terlepas dengan persoalan (1) penyediaan pekerjaan, dan (2) pengangguran. Bagaimana persoalan ini menghambat kerajaan?

Realiti ekonomi, untung dan rugi, secara empirikal ekonomi ia bukan sahaja menghambat kerajaan tetapi juga sektor swasta, terutamanya dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi. Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, pihak sektor swasta, terutamanya yang berkecimpung dalam sektor pembuatan dan sektor perkhidmatan, kebiasaannya mengambil langkah mengurangkan jumlah tenaga kerja secara agresif massa. Ini secara langsung melonjakkan lagi paras kadar pengangguran. Seterusnya ia akan mempengaruhi persoalan yang digeluti kerajaan - (1) penyediaan pekerjaan, (2) pengangguran, dan (3) inflasi dan stagflasi.

Dalam keadaan yang sama, peletakan sektor swasta sebagai enjin utama kerajaan tidak semestinya mematikan persoalan yang digeluti kerajaan terutamanya persoalan (1) penyediaan pekerjaan. Ini adalah kerana, sektor swasta di negara ini tidak kesemuanya dimiliki oleh syarikat/firma Malaysia, tetapi juga dimiliki oleh syarikat/firma antarabangsa yang beroperasi di negara ini. Jika syarikat/firma antarabangsa ini berpendapat "menggunakan tenaga kerja luar - tidak mahir, separuh mahir, mahir, dan profesional - adalah langkah tepat dan padat bagi menjimatkan kos upah," maka kadar pengangguran tidak akan berkurangan pada tahap yang memuaskan.

Hasrat kerajaan mentransformasi ekonomi Malaysia ke arah sebuah negara maju dan ekonomi berpendapatan tinggi akan terbangkalai sekiranya (1) cukai perniagaan dan perdagangan, dan (2) cukai pendapatan individu tidak direndahkan seminimum mungkin. Cukai perniagaan dan perdagangan yang tinggi akan menyebabkan syarikat/firma perniagaan dan perdagangan, terutamanya yang berstatus antarabangsa, akan memindahkan operasi ke negara-negara lain yang rendah cukai perniagaan dan perdagangannya. Jika pun kekal beroperasi di negara ini, pada kebarangkalian upah/gaji tenaga kerja akan direndahkan berdasarkan tindakan ekonomi yang dikenakan kerajaan seperti pembayaran cukai pada kadar yang ditentukan.

Cukai pendapatan individu yang tinggi akan mempengaruhi upaya kuasa beli individu (isi rumah/tenaga kerja) dengan secara langsung. Upaya kuasa beli individu yang rendah akan memberi kesan terhadap kerancakan pasaran barangan dan perkhidmatan dalam negara. Secara teori mahupun secara empirikal, upaya kuasa beli individu yang rendah akan menyebabkan kadar kelarisan barangan dan perkhidmatan di pasaran dalam negara berada dalam keadaan yang tidak memberangsangkan. Keadaan sedemikian akan memberi kesan terhadap hasil perolehan cukai kerajaan untuk jangka masa panjang.

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.