Skip to main content

Umno boleh "memecat" Abdullah Ahmad Badawi

Pada 22 September 2008 lalu, Parti pemerintah Afrika Selatan, Kebangsaan Afrika (ANC) melantik timbalan ketuanya, Kgalema Motlanthe sebagai pemangku Presiden selepas Thabo Mbeki dipaksa meletak jawatan oleh parti tersebut. Keputusan itu dibuat dalam satu mesyuarat kokus Parlimen ANC. ANC mendesak Mbeki meletak jawatan sebelum penggal pemerintahan beliau tamat pada tahun depan, lapan hari selepas seorang hakim menafikan dakwaan rasuah ke atas ketua parti berkenaan, Jacob Zuma, dan menyatakan terdapat campur tangan politik atasan dalam kes tersebut.
 

Apa yang berlaku kepada Presiden Thabo Mbeki tidak mustahil akan berlaku kepada PM Abdullah Ahmad Badawi selaku Presiden Umno dan Pengurusi Barisan Nasional (BN), sebelum dia menamatkan penggal pentadbiraan kerajaannya pada bulan Jun 2010 nanti, dalam satu upacara peralihan kuasa yang gemilang, cemerlang, dan terbilang. Abdullah Ahmad Badawi merupakan Presiden Umno yang ketiga selepas Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn, mendapat “suara sumbang” tetapi “menghiris hati” daripada pemimpin-pemimpin dan ahli akar umbi Umno/BN; berundur dengan segera bagi mengelakkan Umno/BN bertambah parah.
 
Walaupun Ahli Parlimen Parti Pembangkang, Teresa Kok Suh Sim ikhlas menyatakan “…Pak Lah baik tapi kurang karisme..,” pemimpin-pemimpin, opportunist, ahli akar umbi Umno, dan pemimpin-pemimpin BN tetap mendesak supaya Abdullah Ahmad Badawi berundur dengan segera tanpa soal bicara. Mantan Presiden Umno, Tun Dr. Mahathir juga mendesak supaya Abdullah Ahmad Badawi berundur dengan segera jika Umno dan Barisan Nasional (BN) hendak dipulihkan supaya tidak kalah lebih teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU 13) berbanding Pilihan Raya Umum Ke 12 (PRU 12).
 
Umno/BN sebenarnya boleh melakukan seperti apa yang dilakukan oleh Parti pemerintah Afrika Selatan, Kebangsaan Afrika (ANC), namun itu semua terpulang kepada Umno/BN. Untuk “memecat” Abdullah Ahmad Badawi daripada Umno/BN tidaklah sukar. Apa yang Umno perlu lakukan ialah dengan menghapuskan sistem kuota dalam pemilihan parti. Dengan menghapuskan sistem kuota dalam pemilihan parti, mana-mana pemimpin didalam Umno yang mempunyai merit kepimpinan dan kenegarawanan yang baik serta mendapat restu daripada ahli akar umbi, boleh bertanding dengan rela hati walaupun isi saku hanya sekadar cukup makan.
 
Umno juga boleh menggunakan kuasa “veto”nya didalam “memecat” Presiden Parti. Kuasa veto yang ada pada Umno sebagai sebuah Parti Politik ialah suara majoriti ahli Umno, tanpa mengira sama ada ahli Umno itu pemimpin peringkat cawangan, bahagian, negeri, pusat, atau ahli biasa. Sekiranya suara seluruh ahli Umno bergema walaupun “sumbang” dan “menghiris hati,” Presiden dan Timbalan Presiden Umno pastinya membisu seribu bahasa dan akur kepada suara majoriti ahli. Namun, adalah agak mustahil untuk mencari dan mencapai suara majoriti sebagai “kod laluan” menyingkirkan Presiden Parti. Ini kerana, Umno sedang mengalami masalah perpaduan dalaman yang cukup parah disamping dicemari dengan tangan-tangan opportunist.
 
Ahli Umno terutamanya mereka yang mempunyai jawatan penting didalam Parti seperti penjawat Majlis Tertinggi Umno (MT Umno) perlu keluar daripada Parti sama ada secara individu atau berkumpulan sebagai tanda protes kepada kepimpinan Presiden Parti yang lemah. Ahli Umno yang keluar daripada Umno tidak perlu menyertai mana-mana Parti Politik, Parti Pembangkang terutamanya. Keluar Parti sebenarnya sudah dilakukan oleh mantan Presiden Umno, Tun Dr. Mahathir. Sekiranya 60 % daripada jumlah keseluruhan ahli Umno keluar Parti bersama-sama Tun dulu, sudah tentu Presiden Umno, Abdullah Ahmad Badawi akan berundur secara suka rela tanpa syarat. Dengan cara keluar Parti, ahli Umno dapat meyakinkan Presiden Umno dengan gemilang, cemerlang, dan terbilang bahawa Umno tidak memerlukan pemimpin yang lemah.
 
Sekiranya Umno/BN tidak boleh memecat Presiden Parti yakni Abdullah Ahmad Badawi, maka boleh dikatakan bahawa didalam Umno/BN kini demokrasi sudah mati. Ini bermakna suara majoriti pemimpin-pemimpin, opportunist, dan ahli akar umbi Umno/BN tidak membawa apa-apa makna kepada Presiden Parti seolah Umno/BN “hak cipta terpelihara” Presiden Parti. Didalam Umno/BN, Abdullah Ahmad Badawi sebenarnya sudah “tidak dikehendaki” lagi. Namun agak menghairankan bagaimana Umno/BN sanggup membisu sebisu-bisunya dan bertetaka-teki untuk “memecat” Abdullah Ahmad Badawi daripada Parti.
 
Daripada sudut persepsi, sekiranya pemimpin-pemimpin dan opportunist Umno/BN tidak seia, sekata, sehati, dan sejiwa didalam mendesak Abdullah Ahmad Badawi berundur segera daripada jawatan Presiden dan Pengurusi Parti, maka ada kemungkinan wujud perjanjian “disebalik tabir” diantara mereka dengan Abdullah Ahmad Badawi. Melalui “perjanjian “disebalik tabir,” pemimpin-pemimpin dan opportunist Umno/BN dapat mengekalkan kedudukan dan jawatan politik didalam parti manakala Abdullah Ahmad Badawi mendapat “endorsement” dan “Statutory of declaration” taat setia menjelang pertandingan di peringkat Majlis Tertinggi Umno yang dijangka berlangsung pada bulan Disember ini.
 
Seandainya Umno/BN berjaya “memecat” Abdullah Ahmad Badawi daripada Parti walaupun Abdullah Ahmad Badawi Presiden dan Pengurusi Umno/BN, maka Umno/BN telah berjaya memainkan fungsinya sebagai sebuah Parti Politik yang berteraskan semangat demokrasi. Namun jika Umno/BN gagal atau tidak berupaya langsung “memecat” Abdullah Ahmad Badawi maka Umno/BN perlu melakukan “harakiri” melalui proses mahkamah sebagaimana yang berlaku pada akhir tahun 1980 an.

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.