Skip to main content

Kebebasan: Kehakiman dan perlantikan hakim

Kebebasan kehakiman merupakan ukuran terpenting dalam menentukan sifat demokratik di negara ini. Kehakiman yang berat sebelah, atau berpihak, atau memihak kepada sesuatu pihak seperti pihak yang memerintah umpamanya, akan menghancurkan keyakinan rakyat kepada semangat demokrasi di negara ini.


Di Malaysia, hakim-hakim, pada dasarnya dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) menurut nasihat perdana menteri (ketua parti pemerintah dan seorang ahli politik). Berdasarkan teori demokrasi, badan kehakiman adalah bebas daripada kawalan politik. Pada masa yang sama, hakim-hakim tidak boleh dipecat daripada jawatan oleh kabinet atau parti yang memerintah.

Oleh kerana rang undang-undang dikemukakan oleh kabinet, maka kabinetlah sebenarnya “penggubal” undang-undang, dan menteri-menteri kabinet berperanan secara langsung dalam proses perundangan. Maka tidak menghairankanlah kehakiman boleh dipengaruhi oleh golongan politk dan birokrasi.
 
Perundangan dan eksekutif pada asasnya berbeza daripada segi fungsi dan kedudukan undang-undang. Namun pada masa yang sama mempunyai hubungan yang sangat rapat. Manakala, menteri-menteri kabinet memainkan peranan utama dalam perundangan dan eksekutif ini. Berpandukan konsep pengasingan kuasa dalam teori demokrasi liberal, “percantuman kuasa” dalam dua badan ini yakni perundangan dan eksekutif sama sekali bertentangan, dan secara tidak langsung menggugat kebebasan perlantikan hakim dan kebebasan kehakiman.
 
Bagi menjamin kebebasan perlantikan hakim dan kebebasan kehakiman, YDPA seharusnya memiliki kuasa mutlak dalam melantik hakim tanpa menurut nasihat perdana menteri. Seandainya YDPA memerlukan nasihat yang berkaitan dengan hal dan ehwal perlantikan hakim seperti memilih calon hakim, satu badan bebas penasihat khas YDPA perlu diwujudkan. Penasihat khas YDPA ini pula dilantik oleh Majlis Raja-Raja (MRR). Penasihat khas YDPA yang dilantik oleh MRR pula seharusnya tidak dicampuri oleh menteri besar (seorang ahli politik). Kuasa mutlak YDPA dan duli-duli yang maha mulia raja-raja Melayu boleh dikembalikan semula melalui rakyat. Ini kerana, suara rakyat suara keramat dan ianya diyakini sepenuhnya oleh ahli politik tanah air.
 
Akan wujud kemungkinan kuasa mutlak melantik hakim yang ada pada YDPA akan dipersoal atau dipersulit oleh golongan politik yang “bersenjatakan” perundangan dan eksekutif, dan kerajaan rakyat. Dalam berhadapan dengan keadaan sedemikian, YDPA berserta dengan kesemua sembilan raja-raja Melayu harus mengunakan pengaruh yang ada untuk mempengaruh rakyat, marhaen terutamanya, demi menjamin keesahan kuasa mutlak dalam melantik hakim-hakim. Tambahan pula, rakyat jelata senantiasa taat setia dan menjunjung titah perintah duli-duli yang maha mulia raja-raja Melayu.
 
Kebebasan perlantikan hakim dan kebebasan kehakiman akan lebih terserlah sekiranya perantuman kuasa perundangan dengan eksekutif dilonggarkan atau dimansuhkan sama sekali. Apabila perundangan dan eksekutif wujud secara terpisah, maka perdana menteri, timbalan perdana menteri dan menteri-menteri kabinet tidak dapat berperanan secara mutlak dalam penggubalan undang-undang tetapi boleh mencadangkan dasar-dasar dan undang-undang. Pelonggaran atau pemansuhan percantuman kuasa di antara perundangan dan eksekutif boleh direalisasikan melalui semangat konsep pengasingan kuasa dalam teori demokrasi liberal.

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.