Skip to main content

Pengangguran dapat diatasi dengan: Kerja, kerja, kerja!

Peratus pengangguran di negara kita - 3.4 peratus - telah mengatasi peratus ideal pengangguran (peratus ideal pengangguran ialah 2.0 - 2.5 peratus). Secara ekonomi, dari perspektif Hukum Okun, setiap kenaikan 1.0 peratus pada kadar pengangguran bermakna potensi pertumbuhan keluaran domestik (GDP) negara secara kasarnya susut sebanyak 2.0 peratus. Penyumbang utama kadar pengangguran tentunya "produk" keluaran Institut Pengajian Tinggi (IPT) tempatan.


Secara pemahaman umum, pengangguran terhasil apabila kalangan isi rumah tidak melakukan sebarang aktiviti yang bersifat ekonomik yakni pekerjaan yang menghasilkan pendapatan sama ada pekerjaan sepenuh masa atau separuh masa. Secara pemahaman asas ekonomi pula, pengangguran terhasil apabila permintaan pekerjaan di kalangan isi rumah melebihi atau mengatasi penwaran pekerjaan yang ditawarkan oleh pasaran pekerjaan.

Secara teori mahupun empirikal, pengangguran di kalangan isi rumah terutamanya "produk" keluaran IPT tempatan, boleh atau dapat diatasi dengan melakukan sebarang pekerjaan yang boleh atau dapat menghasilkan pendapatan - dengan syarat mutlak: Jangan memilih pekerjaan walaupun gaji/upah yang ditawarkan rendah atau di bawah paras garis rendah. Memilih pekerjaan di kalangan isi rumah, terutamanya "produk" keluaran IPT tempatan, merupakan antara faktor yang menyumbang kepada kenaikan peratus pengangguran sehingga mengatasi peratus ideal pengangguran.

Berstatus "produk" keluaran IPT tempatan, lebih-lebih lagi memiliki Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana atau Doktor Flasafah, tentunya membuatkan kita bersifat elitis dalam memilih pekerjaan. Pekerjaan yang berkasta "rendahan" atau "paria" - yang mana para pelulusnya berstatus Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), atau tidak berkelulusan langsung - membuatkan kita tidak memahuinya walaupun menghasilkan pendapatan.

Dalam membantu "negara" mengatasi masalah pengangguran di negara ini, sebagai yang berstatus "produk" keluaran IPT tempatan kita tidak harus memilih pekerjaan dan boleh atau dapat melakukan apa sahaja pekerjaan walaupun ia tidak setimpal dengan kelayakan yang kita miliki selain tawaran gaji/upah yang rendah. Walaupun demikian, sekurang-kurangnya kita mempunyai kuasa beli walaupun tidak tinggi. Upaya kuasa beli yang ada pada kita, walaupun rendah, tetap menyumbang kepada penghasilan cukai barangan dan perkhidmatan yang dikenakan oleh kerajaan yang memerintah demi kepentingan "negara" dan negara.

Sekiranya dengan pendapatan yang rendah, kita berhadapan dengan tekanan dan rantaian inflasi, Indeks Harga Pengguna (IHP) yang tinggi dan apa-apa yang membantut pendapatan boleh guna dan pendapatan boleh simpan, kita perlu tabah dan beranggapan bahawa kesusahan ini sebagai tanda khidmat bakti kita kepada "negara" dan negara. Sekiranya pendapatan kita rendah kerana faktor tidak memilih pekerjaan, pada masa yang sama dibebani dengan hutang untuk menyara hidup, secara tidak langsung kita membantu "negara" dan negara. Ini kerana setiap peningkatan peratus kadar faedah/riba yang dikenakan akan membantu kenaikan cukai barangan dan perkhidmatan yang dikenakan oleh kerajaan yang memerintah.

Untuk merealisasikan Pengangguran dapat diatasi dengan: Kerja, kerja, kerja! kalangan isi rumah terutamanya di kalangan "produk" keluaran IPT tempatan perlu membuang jauh-jauh set minda memilih pekerjaan. Ini kerana, masa adalah musuh abadi setiap manusia. Masa tidak akan berasa belas kepada sesiapa sahaja. Tentunya akan mengambil masa yang lama jika kalangan isi rumah terutamanya di kalangan "produk" keluaran IPT tempatan memilih pekerjaan.

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.