Skip to main content

Belanjawan 2012: Mampu tingkatkan pertumbuhan ekonomi negara?

Pertumbuhan ekonomi sama ada secara domestik, antarabangsa dan global, perdagangan luar, tekanan inflasi dan suasana keadaan geopolitik semasa antarabangsa dan global: lazimnya mempengaruhi pertumbuhan ekonomi negara.

"Apabila bercakap tentang Keluaran Dalam Negara (GDP), ia bergantung kepada pelaburan, perbelanjaan kerajaan, tahap kepenggunaan rakyat serta nilai eksport negara."

- Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah


Secara pemahaman asas, pertumbuhan ekonomi negara indikatornya ialah keluaran dalam negara. Antara faktor mutlak yang mempengaruhi keluaran dalam negara ialah perbelanjaan kerajaan. Perbelanjaan kerajaan sama ada bersifat mencurah-curah atau sebaliknya bukanlah sesuatu yang praktikal untuk diketengahkan sehingga melahirkan rasa euphoria.

Pun begitu adalah praktikal jika persoalan apa, mengapa dan bagaimana diketangahkan sekiranya perbelanjaan kerajaan yang mencurah-curah nilainya tetapi hasilnya negara mengalami belanjawan defisit berturut-turut. Negara gagal mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi dan purata pertumbuhan ekonomi berturut-turut. Nilai hasil keluaran dalam negara tidak setimpal dengan nilai perbelanjaan yang dicurahkan.

Apabila bercakap atau berpolemik tentang perbelanjaan kerajaan perkara yang perlu diketengahkan ialah (1) mampukah ia meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara secara menyeluruh - mikro-makro -, dan (2) setakat mana atau sejauh mana kemampuannya.

Kebarangkalian akan sentiasa ada. Kebarangkalian Belanjawan 2012 mampu meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara ialah sukar - Belanjawan 2012 sukar meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara. Faktor penyumbang kepada kebarangkalian ini ialah jurang peratus yang besar di antara perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan.

Jika dilihat pada Belanjawaan 2012 yang merupakan belanjawan kedua dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), kerajaan yang memerintah telah memperuntukan sebanyak RM232.8 bilion. Dimana peruntukan perbelanjaan mengurus mengatasi peruntukan perbelanjaan pembangunan. Kerajaan yang memerintah hanya memperuntukan sebanyak 28.19 peratus untuk perbelanjaan pembangunan dalam Belanjawan 2012.

Perlu difahami bahawa pertumbuhan ekonomi negara, atau sesebuah negara, dipacu mutlak oleh pembangunan. Baik pembangunan sektor ekonomi, pembangunan sektor sosial, pembangunan sektor keselamatan, pembangunan pentadbiran am dan sebagainya. Namun acuan pembangunan-pembangunan ini perlu dan harus berteraskan zeitgeist pembangunanan kemanusiaan yang menyeluruh dalam erti kata yang sebenar. Bukannya hanya sekadar figura atau permukaan.

Apabila bercakap tentang sosial, ia menyentuh kepada rakyat, masyarakat, isi rumah, manusia, insan, dan orang. Ekonomi tidak menghasilkan manusia apatah lagi melahirkannya. Tapi manusialah - melalui input dan outputnya - yang menghasil dan melahirkan ekonomi. Mengikut kehendak dan kemahuannya yang sudah semestinya tanpa batas sempadan.

Kebarangkalian setakat mana atau sejauh mana Belanjawan 2012 mampu meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara ialah positif tetapi tidak efektif. Dalam erti kata lain berlaku pertumbuhan tapi statik. Kebarangkalian negara bakal gagal mencapai sasaran dan purata pertumbuhan ekonomi yang telah disasarkan cerah.

Kenapa kebarangkalian Belanjawan 2012 mampu meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara positif tetapi tidak efektif? Jika dilihat pada jumlah keseluruhan peruntukan Belanjawan 2012, 71.8 peratus daripada peruntukan RM232.8 bilion diperuntukan untuk perbelanjaan mengurus. Urus tadbir kerajaan yang memerintah yang sememangnya semakin cemerlang, gemilang dan terbilang sudah semestinya tidak memerlukan peruntukan sebanyak itu.

Seterusnya, "kesan khas" yang bakal memberi didikan dan pelajaran sebenar ekonomi, secara mikro-makro, ialah faktor defisit. Pembangunan ekonomi negara akan terjejas sekiranya kerajaan yang memerintah kurang efektif mengurangkan kadar defisit. Untuk mengurang kadar defisit ia bukan sahaja bergantung kepada ketelusan pengamalan sistem ekonomi semata. Ia juga bergantung kepada keidealistikan atau ke-equilibrium-an antara dua inti utama Belanjawan 2012 - perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan.

Apa yang tidak kena dengan Belanjawan 2012 ialah perbelanjaan mengurus mengatasi perbelanjaan pembangunan. 71.8 peratus untuk perbelanjaan dan 28.2 peratus untuk perbelanjaan pembangunan. Adakah ini satu kombinasi yang idealistik atau equilibrium? Tentunya tidak. Ini kalau dipadankan dengan usaha kerajaan yang memerintah hendak mengurangkan kadar defisit sebanyak 12.96 peratus, yakni 5.4 peratus kepada 4.7 peratus. Sekali lagi, positif tetapi tidak efektif.

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.