Skip to main content

Apabila Wakil Rakyat berbalah

Wakil rakyat - pada masa yang sama adalah politikus, sama ada politikus yang menikus atau sebaliknya - bukanlah orang ajaib di pasar malam atau badut yang kehabisan penonton. Secara falsafah mudah, wakil rakyat adalah pemikul the people's will yakni pelaksana amanat dan mandat rakyat dalam menjalani kehidupan yang sentiasa terikat dengan hal dan perkara yang serba sosial, ekonomikal dan politikal.


Sebagai politikus, wakil rakyat bukanlah orang yang sembarangan. Malah lebih tepat dikatakan bukan calang-calang orang. Wakil rakyat tentunya manusia yang terdidik dan terpelajar, berilmu dan berpengetahuan dan berkemahiran dan berkepandaian. Kalau wakil rakyat bukan seperti yang telah disebutkan, amat mustahil - walaupun tiada yang mustahil - wakil rakyat yang sebelumnya bukan "orang bergelar", begelar wakil rakyat dikemudiannya.
Rakyat yang sekarang bukanlah rakyat yang dahulu. Seperti juga wakil rakyat yakni berpendidikan dan berpelajaran walaupun tidak setinggi mana. Berilmu dan berpengetahuan walaupun tidak sehebat mana.  Berkemahiran dan berkepandaian walaupun tidak sedalam mana. Tahu memilih dan pandai membuat pilihan. Tahu yang mana monyet dan yang mana keldai. Rakyat tentunya akan membangkang sekeras-kerasnya jika disuruh memilih monyet atau keldai sebagai wakil rakyat. Jika demikian, tentunya rakyat akan memilih untuk tidak memilih.
Wakil rakyat tanpa mengira latar belakang kepartian - apabila berbalah di antara satu sama lain mereka telah secara dengan sendirinya menunjuk buktikan:
1. Tidak menghormati amanat dan mandat yang diamanahkan oleh rakyat - sekali gus tidak menghormati rakyat;
2. Tidak menghormati institusi negara yang telah memberi kepercayaan penuh;
3. Tidak menghormati gelar yang dianugerahkan;
4. Tidak menghormati ilmu dan pengetahuan yang dimiliki terutamanya ilmu dan pengetahuan politik/politikal; dan
5. Tidak menghormati diri sendiri sebagai human being.

"Di Pulau Pinang mereka berbalah, DAP lawan DAP, di Perak DAP lawan DAP, di Selangor PKR lawan PKR, PAS lawan PAS. Di Johor PKR lawan DAP, mereka bukan berlawan dengan BN tetapi berlawan sesama sendiri."

- Raja Petra Kamarudin

"Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) haruslah memastikan perjalanan mesyuarat berjalan dengan teratur mengikut peraturan, berhemah serta mempunyai tatasusila yang baik, selaras sebagai wakil rakyat."

- Titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah

Sama ada secara logika akal atau secara teori atas kertas, rakyat tidak memerlukan wakil rakyat sekiranya rakyat beranggapan mutlak bahawa tanpa wakil rakyat pun kebajikan dan kesejahteraan mereka boleh terbela dan terjamin dengan hanya bermodalkan doa-usaha-ikhtihar-tawakal. Bagaimana jikalau rakyat melakukan segala keperluan yang bersifat sosial-ekonomi-politik tanpa memerlukan pertolongan wakil rakyat yakni berdiri diatas kaki sendiri (atau singkatannya berdikari)? Bakal apa jadinya wakil rakyat? Wakil rakyat sepenggal - Nou en of!

Antara "kesan khas" yang terbit hasil daripada "perusahaan" - kalau dijadikan bahan lelucon tentunya tidak menarik - perbalahan wakil rakyat ialah kebajikan dan kesejahteraan rakyat bakal lebur dengan secara sendirinya. Namun pada masa yang sama jika dilihat secara terbuka dan objektif "kesan khas" yang terbit hasil daripada "perusahaan perbalahan" wakil rakyat; bukan sahaja melebur kebajikan dan kesejahteraan rakyat tetapi juga mengancam gugat perpaduan di kalangan rakyat secara keseluruhannya.

Bagaimana pula perbalahan wakil rakyat dapat dan boleh dilihat sebagai mengancam gugat perpaduan di kalangan rakyat secara keseluruhannya? Selain berperanan sebagai politikus wakil rakyat juga berperanan sebagai pemimpin akar umbi. Dalam dunia politik, walaupun pemimpin akar umbi, di dalam hirarki "top brass" kepimpinan politik adalah yang terendah dari segi kejawatan tetapi memiliki pengaruh yang kuat keatas kelompok rakyat yang diwakilinya. Lebih-lebih lagi jikalau kelompok rakyat yang diwakili itu dua pertiga dari jumlah keseluruhannya adalah penyokong dan pengikut fanatik, juak-juak opportunist dan barua tegar.

Cukup dengan hanya mencetus isu politik yang bersifat manipulasi dan spekulasi sahaja wakil rakyat sudah dapat menggerakkan pendukung-pendukung pengaruhnya - yang terdiri daripada penyokong dan pengikut fanatik, juak-juak opportunist dan barua tegar - untuk membuntutinya ke medan perbalahan. Pasca selepas pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998 umpamanya banyak menyaksikan aksi perbalahan baik di kalangan wakil rakyat mahupun di kalangan rakyat terutamanya yang terdiri daripada penyokong dan pengikut fanatik, juak-juak opportunist dan barua tegar wakil-wakil rakyat.

Perbalahan wakil rakyat sama ada secara di antara satu sama lain atau sesama sendiri bukan sahaja mengheret sama penyokong dan pengikut fanatiknya; juak-juak opportunist-nya; dan barua tegarnya ke medan perbalahan tetapi juga turut mengheret rakyat - terutamanya yang tidak tahu apa-apa - untuk menyertainya. Lebih teruk lagi jika wakil rakyat yang berbalah memainkan isu-isu populist - kebajikan dan kesejahteraan rakyat terutamanya - untuk dibalahkan di medan perbalahan.

"Jadi tidak hairan kalau di setiap negara Arab atau Islam ada sahaja pertubuhan atau parti politik yang memainkan peranan dajal untuk menghancurkan parti dominan yang tidak boleh dihancurkan tetapi mesti digugat oleh ahli dan pemimpinnya yang berpaling tadah dan kini menjadi petualang dengan menggunakan sistem demokrasi untuk kepentingan peribadi yang sempit," (Mansor Puteh, Rencana, Utusan Malaysia, Muka 11, Selasa 8 April 2014).

Kenapa, mengapa dan untuk apa wakil rakyat lebih rela memilih untuk berbalah daripada memilih pendekatan dan penyelesaian yang bersifat terdidik dan terpelajar? Adakah wakil rakyat yang kebih rela memilih untuk berbalah ini sememangnnya datang atau lahir dari jenis beku yang puas dengan kebekuannya? Rakyat barangkali tidak wajar dipersalahkan kerana memilih wakil rakyat yang bukan sahaja beku dengan kebekuannya tetapi statik, tidak inisiatif dan hilang ghairah untuk mempejuang kebajikan dan kesejahteraan rakyat menerusi lapangan politik.

Harga mahal yang perlu dibayar apabila wakil rakyat berbalah sama ada secara di antara satu sama lain atau sesama sendiri ialah: "Sebenarnya, ramai pengundi yang keliru sekarang. Mereka tidak pasti patutkah undi BN atau undi Pakatan atau pun tak payahlah mengundi. Ini yang berlaku sekarang, sebenarnya medan sudah dibuka untuk kedua-dua pihak, siapa yang akan meyakinkan pengundi sekarang?", (Raja Petra Kamarudin, Wawancara, Mingguan Malaysia, Muka 8, Ahad 1 Januari 2012).

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.