Skip to main content

"Sayap Mahasiswa" UMNO

Kesediaan UMNO untuk bersifat terbuka dalam mempertimbangkan cadangan - mewujudkan "Sayap Mahasiswa", sebagaimana yang dicadangkan dalam Persidangan Kepimpinan Mahasiswa Nasional 2014 (Pemanas 2014) 23 November lalu perlu dilihat dari sudut tidak efektif tetapi positif. Tidak efektif kerana UMNO perlu berhadapan dengan halangan "Yang Terutama" dan halangan lain untuk mewujudkan "Sayap Mahasiswa". Positif kerana UMNO sudah ada kesedaran bahawa mahasiswa adalah antara generasi penerus yang bakal mewarisi perjuangannya yang belum selesai.


Untuk mewujudkan "Sayap Mahasiswa" UMNO terlebih dahulu perlu berhadapan dengan halangan "Yang Terutama" yang menghalang pewujudan "Sayap Mahasiswa" - yang tidak lain dan tidak bukan: Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). AUKU, walaupun telah dibuat pindaan beberapa kali ia masih mengekalkan dua matlamat utamanya, yang buat masa ini kekal tidak berubah, menghalang penglibatan pelajar dengan parti politik dan kesatuan sekerja, dan menghalang penggabungan di antara badan-badan pelajar.

Katakanlah kerajaan yang memerintah memansuh AUKU sebagaimana Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), UMNO masih lagi akan berhadapan dengan halangan lain yang seterusnya iaitu halangan karenah birokrasi dan (tahap) penerimaan di kalangan warlords dan godfathers UMNO, dan juak-juak opportunist UMNO. Halangan karenah birokrasi ini tentunya dapat diatasi sekiranya aktor-aktor Biro Politik UMNO dan Majlis Tertinggi UMNO (MT UMNO) berpandangan jauh dan berfikiran maju kehadapan akan input-output politik mahasiswa.

Kebarangkalian tahap penerimaan terhadap pewujudan "Sayap Mahasiswa" di kalangan warlords dan godfarthers UMNO dan juak-juak opportunist UMNO adalah suram dan muram. Secara analisa SWOT (Strength, Weaknesses, Opportunity, Threats), warlords dan godfathers UMNO sememangnya memiliki strength dan opportunity asalkan sentiasa mendapat endorsement taat setia daripada kebanyakan ahli UMNO yang juga merupakan juak-juak opportunist UMNO. Strength dan opportunity warlords dan godfathers UMNO ini akan menjadi lemah dan akhirnya akan bersifat weaknesses apabila adanya threats yang tidak dapat diramal.

Berucap pada perasmian serantak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri 2014 Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melontarkan penegasannya: UMNO mesti drastik berubah. Di samping menyeru kepada penekanan akan perkara penting yang perlu dilakukan oleh UMNO yang antaranya menolak budaya warlord dan memastikan itu bukan budaya UMNO, dan memastikan citra UMNO sesuai dengan jiwa anak muda dan profesional Melayu.

Penegasan dan penekanan yang dilontarkan oleh Timbalan Presiden UMNO itu boleh mendatangkan threats kepada warlords dan godfathers UMNO, dan juak-juak opportunist UMNO, sekiranya UMNO drastik mahu berubah dan mempraktikkan penegasan dan penekanan yang dilontarkan itu secara majoriti. Persoalan yang sentiasa akan menjadi tanda tanya - Mahukah UMNO berubah secara drastik? Adakah MT UMNO sudah tidak bersifat "empty" lagi? Mampukah lembaga disiplin parti melaksana tindakan disiplin terhadap pelanggar-pelanggar disiplin parti yang kebal dan bebal? Apakah ketiga-tiga sayap UMNO sudah tidak in coma lagi dan tidak bersifat der bruch der flügel - istilah "patah sayap" bagi fixed-wing aircraft - lagi?

Mahasiswa sememangnya memiliki jiwa yang bersifat anak muda, tetapi sebagai anak muda belum tentu mereka memiliki jiwa yang sentiasa muda dan segar sepanjang masa sebagaimana jiwa anak-anak muda bangsa Jerman. Melainkan jiwa mahasiswa yang bersifat anak muda itu dididik dan diajar secara terdidik dan terpelajar. Seandainya UMNO berjaya mewujud tambahkan sayap baharu ke dalam parti, yakni "Sayap Mahasiswa", UMNO sudah tentu berupaya menabur citra UMNO iaitu citra perjuangannya ke dalam jiwa anak muda yang bukan mahasiswa dan profesional (muda) Melayu.

Kesan yang terbit hasil pewujudan "Sayap Mahasiswa" ialah kesan yang bukan simpatik. Yang terkesan dengan pewujudan "Sayap Mahasiswa" adalah tidak lain dan tidak bukan warlords dan godfathers UMNO, juak-juak opportunist UMNO , dan pemimpin-peminpin dan ahli-ahli UMNO yang mempunyai kepentingan yang bukan untuk UMNO. "Sayap Mahasiswa"  tentunya juga akan menggerhanai pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli UMNO lainnya, ketiga-tiga sayap UMNO dan MT UMNO, yang mana sebahagian atau kebanyakan aktor-aktornya datang dari golongan jenis beku, statik dan tidak punya inisiatif untuk berubah.

Bagaimana warlords dan godfathers UMNO dan juak-juak opportunist UMNO ini boleh terkesan dengan pewujudan "Sayap Mahasiswa"? Apabila (sekiranya) UMNO mewujudkan "Sayap Mahasiswa" bermakna golongan mahasiswa dan golongan muda yang bukan mahasiswa bakal memiliki landasan asas untuk melakukan perubahan dalaman dalam UMNO - secara structural political engineering. Untuk melakukan penstrukturan semula ini tentunya "Sayap Mahasiswa" berpandangan bahawa: apa-apa yang bersifat liabiliti yang boleh mendatangkan masalah kepada UMNO secara keseluruhannya perlu disingkirkan daripada parti tanpa ambil peduli yang disingkir itu siapa. Jika demikian pandangan "Sayap Mahasiswa" warlords dan godfathers UMNO dan juak-juak opportunist UMNO bakal berhadapan dengan threats yang tidak kenal lawan.

Untuk melakukan perubahan dalaman UMNO secara structural political engineering, "Sayap Mahasiswa" terlebih dahulu perlu menyemai semula fahaman atau ideologi perjuangan UMNO yang asas dan asal di kalangan aktor-aktornya. Penyemaian semula ini penting untuk "Sayap Mahasiswa" mencatur pengurusan dan strategi politik yang bergerak tindak secara minus-to-plus yang bertahap. Tanpa penyemaian semula ini, "Sayap Mahasiswa" tidak akan dapat memahami - Apa itu UMNO? Tanpa memahami - Apa itu UMNO?, segala usaha dan gerak tindak politik "Sayap Mahasiswa" bakal menemui jalan buntu.

Seterusnya "Sayap Mahasiswa" perlu menilai tahap kekuatannya dan kekuatan "lawannya" - warlords dan godfathers UMNO, dan juak-juak opportunist UMNO - secara analisa SWOT. Penilaian perbandingan tahap kekuatan secara analisa SWOT ini penting untuk "Sayap Mahasiswa" membuat keputusan politik dalam mencatur pengurusan dan strategi politik. Tanpa analisa SWOT, "Sayap Mahasiswa" akan mendapati kos dan masa yang diperuntukan itu akan tidak setimpal dengan usaha dan hasil kerja politik yang dilakukan.

Sebagai mahasiswa, "Sayap Mahasiswa" tentunya tahu akan input-output yang ada pada mahasiswa. Input-output yang ada itu adalah tidak lain dan tidak bukan: sikap, terutamanya set minda yang positif, emotional intelligence, komunikasi, pemikiran kiritikal, kreatif dan kepimpinan perniagaan (yang boleh diadaptasikan ke dalam kepimpinan politik). Input-output ini jika dipraktikkan dalam budaya kerja politik "Sayap Mahasiswa", tentunya "Sayap Mahasiswa" berupaya "mencantas" aktor-aktor kepimpinan UMNO yang bersifat beku, statik dan tiada inisiatif untuk berubah. Ini seterusnya membolehkan "Sayap Mahasiswa" berupaya untuk "mencantas" warlords dan godfathers UMNO, dan juak-juak opportunist UMNO.

Dengan penyemaian semula fahaman atau ideologi perjuangan UMNO yang asas dan asal, penilaian perbandingan tahap kekuatan secara analisa SWOT, dan praktik untuk adaptasi akan input-output mahasiswa, "Sayap Mahasiswa" tentunya akan meraih political endorsement daripada pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli tulen dan sejati UMNO secara dengan sendirinya. Jika political endorsement yang diraih itu bersifat majoriti dua pertiga, "Sayap Mahasiswa" bukan sahaja berupaya menjadi pemangkin perubahan semula, tetapi "Sayap Mahasiswa" juga akan dapat menyelamatkan UMNO, yakni parti dan pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli UMNO yang tulen dan sejati daripada menjadi mangsa liabiliti UMNO (terutamanya) - warlords dan godfathers UMNO, dan juak-juak opportunist UMNO. 

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.