Skip to main content

Deklarasi Rakyat ancam keselamatan negara?

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir telah pun mengisytiharkan "perang" terhadap kepimpinan dan pentadbiran Dato' Seri Najib Tun Razak melalui perisytiharan Deklarasi Rakyat pada 4 Mac lalu. Setiap kandungan yang ada dalam Deklarasi Rakyat jika dipolemik secara apa, mengapa, kenapa, dan untuk apa, tiada satu pun frasa atau sifat kata yang menunjukkan atau menandakan adanya ancaman terhadap keselamatan negara.

Malah tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa apa yang terkandung dalam Deklarasi Rakyat tidak lain tidak bukan hanyalah kebimbangan, kerisauan, dan kekhuatiran Tun Dr. Mahathir, pemimpin-pemimpin baharu dan lama, dan sebahagian rakyat yang kritis terhadap kepimpinan dan pentadbiran Dato' Seri Najib.

Sebagaimana yang tertakrif dalam Kamus Dewan edisi keempat, negara ialah (1) suatu masyarakat yg menduduki kawasan tertentu dan diperintah oleh sebuah kerajaan, (2) kawasan yg di bawah kekuasaan kerajaan tertentu dan (3) yg berkaitan dgn negara (masyarakat dan kawasan di bawah suatu kerajaan. Takrifan Perdana Menteri pula ialah (1) yg terutama; P~ Menteri ketua menteri sesebuah negara (mengepalai jemaah menteri). 

Secara perbandingan mudah, negara dan Perdana Menteri adalah dua perkara yang berbeza dari segi akan keadaannya. Negara akan kekal sampai bila-bila masa selagi kadaulatannya mantap tidak tergugat. Tetapi tidak bagi Perdana Menteri. Dalam amalan berdemokrasi, selagi ia mendapat sokongan rakyat secara majoriti dalam pilihan raya umum (PRU) kedudukannya akan kekal. Tetapi jika sebaliknya kedudukannya akan berakhir dengan secara sendirinya. 

Sejauh mana Deklarasi Rakyat boleh mendatangkan ancaman terhadap keselamatan negara? Deklarasi Rakyat tentunya akan mendatangkan ancaman terhadap keselamatan negara sekiranya; 

1. Tun Dr. Mahathir, pemimpin-pemimpin baharu dan lama, dan sebahagian rakyat yang kritis terhadap kepimpinan dan pentadbiran Dato' Seri Najib menuntut perletakan jawatan Dato' Seri Najib secara menidakkan amalan berdemokrasi. 

2. Tun Dr. Mahathir, pemimpin-pemimpin baharu dan lama, dan sebahagian rakyat atau majoriti rakyat mewujudkan gerakan subversif atau amalan doktrin Machiavelli untuk menggulingkan Dato' Seri Najib dari jawatannya sebagai Perdana Menteri. 

3. Tun Dr. Mahathir, pemimpin-pemimpin baharu dan lama, dan sebahagian rakyat meminta bantuan asing untuk menyerang ekonomi negara secara terancang untuk melemah politik kerajaan yang memerintah sebagai cara untuk mengundurkan Dato' Seri Najib dari jawatan Perdana Menteri. 

Jika diteliti secara pertimbangan akal yang adil dan saksama, perkara-perkara yang terkandung dalam Deklarasi Rakyat hanyalah bersifat: 

1. Kerisauan dan kebimbangan Tun Dr. Mahathir, pemimpin-pemimpin baharu dan lama, dan sebahagian rakyat terhadap sosio-pilitik dan sosio-ekonomi negara yang tidak menentu sejak di bawah pentadbiran Dato' Seri Najib. 

2. Kerisauan dan kebimbangan Tun Dr. Mahathir, pemimpin-pemimpin baharu dan lama, dan sebahagian rakyat terhadap permasalahan jenayah kolar putih yang membelenggu pentadbiran kerajaan yang memerintah sehingga mengakibatkan institusi yang menegak undang-undang lumpuh keautoritiannya. 

3. Kerisauan dan kebimbangan Tun Dr. Mahathir, pemimpin-pemimpin baharu dan lama, dan sebahagian rakyat terhadap keadaan semasa ekonomi negara yang gagal ditangani sepenuhnya oleh kerajaan yang memerintah. Selain melaksana dasar-dasar ekonomi - Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) terutamanya, dan sebagainya - yang jelas membebankan rakyat keseluruhannya. 

4. Kerisauan dan kebimbangan Tun Dr. Mahathir, pemimpin-pemimpin baharu dan lama, dan sebahagian rakyat terhadap tindakan kerajaan yang memerintah memotong dan mengurang belanjawan dan peruntukan institusi penting awam seperti Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan kesemua Kementerian. 

5. Mempersoal permasalahan pengurusan pelaburan dan kewangan 1MDB (1Malaysia Development Berhad) yang bersifat kabur dan tidak masuk akal sehingga menjejas kewangan negara. 

Sejauh mana Deklarasi Rakyat boleh mendatangkan ancaman terhadap Dato' Seri Najib dan barisan kabinetnya? Deklarasi Rakyat tentunya akan mendatangkan ancaman terhadap Dato' Seri Najib dan barisan kabinetnya sekiranya; 

1. Dato' Seri Najib dan barisan kabinetnya tidak berupaya atau gagal mengurus tadbir keadaan sosio-politik dan sosio-ekonomi negara dengan baik sehingga mendatangkan kebimbangan dan kerisauan terhdadap rakyat. 

2. Dato' Seri Najib dan barisan kabinetnya tidak berupaya atau gagal mengurus tadbir kewangan negara dengan bersih, cekap dan amanah sehingga menyebabkan kewangan negara Error & Omissions. 

3. Dato' Seri Najib dan barisan kabinetnya memperkenal dasar-dasar ekonomi yang tidak masuk akal sehingga membebankan rakyat keseluruhannya. 

4. Dato' Seri Najib dan barisan kabinetnya melumpuh keautoritian institusi-institusi yang menegak undang-undang secara "tangan halimunan". Lebih-lebih lagi kalau sekiranya Dato' Seri Najib dan barisan kabinetnya - berada dalam keadaan - terpalit dengan salah guna kuasa atau penyelewengan. 

Tentunya bukan Deklarasi Rakyat sahaja yang boleh mendatangkan ancaman terhadap Dato' Seri Najib dan barisan kabinetnya. Si pembayar cukai yang mempunyai locus standi pun boleh mendatangkan ancaman terhadap Dato' Seri Najib dan barisan kabinetnya dengan memfailkan saman atas dakwaan kemungkiran kewajipan fiduciary dan salah laku tort misfeasance dalam jawatan awam.  

"Sebenarnya, sesiapa pun boleh saman menteri atau pegawai kerajaan kalau mereka tidak menjalankan tanggungjawab dengan sempurna, dengan betul atau salah guna kuasa. 

"Kita rakyat biasa boleh saman, ambil tindakan undang-undang." 

- Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.