Skip to main content

Tun Dr. Mahathir telah menghina Bugis!

Semasa berucap di ‘Himpunan Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi’ yang berlangsung di Padang Timur, Petaling Jaya pada 14 Oktober lalu, Tun Dr. Mahathir dalam ucapannya telah mengatakan; “Mungkin kerana dia (Dato’ Seri Najib) berasal daripada lanun Bugis. Entah macam mana dia sesat sampai ke Malaysia. Pergi baliklah ke Bugis”. Apabila Tun Dr. Mahathir telah mengatakan bahawa Dato’ Seri Najib berasal dari pada lanun Bugis, maka sama ada secara tersurat atau tersirat Tun Dr. Mahathir telah menghinakan Bugis sebagai lanun.

Yang berdarah Bugis, termasuk penulis, sudah tentu berasa terkilan kerana lanun, perompak dan penjenayah di'adagium'kan yakni dikaitkan dengan Bugis. Sebagaimana yang difaktakan dalam sejarah, Kesultanan Selangor yang berketurunan Bugis umpamanya adalah dan ialah pahlawan yang memperjuangkan dan mempertahankan agama dan keamanan di seluruh kepulauan Melayu Nusantara. Adalah ralat sekiranya lanun yang memperjuangkan dan mempertahankan agama dan keamanan di seluruh kepulauan Melayu Nusantara. 

Apabila Tun Dr. Mahathir menghinakan Bugis sebagai lanun maka Tun Dr. Mahathir telah menghinakan salasilah, darah dan keturunan Kesultanan Selangor, Kesultanan Johor, Kerabat Raja-Raja Melayu negeri lain yang berdarah Bugis, Dato’ Onn Ja’afar, Pendeta Za’ba, Tun Abdul Razak, Tun Dr. Ismail, Tun Hussein Onn dan lain-lain, dan orang Bugis keseluruhannya. 

Barangkali Tun Dr. Mahathir ‘Mudah Lupa’ (bukannya ‘Melayu Mudah Lupa'). Tanpa akal fikiran dan ikhtihar tangan-tangan Bugis (Dato’ Onn Ja’afar, Pendeta Za’ba, Tun Abdul Razak, Tun Dr. Ismail, Tun Hussein Onn dan lain-lain), UMNO tidak akan wujud. Malaysia akan gagal mencapai kemerdekaan dalam masa yang diharap-harapkan. Tun Dr. Mahathir tidak akan ‘Masuk UMNO’ semula selepas dipecat dan ditendang keluar dari parti. Dan, sudah tentu Tun Dr. Mahathir tidak akan menjadi Perdana Menteri Malaysia yang keempat pada 16 Julai 1981. 

“…pergi baliklah ke Bugis” 

“Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya: 

Jawa itu Melayu, 
Bugis itu Melayu, 
Banjar juga disebut Melayu, 
Minangkabau memang Melayu, 
Keturunan Acheh adalah Melayu, 
Jakun dan Sakai asli Melayu, 
Arab dan Pakistani, semua Melayu, 
Mamak dan Malbari serap ke Melayu, 
Malah muallaf bertakrif Melayu 

- SN Usman Awang 

Jika dibuat perbandingan di antara ‘Bugis itu Melayu’ dengan ‘Mamak dan Malbari serap ke Melayu’, Bugis dilihat lebih Melayu jika dibandingkan dengan Mamak. Maka adalah tidak menghairankan jika SN Usman Awang meng-'adagium'-kan ‘serap ke Melayu’ sebagai tanda “me-Melayu-kan” Mamak. Mamak tidak boleh dianggap sebagai Melayu walaupun ‘serap ke Melayu’. Sampai bila-bila masa pun Mamak tidak boleh dianggap sebagai bangsa serumpun Melayu Nusantara sebagaimana Bugis. 

Pengaruh Bugis seperti sistem beraja, pemerintahan dan pentadbiran ke atas rumpun Melayu adalah jauh lebih kuat jika dibandingkan dengan pengaruh Mamak. Sebagaimana yang dicatatkan dan dibuktikan sejarah orang Bugis dari tanah Bugis begitu dominan dan signifikan terhadap perkembangan tamadun Melayu di seluruh kepulauan Melayu Nusantara. 

Adakah ‘Sumpah Melayu-Mamak’ termaktub dalam sejarah Melayu sebagaimana ‘Sumpah Melayu-Bugis’? Berikut adalah ‘Sumpah Melayu-Bugis’; 

Jikalau tuan kepada Bugis 
Tuanlah kepada Melayu 
Dan jikalau tuan kepada Melayu 
Tuanlah kepada Bugis 

Dan jikalau musuh kepada Bugis 
Musuhlah kepada Melayu 
Dan jikalau musuh kepada Melayu 
Musuhlah kepada Bugis 

Maka barang siapa mungkir 
Dibinasakan Allah sampai anak cucunya 

“…pergi baliklah ke Bugis”. Seandainya Tun Dr. Mahathir ditakdirkan kembali menjawat jawatan Perdana Menteri sekalipun adalah mustahil orang Bugis boleh dihalau balik ke tanah Bugis. Tanah Bugis yang terletak di kepulauan Sulawesi secara geografinya masih lagi berada di dalam lingkungan Malay Archipelago. Ia tidaklah sebagaimana ‘Tanah Mamak’ yang secara geografinya terletak di luar lingkungan Malay Archipelago. Walaupun sempadan politik moden telah memisahkan Tanah Bugis dan Tanah Melayu Semenanjung, kebudayaan dan kesalasilahan Melayu-Bugis senantiasa bertaut abadi. 

Tun Dr. Mahathir sebagai seorang bekas Perdana Menteri yang menerajui pemerintahan negara selama tempoh 22 tahun seharusnya lebih berhati-hati di dalam mengeluarkan sebarang kenyataan dan seharusnya juga lebih mengetahui tentang fakta sejarah keturunan bangsa Bugis”. 

- Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.