Skip to main content

Mahasiswa dan ‘Ubah mentaliti makan gaji': Kerajaan yang memerintah perlu realistik

Realiti ekonomi ialah untung dan rugi. Sebagaimana realiti ekonomi itu sendiri, ia tidak akan kisah siapa dan apa yang menggerakkannya. Sama ada si penggerak itu demokrasi atau komunis, pemodal atau si pemakan gaji, riba atau judi. Apa yang penting ia bergerak dan mesti bergerak secara minus to plus dari semasa ke semasa. 

Menurut Hukum Okun, turun naik kadar pengangguran secara dengan sendirinya akan mempengaruhi kadar keluaran dalam negara yakni Kadar keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan Kadar keluaran dalam negara bersih (KDNB). Berdasarkan Hukum Okun, apabila kadar pengangguran meningkat kadar keluaran dalam negara akan menurun. Apabila kadar pengangguran menurun kadar keluaran dalam negara akan meningkat. 

Kamus Dewan (Edisi Keempat) mentakrif Pengangguran sebagai perihal (keadaan) menganggur, keadaan (ramai) orang tidak mempunyai pekerjaan. Walaupun ahli ekonomi juga mentakrifkan pengangguran sebagai ‘tidak mempunyai pekerjaan’ tetapi ahli ekonomi juga mentakrif pengangguran sebagai ‘orang yang tidak mempunyai pekerjaan tetapi berupaya untuk bekerja atau melakukan pekerjaan dan dalam keadaan mencari pekerjaan’. 

Pengangguran sama ada ia dalam keadaan ideal atau bukan ideal, ia bukan sahaja memperlahan pertumbuhan dan pengembangan ekonomi tetapi juga boleh mematikan keseluruhan input dan output ekonomi sekiranya berkadar infiniti yakni melebihi kadar yang sepatutnya. Ini bukan sahaja ditakuti oleh isi rumah tetapi juga ditakuti oleh kerajaan yang memerintah. Jika ekonomi diberi pilihan sama ada ia memilih si penganggur atau si pemakan gaji, sudah tentu ia akan memilih si pemakan gaji. Ini adalah kerana si pemakan gaji mempunyai nilai kuasa beli, walaupun tidak seberapa, yang boleh menggerak dan menjana ekonomi. 

Dalam Program Bicara Santai Malam Gala Varsity Entreprenuership Skills and Talents (VEST) 2017 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 15 Oktober lalu, Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak telah membuat seruan kepada mahasiswa supaya mengubah mentaliti ‘makan gaji' kepada mentaliti keusahawanan. Seruan ini memang tepat dilontarkan dalam keadaan negara yang sekarang ini sedang menuju ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi. Tetapi dalam keadaan cuaca ekonomi negara sekarang yang kurang menentu walaupun iklim ekonominya baik, seruan ini sepatutnya berbunyi “Sebagai mahasiswa saya mahu mentaliti kita berubah, apabila kita sudah berjaya memperoleh input keusahawanan kita mesti cabar diri untuk fikir bahawa bidang keusahawanan boleh menjanjikan masa depan yang lebih bermakna”.

“Saya mahu mentaliti kita berubah, saya tidak mahu dalam fikiran kita ada mentaliti apabila keluar dari universiti, dalam kepala kata ingin kerja dengan kerajaan. 

 “Kita mesti cabar diri untuk fikir bahawa bidang keusahawanan boleh menjanjikan masa depan yang lebih bermakna.” 

- Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak 

Kegagalan mahasiswa untuk menceburkan diri ke dalam dunia perniagaan dan keusahawanan seusai pengajian akan menyebabkan mereka memilih pekerjaan makan gaji sama ada dalam jangka masa pendek atau jangka masa panjang. Sama ada secara terpaksa atau secara rela. Namun ia juga bergantung kepada keadaan ekonomi semasa. Bagaimana kalau keadaan ekonomi semasa suram dan muram? Apakah mahasiswa berupaya menceburkan diri ke dalam dunia perniagaan dan keusahawanan atau makan gaji? Bagaimana pula dengan si yang bukan-mahasiswa? 

Mahasiswa yang datang daripada keluarga golongan kelas atasan tentunya akan memilih bidang perniagaan dan keusahawanan sebagai kerjaya mereka seusai pengajian. Lebih-lebih lagi sekiranya input dan asas yang diperlukan untuk memulakan perniagaan dan keusahawanan telah tersedia dengan kemas dan rapi tanpa perlu bersusah payah. Begitu juga dengan mahasiswa yang datang daripada keluarga golongan kelas menengah tetapi berkemampuan. 

Bagaimana pula dengan mahasiswa yang datang daripada keluarga golongan menengah yang kurang berkemampuan? Atau yang datang dari pada keluarga golongan rendahan yang sememangnya tidak berkemampuan dari segi wang atau harta benda? 

Ilmu dan pengetahuan bidang perniagaan dan keusahawanan sahaja tidak mencukupi untuk dijadikan ‘modal’ dalam memulakan perniagaan atau keusahawanan. Untuk menceburi bidang perniaga dan keusahawanan, selain ilmu dan pengetahuan bidang niaga, mahasiswa memerlukan ‘wang atau harta benda yang dipergunakan sebagai pangkal atau pokok untuk berniaga’ yakni modal. Sekiranya modal untuk memulakan perniagaan dan keusahawanan yang secara matematiknya tidak mencukupi maka secara matematiknya juga perniagaan dan keusahawanan yang dimulakan itu tidak akan berjaya di peringkat permulaan. 

Mahasiswa, sebelum memulakan perniagaan dan keusahawanan terlebih dahulu perlulah ada pekerjaan, kemahiran dan pengalaman terutamanya yang berkait rapat dengan dunia perniagaan dan keusahawanan. Setakat ilmu dan pengetahuan bidang perniagaan dan keusahawanan, dan modal sahaja tidak mencukupi sekiranya ingin berjaya di langkah permulaan pertama memulakan perniagaan dan keusahawanan. Ia juga perlu disertakan dengan kemahiran dan pengalaman yang berkaitan. Kemahiran dan pengalaman yang berkaitan ini hanya boleh diperoleh apabila mahasiswa telah berpengalaman dalam dunia pekerjaan. 

Apa yang diperlukan oleh mahasiswa terutamanya yang datang dari keluarga menengah yang kurang berkemampuan dan golongan rendahan sekiranya hendak memulakan perniagaan dan keusahawanan? Sudah tentu pekerjaan makan gaji. Dengan siapa mereka makan gaji? Tentunya dengan kerajaan yang memerintah kalau tidak dengan entiti swasta. Kenapa majoriti mereka mahu makan gaji dengan kerajaan yang memerintah? Ia adalah kerana kerajaan yang memerintah memiliki input dan output asas seperti komunikasi, pengurusan dan pentadbiran yang boleh dijadikan pemicu untuk melangkah ke dalam dunia perniagaan dan keusahawanan di suatu masa nanti. 

Oleh hal yang demikian apabila berpolemik tentang ‘mahasiswa’ dan ‘makan gaji’, kerajaan yang memerintah perlu bersifat dan bersikap realistik dengan keadaan ekonomi semasa. Persoalan — Adakah majoriti mahasiswa memiliki ‘DNA’ perniagaan dan keusahawanan? Adakah majoriti mahasiswa memiliki ‘passion’ dalam bidang perniagaan dan keusahawanan? Apakah yang mendorong majoriti mahasiswa lebih memilih pekerjaan makan gaji daripada bidang perniagaan dan keusahawanan? — sudah tentu berkait rapat dengan keadaan ekonomi semasa yang sebenar bukannya yang bersifat di atas kertas. 

“Salah seorang guruku bilang, hanya sebentar lagi, dan ummat manusia tak perlu lagi membanting tulang memeras keringat dengan hasil sedikit. Mesin akan menggantikan semua dan setiap macam pekerjaan. Manusia akan tinggal bersenang. Berbahagialah kalian para siswa, …” 

- Pramoedya Ananta Toer, Bumi Manusia

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.