Skip to main content

Apabila siswazah jual nasi lemak, pandu Uber

Menjual nasi lemak atau menjadi pemandu Uber tidaklah bercanggahan dengan undang-undang dan peraturan ekonomi. Sekiranya berskala besar ia boleh mendatangkan nilai tambah terhadap keluaran dalam negara. Namun secara realitinya apabila siswazah menjual nasi lemak atau menjadi pemandu Uber ia bercanggahan dengan hukum ‘minus-to-plus’ ekonomi. 

Mengapa ia bercanggah dengan hukum ‘minus-to-plus’ ekonomi? 

Kamus Dewan edisi keempat mentakrifkan siswazah sebagai orang yang telah lulus dlm peperiksaan terakhir universiti dll, orang lulusan universiti. Untuk menjadi orang lulusan universiti atau siswazah seseorang itu bukan sahaja perlu layak dari segi pencapaian akademik peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) atau kelayakan yang biasanya lebih rendah tarafnya daripada ijazah (Diploma) tetapi juga perlu layak dari segi keupayaan kewangan yang memberangsangkan. 

Kos minima yang yang diperlukan oleh bakal siswazah untuk melanjutkan pelajaran/pengajian ke peringkat universiti sekurang-kurangnya memerlukan RM30 ribu ke atas. Jika si bakal siswazah itu mengambil bidang kursus yang kritikal seperti kursus kejuruteraan atau kursus perubatan, sudah tentu si bakal siswazah itu memerlukan kos pembiyaan pelajaran/pengajian RM40 ribu ke atas. 

Bakal siswazah sekiranya datang dari golongan kelas atasan barangkali tidak akan berhadapan dengan masalah kewangan sebelum dan selepas menyempurnakan pelajaran/pengajian di universiti. Tetapi bagaimana pula dengan bakal siswazah yang datang dari golongan menengah yang kurang berkemampuan dan golongan rendah/bawah yang sememangnya susah? 

Seusai pelajaran/pengajian, seseorang siswazah itu sudah tentu memerlukan pekerjaan yang sepadan atau setimpal dengan kelayakan akademik disamping kemahiran, kebolehan, dan kecekapan yang dimiliki. Padanan pekerjaan bukan sahaja mesti dari segi kelayakan akademik si siswazah tetapi juga mestilah padan dari segi nilai gaji/upah yang ditawarkan oleh majikan. 

Sekiranya seseorang siswazah itu melakukan pekerjaan yang tidak sepadan dengan apa yang dimilikinya, nilai gaji/upah yang ditawarkan oleh majikan pula rendah, maka akan berlakulah gerak ekonomi yang bersifat ‘plus-to-minus’ bukannya ‘minus-to-plus’. Ini kerana untuk bergelar sebagai ‘orang lulusan universiti’ kos pembiyaan yang besar nilainya perlu dibelanjakan. Masa dan waktu yang banyak dan panjang perlu diluangkan. 

Kos pembiayaan pelajaran/pengajian yang besar nilainya dan masa yang banyak diluangkan sekiranya tidak sepadan atau setimpal dengan hasil setelah bergelar sebagai ‘orang lulusan univerisiti’, ia bukan sahaja membantut pergerakan ekonomi negara dari segi perkembangannya dan pertumbuhannya secara makro-mikro, tetapi juga memberi kesan akhir terhadap ekonomi negara dan negara secara keseluruhannya pada masa akan datang iaitu pembaziran dan hutang. Sudah tentu pembaziran ilmu, kelayakan akademik,  kemahiran, kebolehan, kecekapan, kos, dan masa. Dan tanggungan beban hutang pinjaman pelajaran/pengajian terutamanya bagi siswazah yang membuat pinjaman untuk melanjutkan pelajaran/pengajian. 

“Kita tidak boleh berbangga dengan mereka yang terlibat dalam menjual nasi lemak ataupun menjadi ‘driver’ Uber. Ini untuk menampung pendapatan mereka kerana mereka tidak mendapat punca pendapatan sama sekali. “Sebaliknya, mereka ini yang terlatih dengan kecekapan yang begitu tinggi patut bekerja menggunakan kebolehan, ilmu dan kecekapan yang mereka perolehi”

- Tun Dr. Mahathir, Bekas Perdana Menteri 

Untuk membolehkan ekonomi tumbuh dan berkembang secara ‘minus-to-plus’, ia memerlukan tangan-tangan yang bukan sahaja mahir, boleh, dan cekap tetapi juga memiliki kelayakan akademik yang diperlukan. Pun begitu ia juga bergantung kepada struktur ekonomi negara dan faktor-faktor tertentu yang boleh mempengaruhi atau menjadi pemboleh ubah. Tangan-tangan itu adalah tidak lain tidak bukan ialah orang lulusan universiti. 

Sekiranya faktor-faktor pengaruh dan pemboleh ubah struktur bersifat ‘plus’ atau ‘value added’ maka ekonomi negara dengan secara sendirinya tumbuh dan berkembang yakni ‘minus-to-plus’. Begitu juga dengan sebaliknya. Akhirnya inilah yang akan memberi nilai sama ada ‘plus’ atau ‘minus’ terhadap jenis dan kadar banyaknya peluang pekerjaan, kadar pengangguran, kadar bayaran upah dan gaji, kadar inflasi, stagflasi, dan deflasi, kadar indeks harga pengguna, kadar kuasa beli isi rumah, kadar tabungan isi rumah, dan sebagainya. 

Mengapa siswazah jual nasi lemak dan pandu Uber? 

Pada tahun 2016 seramai 54,103 siswazah universiti menganggur dalam tempoh enam bulan selepas mereka menamatkan pengajian. Dan ia telah disahkan sendiri oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Idris Jusoh. Bagaimana pula dengan tahun-tahun yang seterusnya? Apakah akan berlaku peningkatan pengangguran di kalangan siswazah univeristi? 

Apabila siswazah jual nasi lemak dan pandu Uber maka terdapat dua faktor yang menjadi penyebab. Pertama, kurangnya peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan siswazah universiti. Kedua, kenaikan kos sara hidup yang gagal diserap oleh siswazah universiti walaupun telah memperoleh pekerjaan dan pendapatan tetap. 

Kurangnya peluang pekerjaan yang bersesuaian dan kenaikan kos sara hidup jika dilihat secara makro-mikro ekonomi, ia sebenarnya berkait rapat di antara satu sama lain yang mana akhirnya akan mendatangkan kesan ‘minus’ terhadap pertumbuhan dan perkembangan ekonomi negara secara menyeluruh pada masa akan datang. 

Jual nasi lemak dan pandu Uber, perlu dibanggakan? 

Jual nasi lemak dan pandu Uber bukanlah pekerjaan yang bersifat hina atau rendahan. Malah lebih tinggi martabatnya jika dibandingkan dengan pekerjaan yang bersifat ‘kelas atasan' tetapi dicemari unsur-unsur riba dan korupsi. 

Pekerjaan jual nasi lemak dan pandu Uber sememangnya tidak layak dilakukan oleh 'orang yang telah lulus dlm peperiksaan terakhir universiti dll, orang lulusan universiti'. Ini adalah kerana apabila pekerjaan jual nasi lemak dan pandu Uber dilakukan oleh orang lulusan universiti maka berlaku dan terjadinya pembaziran yang akhirnya merugikan negara. 

Pekerjaan yang layak untuk orang lulusan universiti ialah pekerjaan yang menuntut ilmu, kemahiran, kecekapan dan kebolehan yang dipelajari di universiti. Maka apabila pekerjaan jual nasi lemak dan pandu Uber dilakukan oleh orang lulusan universiti ia tidak perlulah dibanggakan.

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.