Skip to main content

Kuasa senyap

Seorang dramatis dan juga penulis esei terkenal Vaclav Havel berkata "kuasa ditangan mereka yang tidak punya kuasa... kuasa ini boleh digerakkan oleh media." Apa yang dimaksudkan oleh Vaclav Havel ialah kuasa senyap. Kuasa senyap merupakan kuasa yang tidak boleh disenyapkan oleh mana-mana pihak termasuk pihak pemerintah yang sedang berkuasa. Kuasa senyap sentiasa menelusuri masa dan waktu tanpa batas melainkan degup jantung alam terhenti.

Suatu kuasa itu sedang dan akan sentiasa lahir dalam bentuk apa jua sekalipun jika sudah sampai masanya. Kejatuhan kerajaan-kerajaan yang berkuasa sebagaimana tercatit didalam lembaran sejarah sebenarnya dijatuhkan oleh kuasa senyap. Hakikatnya kuasa senyap bukan dimiliki oleh sidang wazir pemerintah dan pemerintah tetapi dimiliki oleh rakyat marhaen. Tidak pernah tercatit didalam lembaran sejarah yang kerajaan walaupun bersifat diktator, autoritian, totalitarian, dan sebagainya tidak pernah tewas kepada kuasa senyap. Fakta yang paling jelas menggambarkan kejatuhan pemerintah dan kerajaannya ialah kejatuhan Presiden Suharto. Presiden Suharto yang telah memerintah Indonesia selama 32 tahun telah ditumbangkan oleh suara-suara rakyatnya yang padu apabila Presiden Suharto menyekat kebebasan bersuara melalui media.

Media sama ada dalam bentuk cetak mahupun elektronik sememangnya memiliki kuasa senyap. Setiap baik-bait wacana sentiasa menggerak intuisi dan pemikiran pembaca. Maka tidak hairanlah "kata-kata lebih tajam daripada pedang." Media merupakan tatapan harus tidak kira di kota mahupun di desa. Bagi rakyat marhaen yang sentiasa ingin tahu akan sesuatu perkara yang berkaitan dengan negara dan hal ehwal sepanjang masa sudah tentu menjadi pembaca setia media, tidak kira media cetak mahupun media elektronik.

Dalam konteks Malaysia, media wujud dalam dua aliran iaitu media yang bertuankan kerajaan pemerintah dan media bentuk bebas yang tidak bertuan kepada mana-mana pihak walaupun pihak kerajaan pemerintah. Media yang bertuankan kerajaan pemerintah sudah tentu akan seia dan sekata dengan apa-apa yang telah diacuankan dan dirumuskan oleh kehendak kerajaan pemerintah yang sinonim dengan nama "pihak berkuasa." Media yang telah bertuan ini sentiasa akur dan mengikut kesemua kehendak dan kemahuan kerajaan pemerintah tanpa membantah walau sekata patah pun.

Disamping itu juga media yang telah bertuan ini sentiasa dikawal dan diawasi untuk mengelakkan berlakunya hal yang tidak diingini berlaku iaitu "makan tuan." Maka tidak hairanlah media yang bertuan ini sentiasa terkongkong apabila ingin membahanakan wacana yang benar, jitu, dan tuntas walau pun makan tuan. Media yang bertuan sememangnya tidak mempunyai "kuasa senyap" dan hanya layak dilabel sebagai media jenis sampah.

Manakala media yang tidak bertuan sudah tentu tidak boleh dikawal dan sentiasa berada dalam keadaan liar. Media yang tidak bertuan akan senantiasa bebas bak burung merpati putih yang baru lepas dari sangkar emas. Ia tidak perlu kembali lagi ke sangkar emasnya untuk mendapatkan sesuap nasi atau mendapatkan simpati demi hidup, tetapi ia akan terus terbang bebas ke mana-mana asalkan terus bebas selagi ia masih lagi diperlukan.

Media yang tidak bertuan ini akan sentiasa berhadapan dengan pelbagai ugutan dan ancaman daripada pihak kerajaan pemerintah dan mana-mana pihak berkuasa yang bertuankan kerajaan pemerintah. Pelbagai bentuk tekanan dikenakan sama ada dalam bentuk fizikal mahupun mental atau psikologi. Namun itu semua tidak dapat menggugat kecekalan media yang tidak bertuan ini. Malahan setiap saat ia akan menggerakkan kudratnya untuk terus berpaksi kepada kebenaran. Media yang bertuan ini sememangnya lebih dan teramat layak untuk mendapat gelaran keramat yakni "penggerak kuasa senyap."

Media sama ada yang bertuan atau tidak bertuan akan sentiasa terus mengacubentuk minda rakyat marhaen. Media yang tidak bertuan tidak pernah memaksa sesiapa untuk mendukung setiap wacana yang dibahanakannya kerana ia yakin kata-kata lebih tajam daripada pedang dan mampu menjadi penggerak kepada kuasa senyap yang akhirnya dapat menumbangkan badut-badut kuasa kerajaan pemerintah yang disaluti dengan korupsi, kronisme, nepotisme, dan proksi-isme.

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.