Skip to main content

Kerajaan PM Abdullah dangkal

Kerajaan PM Abdullah Ahmad Badawi boleh disifatkan sebagai kerajaan yang "dangkal" didalam membuat penyelesaian masalah rakyat, kerana membuat penyelesaian yang tidak masuk akal dan membebankan rakyat. Pada masa yang sama, kalangan wazir-wazirnya turut seia dan sekata dengan apa yang diputuskan oleh PM Abdullah Ahmad Badawi.


PM Abdullah umumnya diketahui sebagai seorang yang terbuka dan berani dikritik oleh mana-mana pihak temasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir. Dengan sifat yang sedemikian, sudah tentu rakyat dapat membuat andaian dan kesimpulan yang PM Abdullah Ahmad Badawi seorang yang jaguh didalam selok belok berfikir dan membuat keputusan apabila berhadapan dengan seribu satu masalah negara. Pada masa yang sama, PM Abdullah Ahmad Badawi juga memiliki "jurufikir" keluaran Oxford dan ini mungkin membantunya mencari ilham untuk menyelesaikan masalah rakyat jauh sekali menjahanamkan rakyat.

Umum mengetahui bahawa PM Abdullah Ahmad Badawi telah berjaya mencapai puncak gemilang, cemerlang, dan terbilang apabila "berjaya" didalam Pilihan Raya Umum (PRU-12) lalu. Dengan manifesto "Selamat, Aman, dan Makmur," PM Abdullah Ahmad Badawi telah membuktikan yang dia telah memenuhi apa yang dikehendaki dan diingini oleh rakyat. Sekiranya rakyat gagal untuk memperoleh apa yang diinginkan, maka kerajaan (PM Abdullah) tidak boleh disalahkan dan rakyat perlu menyalahkan diri sendiri kerana rakyat "tidak mahu membongkar rahsiah kitab suci, membongkar sunnah Nabi dan mencari Al-Ghazali dan Al-Shafie," malah rakyat kini sudah berada di zon yang selesa.

"Kerajaan akan membentangkan usul khas berkaitan isu kesan kenaikan harga minyak dan barangan pada sidang Dewan Rakyat."

- Abdullah Ahmad Badwi, Perdana Menteri.

"Kerajaan bersetuju mengeluarkan lebih banyak permit perniaga kecil dan penjaja kepada rakyat berpendapatan rendah yang ingin menambah pendapatan dengan berniaga di tapak pasar tani, pasar malam serta kawasan perumahan yang dibenarkan."

"Kakitangan kerajaan juga boleh memohon permit ini yang akan diberi untuk tempoh jangka pendek atau panjang, mengikut keperluan."

- Berita Harian, 23/06/2008.

Keputusan kerajaan PM Abdullah "Kerajaan umum 4 langkah tambahan bantu rakyat hadapi kesan kenaikan harga," adalah tidak berpaksi kepada rasional dan jauh sekali diterima akal. Sebagai Perdana Menteri merangkap pencetus "Hadhari" PM Abdullah perlu melihat keputusan yang dibuat oleh kerajaan itu sama sekali tidak membantu dan meringankan beban rakyat didalam menghadapi kenaikan harga barang. PM Abdullah boleh dikatakan bijak lagi pintar jika dia menurunkan harga minyak dengan kadar harga mampu beli walaupun subsidi minyak dikurangkan atau ditarik balik. Ini kerana kenaikan harga barang adalah disebabkan oleh kenaikan harga minyak.

Kerajaan PM Abdullah boleh menaikan harga minyak sekiranya Malaysia bukan negara pengeksport minyak. Tetapi melalui fakta dan kronologi, Malaysia merupakan sebuah pengeluar minyak yang bermutu tinggi yang tiada tolok bandingannya, disamping mengimport minyak yang bemutu rendah untuk kegunaan rakyat. Menurut CIA - The World Fact Book, Malaysia telah mengeluarkan minyak sebanyak 751,800 tong perhari (Jangkaan 2005) dan kepenggunaan minyak sebanyak 501,000 tong perhari (Jangkaan 2005). Untuk tujuan eksport, Malaysia mengeksport sebanyak 611,200 tong perhari (2004) dan mengimport sebanyak 278,600 tong perhari (2004). Malaysia masih lagi mempunyai rizab simpanan minyak sebanyak 3 billion tong perhari (Jangkaan 2007).

Dengan mengeksport dan menaikan harga minyak sudah tentu syarikat minyak negara, PETRONAS dan kerajaan akan memperoleh keuntungan yang berlipat ganda. Kenaikan harga minyak dunia juga akan memberi keuntungan kepada Malaysia kerana Malaysia pengeksport minyak walaupun nilai dan jumlah eksport tidak setanding negara-negara pengeluar minyak utama. Dengan kenaikan harga minyak yang mendadak akibat kesan spekulasi di pasaran global, Malaysia pastinya berhadapan dengan masalah membeli minyak pada harga yang mahal walaupun minyak yang dibeli berkualiti rendah. Namun jumlah dan nilai eksport minyak Malaysia lebih besar jika dibandingkan dengan jumlah dan nilai import yang kecil. Ini bermakna kerajaan PM Abdullah tidak berhadapan dengan krisis kenaikan harga minyak. Hanya rakyat yang berhadpan dengan krisis kenaikan harga minyak.

Seandainya kerajaan PM Abdullah menurunkan harga minyak maka PM Abdullah boleh disifatkan sebagai membuat "kebajikan" dan ia selaras dengan prinsip "Hadhari." Lagipun PM Abdullah selalu melaungdengungkan yang kerajaannya sentiasa menngutamakan kebajikan rakyat. 4 langkah tambahan yang dibuat oleh kerajaan PM Abdullah tidak masuk akal dan tidak menampakkan rasional. 4 langkah tambahan tersebut sebenarnya bukan jalan penyelsaian untuk meringankan beban rakyat malah menambahkan lagi beban rakyat. Modal untuk perniaga kecil dan penjaja adalah tidak seberapa. Namun peniaga kecil dan penjaja memerlukan suntikan modal yang banyak jika harga minyak dinaikkan oleh kerajaan PM Abdullah.

Peniaga kecil dan penjaja memerlukan mobiliti untuk melariskan jualan. Malah jarak mobiliti akan bertambah sekiranya pusat tumpuan awam seperti medan selera, pasar tani, pasar malam, dan pasar minggu terletak jauh daripada tempat kediaman peniaga kecil dan penjaja. Disamping letakan tempat yang jauh, lebuh raya dan jalan-jalan utama disogokkan lagi dengan bayaran tol, maka peniaga kecil dan penjaja terpaksa menanggung kos keseluruhan mobiliti. Kos mobiliti yang tinggi pastinya akan memberi impak terhadap perolehan keuntungan peniaga kecil dan penjaja. Kerajaan PM Abdullah tidak akan berhadapan dengan kos mobiliti walaupun jarak mobiliti berjuta-juta batu jauhnya. Ini kerana kos mobiliti kerajaan PM Abdullah ditanggung oleh wang kerajaan yang datangnya daripada rakyat.

Asas dalam jual beli adalah mudah iaitu perlunya ada penjual dan pembeli. Tanpa pembeli, penjual tidak dapat melakukan urusniaga jual beli begitu juga dengan sebaliknya. Malaysia mengamalkan sistem ekonomi campuran dimana kerajaan boleh terlibat didalam aktiviti ekonomi, contohnya melalui pengwujudan Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC). Dengan formula memberi lesen atau permit perniagaan kecil-kecilan kepada kakitangan awam untuk jangka masa panjang dan jangka masa pendek, kerajaan PM Abdullah secara tidak langsung melahirkan golongan "penjual" dan mengurangkan golongan "pembeli." Walaupun wujud "sama rata sama rasa" antara penjual dan pembeli, keuntungan yang diraih adalah tidak seberapa malah barangan pengguna dipasaran akan laris walaupun dengan harga "cekik leher." Kelarisan barangan pengguna dipasaran sudah pasti mengubah pola perolehan cukai kerajaan PM Abdullah.

Pada pandangan kerajaan PM Abdullah, dengan pemberian permit perniagaan kecil-kecilan kepada kakitangan awam kerajaan terutamanya kakitangan awam yang berpendapatan rendah, kakitangan awam dapat mengurangkan beban kewangan dan menigkatkan pendapatan. PM Abdullah juga mengakui bahawa kakitangan awam yang terlibat dengan perniagaan skala kecil ini boleh memberi kesan negatif terhadap produktiviti mereka sebagai kakitangan awam yang berkhidmat untuk rakyat. Kakitangan awam yang mencari rezeki secara "dua sesi" yakni pada waktu siang dan waktu malam, sudah pasti kadar tekanan mereka berada pada tahap yang tinggi. Apabila seseorang kakitangan awam menghadapi tekanan akibat kerja dua sesi, maka secara langsung tekanan yang dihadapi itu akan memberi kesan pada produktiviti. Apabila produktiviti kakitangan awam terjejas sudah pasti prestasi khidmat kerajan PM Abdullah kepada rakyat tejejas dan kerajaan PM Abdullah terpaksa berhadapan dengan tujahan cemuhan. Sudah pasti PM Abdullah tidak mahu kerajaannya menjadi bahan cemuhan dan jenaka rakyat.

4 langkah tambahan yang diperkenalkan oleh kerajaan PM Abdullah juga boleh mengakibatkan kesesakan trafik. Di Malaysia, waktu puncak kesesakan trafik adalah pada tamatnya waktu pejabat yakni pukul 5.00 petang. Bagi kakitangan awam yang melakukan kerja dua sesi, dia terpaksa melakukan mobiliti dua kali ganda yakni mobiliti ke tempat kerja utama (pejabat kerajaan) dan ke tempat kerja sampingan (pasar malam, dan lain-lain). Mobiliti yang kadarnya dua kali ganda sudah pasti memberikan kesan keseskan trafik terutamanya pada waktu puncak. Namun mobiliti yang kadarnya dua kali ganda juga boleh memberi kesan positif kepada kerajaan PM Abdullah iaitu kekerapan pembelian diesel dan petrol, dan kekerapan membayar tol di laluan lebuhraya-lebuhraya utama.

Apa yang perlu dan patut dilakukan oleh PM Abdullah dan kerajaannya ialah mencari jalan penyelesaian "menang-menang" antara rakyat dan kerajaannya. Ini kerana, pada masa PRU-12 lalu, PM Abdullah telah berjanji dan memastikan yang kerajaannya melaksanakan kebajikan kepada rakyat. Sekiranya PM Abdullah dan kerajaannya mencari jalan penyelesaian yang mana akhirnya keuntungan berpihak kepada kerajaannya, sudah jelas PM Abdullah menjahanamkan rakyat dan jauh sekali seiring dengan mantera "bekerjalah bersama-sama saya, tetapi bukan untuk saya" dan prinsip-prinsip "Hadhari." Dengan menurunkan harga minyak pada harga mampu beli, PM Abdullah sudah dapat menyelesaikan masalah rakyat malah melakukan kebajikan kepada rakyat.

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.