Skip to main content

Tun Dr. Mahathir menjatuhkan Presiden MIC?

Minggu lalu, Tun Dr. Mahathir telah mengeluarkan kenyataan di akhbar Makkal Osai bahawa Samy Vellu tidak pernah membuat apa-apa untuk kesejahteraan kaum India di negara ini. Kenyataan Tun Dr. Mahathir ini dikecam hebat oleh perwakilan di Perhimpunan Agung MIC. Seorang perwakilan dari Ampang, M. Muniandi, menyifatkan kenyataan Tun Dr. Mahathir yang mendakwa Presiden MIC tidak pernah membuat apa-apa kepada masyarakat India di negara ini adalah tidak berasas sama sekali.


Tun Dr. Mahathir sejak dari dulu lagi merupakan seorang pengkritik yang sungguh prolifik. Kritikan yang dilontar bukan untuk menjatuhkan maruah seseorang tetapi meletakkan semula maruah seseorang itu di tempat yang selayaknya. Perlu diingat bahawa kritikan tidak semestinya anti atau membenci. Dan, perbezaan pendapat dan pandangan adalah teman berfikir yang baik. Namun adakalanya mengkritik seseorang “lambang” dianggap sebagai menjatuhkan maruah seseorang. Tetapi maruah seseorang itu tidak akan jatuh selagi dia sendiri tidak menjatuhkan maruah dirinya sendiri.

Dato’ Seri S. Samy Vellu merupakan haiwan politik yang cukup berpengalaman. Boleh disifatkan sebagai politikus yang hebat. Tidak terkalahkan oleh sama ada teman sepermainan mahupun lawan seperjuangan. Namun dunia politiknya menjadi gelap gelita setelah tewas di tangan lawan seperjuangan merebut kuasa politik semasa Pilihan Raya Umum 12.

Jumlah masyarakat India di Malaysia adalah sebanyak 7.1 peratus. Dari segi penguasaan ekonomi masyarakat India menguasai sebanyak 1.1 peratus. Walaupun penguasaan ekonomi masyarakat India kecil jika dibandingkan dengan masyarakat Melayu dan Cina, Masyarakat India memiliki purata pendapatan isi rumah yang lebih baik jika dibandingkan dengan masyarakat Melayu dan masyarakat Bumiputera lain. Setakat tahun 2004 purata pendapatan isi rumah masyarakat India adalah sekitar RM3456 (Abdullah Ahmad Badawi).

Dari sudut konteks Malaysia, Masyarakat India masih boleh dikatakan terpinggir di atas padang percaturan pembangunan negara. Masyarakat India bukanlah masyarakat yang malas di dalam usaha pemajuan diri apatah lagi di dalam membangunkan sosio-ekonomi. Sejarah bangsa India sudah memberitahu dunia bahawa bangsa India adalah bangsa yang bertamadun dan telah mencapai zaman emas pada waktu silam. Bangsa India di abad ini merupakan masyarakat global. Bangsa India sentiasa ada di setiap ceruk dunia padang perniagaan dan perdagangan. Negara bangsa India sendiri bakal menjadi kuasa besar ekonomi selepas negara bangsa China.

Apakah yang menyebabkan masyarakat India di Malaysia terpinggir dan tersingkir di arus pembangunan negara? Adakah disebabkan kegagalan masyarakat India untuk berdiri di atas kaki sendiri? Atau adakah disebabkan oleh kegagalan pemimpin-pemimpin masyarakat India seperti Dato’ Seri S. Sammy Vellu di dalam memimpin masyarakat India ke arah progresif?

Dato’ Seri S. Sammy Vellu merupakan seorang figura politik yang amat bererti bagi segolongan masyarakat India. Tanpanya, masyarakat India di Malaysia akan ketinggilan dalam ekonomi, sosial, dan politik sehingga ada yang menyifatkannya sebaga “pokok ara” dengan akar yang teguh dan tidak akan berganjak walaupun ditiup angin kencang dan juga sebagai penyelamat dan pengawal masyarakat India di negara ini. Penyifatan sedemikian amat tinggi kastanya. Namun penyifatan ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah penyifatan palsu semata sebagai tanda taat setia kepada pemimpin tertinggi parti.

Dato’ Seri S. Sammy Vellu merupakan Presiden Parti MIC yang ke – 7 dan telah memegang jawatan Presiden Parti sejak dari tahun 1979. Walaupun tewas kepada Dr. D. Michael Jeyakumar pada Pilihan Raya Umum 12 lalu tetapi masih lagi memegang jawatan tertinggi parti, dan masih lagi berpengaruh di kalangan masyarakat India. Walaubagaimana pun, PRU12 tetap memberi tamparan hebat terhadap “keunggulan” politiknya.

Kepimpinan Dato’ Seri S. Sammy Vellu sudah hampir mencecah tiga puluh tahun. Tiga puluh tahun merupakan satu jangka masa panjang lebih-lebih lagi di dalam dunia politik. Sepanjang kempimpinan Dato’ Seri S. Sammy Vellu sehinggalah ke hari ini, masyarakat India majoritinya mengaku bahawa mereka masih lagi didiskriminasi di negara ini sejak lebih lima puluh tahun Malaysia mencapai kemerdekaan. Masyarakat India majoritinya mengaku bahawa diskriminasi inilah yang menyebabkan mereka tidak dapat duduk sama rendah berdiri sama tinggi atau dalam erti kata lain “sama rata sama rasa” dengan masyarakat lain terutamanya masyarakat Melayu dan Cina.

Seterusnya, Dato’ Seri S. Sammy Vellu tidak layak disifatkan sebagai “pokok ara” dan “penyelamat dan pengawal” masyarakat India di negara ini sekiranya masyarakat India wujud dalam keadaan terpisah walaupun tinggal di bawah satu payungan “pokok ara” yang rimbun merendang. Keadaan terpisah masyarkat India jelas kelihatan sebagaimana terpisahnya masyarakat Melayu melalui entiti politik (Umno – PAS – PKR). Walaupun buat masa ini hanya ada dua parti politik masyarakat India – yakni MIC dan PPP (Parti Progresif Penduduk) – tetapi perlu diingat bahawa tanggapan “didiskriminasi” masih lagi bersarang di dalam jiwa dan sanubari kebanyakan masyarakat India.

Contoh yang paling jelas adalah berkenaan dengan sokongan kebanyakan masyarakat India terhadap Barisan Tindakan Hak Asasi Hindu (HINDRAF). Apakah yang akan berlaku kepada MIC dan Dato’ Seri S. Sammy Vellu seandainya pemimpin-pemimpin HINDRAF yang mengadakan perhimpunan pada 25 November 2007 di Kuala Lumpur menubuhkan satu parti politik sebagai mewakili masyarakat India? Apakah kehakisan hegomoni?

Seandainya Dato’Seri S. Sammy Vellu benar-benar “pokok ara” sudah tentu masyarakat India dapat duduk sama rendah berdiri sama tinggi atau “sama rata sama rasa” dengan masyarakat lain di negara ini. Seandainya Dato’ Seri S. Sammy Vellu benar-benar “penyelamat dan pengawal” atau pemimpin politik yang unggul sudah tentu masyarakat India tidak terpisah melalui entiti politik. Jumlah masyarakat India di negara ini amat kecil. Adalah sesuatu yang tidak baik jika masyarakat India wujud dalam keadaan terpisah melalui entiti politik. Walaupun kewujudan parti politik baru baik untuk demokrasi tetapi ia tidak baik untuk perpaduan nasional lebih-lebih lagi dengan iklim masyarakat Malaysia yang majmuk dan “rumit.”

Sebagai seorang pemimpin yang diberi julukan “pokok ara” dan “pengawal dan penyelamat” tidak salah rasanya Dato’ Seri S. Sammy Vellu menerima pandangan dan teguran yang membina dari seseorang tanpa mengira siapa seseorang itu melainkan orang yang kurang waras akal dan pemikirannya. Mengkritik tidak semestinya anti. Dan, berbeza pendapat dan pandangan adalah teman berfikir yang baik.

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.