Skip to main content

Antara rombakan Kabinet dan quid pro quo

Pada kebiasaannya Perdana Menteri akan merombak jemaah Kabinetnya apabila meyakini bahawa jemaah Kabinetya yang sedia ada tidak cekap sehingga boleh menjejaskan pentadbiran kerajaan.

"Apa yang penting hendak saya tegaskan ialah perlu diingatkan jika berlaku rombakan Kabinet, ia hendaklah mampu meningkatkan pentadbiran kerajaan dan bukan hanya semata-mata untuk melakukan rombakan."

- Datuk Seri Najib Razak, Perdana Menteri

Rombakan Kabinet wajar atau perlu dilakukan dengan serta merta sekiranya (1) Menteri dan Timbalan Menteri tidak cekap mentadbir dan hanya sekadar mampu menjalankan tugas-tugas menteri, dan (2) Menteri dan Timbalan menteri gagal menjalankan tugas dengan sehabis baik, dan gagal memikul amanat dan mandat yang dipertanggungjawabkan, walaupun menteri dan timbalan menteri merupakan produk keluaran Oxford, Havard, dan Cambridge.


Rombakan Kabinet tidak wajar atau tidak perlu dilakukan sekiranya Menteri dan Timbalan Menteri cekap mentadbir dan menjalankan tugas-tugas menteri dengan cemerlang, gemilang, dan terbilang, di samping perkasa memikul tugas, amanah dan mandat yang dipertanggungjawabkan. Sekiranya rombakan Kabinet dilakukan juga (sama ada dalam masa terdekat atau pada bila-bila masa), maka pada kebarangkalian rombakan Kabinet; quid pro quo.

Satu persoalan politikal yang perlu dirungkai. Apakah rombakan Kabinet quid pro quo?

Dalam satu sisi yang politikal, rombakan Kabinet tidak semestinya bersandar secara mutlak pada kebiasaan atau kelumrahan Kabinet dirombak; umpamanya, Kabinet dirombak adalah kerana menteri dan timbalan menteri tidak cekap dan hanya setakat menjalankan tugas yang diarahkan Perdana Menteri. Ada kebarangkaliannya rombakan Kabinet juga dipengaruhi secara langsung atau tidak langsung oleh faktor-faktor yang serba politikal yang dilihat tidak masuk akal tetapi secara paradoksnya masuk akal, umpamanya quid pro quo.

Pada Perhimpunan Agung Umno yang ke-60 lalu, 2539 perwakilan telah bersetuju supaya perlembagaan parti dipinda dan sistem kuota dihapuskan dalam pemilihan. Ini membolehkan ahli menawarkan diri bertanding jawatan Presiden. Seandainya dalam pemilihan Umno Presiden Umno tewas di tangan ahli yang bertanding maka secara teknikalnya Presiden Umno harus berundur daripada jawatan Perdana Menteri. Pada pemilihan Umno 1987, Presiden Umno, Dr. Mahathir hampir tewas kepada Tengku Razaleigh Hamzah dengan majoriti tipis 43 undi.

Pada pemilihan Umno yang akan datang, tidak mustahil Datuk Seri Najib Razak akan dicabar oleh ahli yang bertanding merebut jawatan Presiden Parti. Ada kebarangkalian Tengku Razaleigh Hamzah atau Tan Sri Muhammad Muhammad Taib atau mana-mana ahli Majlis Tertinggi akan bertanding merebut jawatan Presiden Umno pada pemilihan yang akan datang.

Untuk mengekalkan jawatan dalam parti, Datuk Seri Najib Razak perlu mengekalkan sokongan yang diraih yakni sokongan ahli dalam parti di samping menarik sokongan baru. Sokongan padu dan selesa daripada jemaah Kabinet tidak akan membawa apa-apa makna kepada Datuk Seri Najib Razak sekiranya sokongan ahli dalam parti (terutamanya ahli Majlis Tertinggi Umno) meruncing. Turun naik sokongan ahli parti (terutamanya ahli parti yang memegang jawatan dalam Kabinet sekarang) terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Razak berkait rapat secara langsung dengan TAAT SETIA yang ditunjukkan. Untuk mengekalkan sokongan, quid pro quo perlu dilakukan oleh Datuk Seri Najib Razak apabila merombak Kabinetnya, barangkali.

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.