Skip to main content

Debat politik secara terbuka: Pro dan kontra

Dalam satu temuramah media, mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir menyarankan supaya debat politik secara terbuka dihentikan. Saranan ini nampaknya tepat pada masanya di mana politik Malaysia lebih terarah kepada destruktif, jauh daripada konstruktif. Debat politik secara terbuka walaupun pragmatik dari segi budaya berpolitik namun ia tidak pragmatik dari segi mencari jalan penyelesaian isu-isu politik nasional yang serba rumit dan kompleks.


Pro
Dari segi budaya berpolitik, debat politik secara terbuka boleh dijadikan pentas laluan kepada politikus-politikus nasional - politikus-politikus muda terutamanya - untuk mengasah bakat dan keupayaan berhujah dan berbahas secara jitu dan tuntas dihadapan khalayak rakyat. Di samping itu, pentas debat politik secara terbuka boleh dijadikan laluan untuk politikus-politikus nasional mengetengahkan isu-isu politik yang rapat dengan rakyat.

Isu-isu politik yang diketengahkan - terutamanya isu-isu politik yang rapat dengan rakyat - sama ada secara jitu, tuntas, atau sebaliknya, pastinya memberi input pengetahuan persekitaran politik, di samping mengajak rakyat - terutamanya yang hendak menceburi bidang politik seperti komuniti mahasiswa - berfikir tentang isu-isu politik yang dibahas dan dihujah di pentas debat politik seara terbuka. Dari segi output pula tidak lain dan tidak bukan ialah rakyat tidak lagi "buta politik" dan "dieksploitasi" oleh politikus-politikus nasional yang menikus yang opportunist.

Seterusnya, debat politik secara terbuka dapat mendidik dan mengajar rakyat untuk mengenal yang mana "kaca politik" dan yang mana "permata politik." Kebolehkenalan rakyat terhadap kaca dan permata politik, seterunya dapat memberi jalan kepada rakyat dalam membuat keputusan politikal seperti memilih atau tidak parti politik kerajaan yang memerintah atau parti politik pembangkang atau tidak, atau tidak memilih kedua-duanya langsung pada pilihanraya yang akan datang atau yang seterusnya.

Kontra
Dari satu sisi, debat politik secara terbuka adalah tidak pragmatik di dalam mencari jalan penyelesaian isu-isu politik nasional yang serba kusut lagi kalut. Isu-isu politik yang dibahas dan dihujah melalui debat politik secara terbuka boleh "meracun" pemikiran dan gelagat pengikut dan penyokong fanatik yang taksub parti politik dan pemimpin parti politik; seandainya isu-isu politik yang dibahas dan dihujah itu cenderung kepada ajakan provokasi dan konfrontasi.

Stratifikasi sosial di Malaysia terdiri daripada masyarakat majmuk; berbilang bangsa, agama dan kepercayaan. Isu politik yang dibahas dan dihujah di pentas debat politik secara terbuka seandainya menyentuh sensitiviti perkauman boleh mencetuskan kekacauan sosial sebagaimana kekacauan sosial yang berlaku pada 13 Mei 1969. Politikus-politikus nasional adakalanya dangkal, dungu, dan emosional apabila membahas dan menghujah isu-isu politik sehingga mencetuskan "panik" di kalangan pengikut, penyokong, dan rakyat.

Oleh kerana rakyat Malaysia terdiri daripada masyarakat majmuk, isu-isu politik yang timbul sudah semestinya bersifat majmuk. Isu-isu politik yang bersifat majmuk memerlukan penyelesaian melalui kebijakan diplomasi dan rundingan secara meja bundar. Seandainya debat politik secar terbuka dijadikan sebagai jalan mencari penyelesaian isu-isu politik yang timbul, pada kebarangkalian debat politik secara terbuka perlu diadakan secara kerap sehingga boleh mengganggu produktiviti dan aktiviti ekonomi isi rumah / rakyat. Ini secara tidak langsung merencatkan pertumbuhan ekonomi domestik negara dalam jangka masa yang panjang di mana rakyat akhirnya mendapat kesan negatif ekonomi.

Kebijakan - mengkritik dan menganalisis - adalah perlu

Walaupun debat politik secara terbuka mempunyai pro dan kontra, sesuatu yang perlu disedari ialah kedua-duanya - pro dan kontra - sentiasa bersifat ceteris paribus dan sentiasa berada dalam keadaan equilibrium - bersandarkan hipotesis sosial-ekonomi-politik. Oleh yang demikian untuk membuktikan hipotesis - debat politik secara terbuka adalah langkah ke arah pragmatik - kebijakan adalah perlu. Kebijakan - mengkritik dan menganalisis - perlu ada pada kedua-dua pihak - politikus-politikus nasional dan rakyat. Seandainya kebijakan hanya bersifat sepihak - sama ada di pihak politikus-politikus nasional atau rakyat - maka tidak akan wujud imbangan kesefahaman di antara politikus-politikus nasional dan rakyat; terhadap isu-isu politik yang dibahas dan dihujah melalui debat politik secara terbuka.

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.