Skip to main content

Indoktrinasi minda

Indoktrinasi minda ialah perlakuan memahamkan sesuatu aliran fahaman kedalam minda seseorang sama ada dalam bentuk formal mahupun bukan formal. Namun demikian secara keseluruhannya, indoktrinasi minda dilakukan dan dilaksanakan secara formal dan ia biasanya dilaksanakan oleh badan-badan yang dipertanggungjawabkan oleh kerajaan yang memerintah.

Wazir-wazir sang penguasa akan sentiasa mengerah kudrat hati, akal, dan fikiran agar pengindoktrinasian minda berjalan secara tetap dan berterusan walaupun ada halangan yang berbentuk bangkangan daripada pihak-pihak yang bersuara lantang. Dapatlah dijelaskan bahawa indoktrinasi minda berpunca daripada sang penguasa. Tujuan pengindoktrinasian minda adalah tidak lain dan tidak bukan untuk melahirkan satu bentuk aliran fahaman yang pro kepada sang penguasa dan kerajaannya disamping mengelakgugatkan kuasa yang dimiliki dan dicabar.

Oleh yang demikian kalangan rakyat sama ada marhaen mahupun non-marhaen sentiasa menurut secara rela hati tanpa mendepankan hak asasinya sebagai mahkluk yang bernyawa di atas muka bumi ini. Namun demikian wujud juga di kalangan rakyat marhaen dan non-marhaen yang tidak menurut semahunya apa-apa yang telah digalurkan didalam perlaksanaan indoktrinasi sama ada dalam bentuk hitam putih mahupun media. Golongan ini akhirnya bergelar sebagai satu komuniti ataupun puak dalam masyarakat yang sentiasa lantang bersuara berdasarkan hak asasi kemanusiaan dan tidak gentar kepada sang penguasa.

Bentuk pengindoktrinasian minda di Malaysia bermula daripada awalan yang boleh diumpamakan sebagai "melentur buluh biar dari rebungnya." Maka setiap pengubal-pengubal dasar kerajaan sang penguasa sentiasa menjadi kilang buih mulut dalam kesungguhan mencatur segala bentuk strategi dan perancangan agar pengindoktrinasian minda menemui titik gemilang, cemerlang, dan terbilang. Setiap indoktrinasi dijadikan agenda kerajaan sang penguasa atas nama "daripada rakyat, kepada rakyat, dan untuk rakyat." Agenda kerajaan ini akhirnya dilaksana secara terperinci , diterap dengan begitu sebati, diamal secara secara berterusan oleh golongan yang bertuankan kerajaan sang pemerintah. Golongan yang bertuankan kerajaan adalah golongan yang seperti berikut;

1) Kakitangan Awam sama ada didalam organisasi kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri.

2) Ahli atau pengamal akademik di institusi-institusi pengajian sama ada peringkat dasar, peringkat menengah, dan peringkat tinggi.

3) Kakitangan Keselamatan yakni Polis DiRaja Malaysia, tiga cabang utama tentera negara iaitu tentera darat, tentera laut, dan tentera udara, dan organisasi-organisasi selain daripada organisasi polis dan tentera yang ada kaitan dengan organisasi keselamatan negara. (Kakitangan keselamatan walaupun menjalankan tugas atas nama Yang di-Pertuan Agong tetapi secara teknikalnya ia masih berkiblat kepada kerajaan sang penguasa pemerintahan kerana sang penguasa mengandaikan yang dia menjalankan tugas pemerintahan atas nama Yang di-Pertuan Agong dan dikukuhkan dengan slogan "URUSAN SERI PADUKA BAGINDA").

4) Ahli atau pengamal media terutamanya media yang berada dibawah telunjuk kerajaan sang penguasa.

5) Golongan agamawan yang terletak dibawah kelolaan kerajaan sang penguasa. (Golongan ini pada asasnya tidak mempunyai kebebasan bersuara)

6) Ahli masyarakat terutamanya golongan yang rela dan patuh kepada kerajaan sang penguasa tanpa mempersoal bicara.

Sudah kehendak sang pencipta yakni Allah Maha Besar menjadikan dua unsur yang akan berakar ke padang mahsyar iaitu unsur pahala dan dosa. Pahala boleh dilambangkan sebagai baik, dan dosa pula digambarkan sebagai buruk. Maka setiap urusun duniawi manusia tidak akan lepas daripada dua unsur itu apatah lagi manusia itu sendiri tidak sempurna secara mutlak. Begitu juga dengan pengindoktrinasian minda dimana ianya mempunyai sudut pandang positif dan negatif. Namun demikian, kepositifan dn kenegatifan indoktrinasi minda berkait secara rapat dan seiringan dengan jenis perwatakan menyeluruh seseorang yang bergelar sang penguasa pemerintahan.

Pengindoktrinasian minda dari sudut pandang positif ialah pelahiran satu komuniti masyarakat yang sentiasa mengikut peraturan yang membawa kepada kebaikan sama ada di dunia mahupun di akhirat. Ini kerana melalui pengindoktrinasian minda, golongan masyarakat yang telah diindoktrinasi mindanya akan sentiasa menjurus kepada kebaikan dan menghindar kemungkaran. Manakala dari sudut pandang negatif pula, pengindoktrinasian minda akan melahirkan satu komuniti masyarakat yang mengiakan apa sahaja yang didengungkan oleh sang penguasa tanpa mencerna semasak-masaknya dan mentafsir secara jitu, tuntas, kritikal dan teoritis.

Disamping itu, pengindoktrinasian minda juga merupakan salah satu cara terbaik pengekalan kuasa dan kedudukan sang penguasa beserta para pewaris, kroni, proksi, dan golongan-golongan yang memberi kepentingan makro dan mikro kepadanya. Tanpa pengindoktrinasian minda sudah tentu sang penguasa dipemerintahan yang berjiwa kerdil, muflis idea, barua, dan sebagainya tidak dapat mengekalkan apa yang mereka ada kini.

Melalui pengindoktrinasian minda, sang penguasa dengan lantang menyelar golongan komuniti kecil yang tidak sehaluan dengan aliran doktrin yang telah diindoktrinasikan, malahan pelbagai cara digunakan untuk menyekat dan mengekang. Kelantangan bersuara golongan ini dibisukan dengan undang-undang tulisan tangan yang boleh dihapus kemudiannya untuk memberi laluan kepada sang penguasa pemerintahan mendengungkan bait-bait saktinya.

Walau bagaimana pun sang penguasa pemerintahan masih lagi tidak mampu menerungku minda atau mental golongan komuniti kecil yakni komuniti blogger. Komuniti kecil ini akan terus berjuang secara maya atas nama kesaksamaan total. Walaupun wujud ketidaksetaraan dari segi aspek aliran fahaman di kalangan golongan komuniti kecil ini mereka tetap wujud sebagai satu komuniti yang lantang bersuara.

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.