Skip to main content

Sastera itu berat?

Halatuju sastera di Malaysia semakin meruncing, boleh juga disamakan seperti telur dihujung tanduk dan diibaratkan seperti hidup segan mati tak mahu. Sastera sememangnya penting dalam menjana pengayaan dan pengukuhan kepenggunaan bahasa Melayu. Tanpa sastera sudah tentu bahasa Melayu tidak dapat berdiri dengan sebegitu teguh dan kukuh. Sastera telah membuktikan ia mengangkat dan memartabat bahasa Melayu di alam Nusantara yakni alam dan dunia Melayu sejak dari zaman silam lagi hinggalah sekarang. Apakah keruncingan halatuju sastera di Malaysia ada kaitanya dengan "beratnya berfikir?"

Sejak mutakhir ini yakni era hadhari, propaganda-propaganda sang penguasa yang sentiasa menerawang dicorong-corong media sering menyeru kepada pembangunan. Pembangunan sering dipolemikkan oleh golongan-golongan "animal politics," ilmuan, cendikiawan, golongan akademik, penuntut ilmu dan sebagainya. Penyeruan kepada pembangunan dilakukan agar misi dan visi hadhari dapat dicapai disamping kesejajaran dengan maksud "hadhari" itu sendiri. Sudah tentu pembangunan negara yang bertiangserikan hadhari merangkumi semua segala aspek mikro dan makro dunia untuk dunia dan sebagai bekal di akhirat kelak.

Namun malang mungkin dan akan menimpa sebelum negara kita mencapai tingkat hadhari apabila berfikiran berat tidak diadaptasikan didalam pembelajaran sama ada pembelajaraan bukan sastera atau sastera di sekolah-sekolah menengah seluruh Malaysia. Berfikiran berat bukan sahaja melibatkan pembelajaran formal dan bukan formal tetapi melibatkan kesemua aspek yang membolehkan kita hidup sebagai insan yang dianugerahkan akal, hati dan perasaan yang membawa kepada pencetusan ilham, idea, ilmu, dan sebagainya.

Perlu difahami dan diyakini bahawa kesemua hidupan dan bukan hidupan yang ada dimuka bumi bahkan apa yang telah dicipta oleh Allah seluruhnya memerlukan perenungan yang tajam dan berat. Ini sudah tentu memerlukan pemikiran yang berat dan bukannya pemikiran ringan. Tanpa pemikiran berat sudah tentu manusia dimuka bumi ini tidak boleh menembusi langit ke tujuh untuk melihat kebesaran Allah di angkasaraya sana.

Pembelajaran sastera sememangnya amat penting untuk kita bersedia berfikir secara berat. Namun sastera yang dipelajari itu harus mempunyai tahap kualiti yang baik. Sastera yang berkualiti bukan dinilai pada aspek picisan dan kepopularan tetapi dinilai melalui kualiti penulisan disamping kualiti penulis. Kualiti penulisan dan kualiti penulis ini akhirnya mengangkat kepengunaan bahasa Melayu yang sejajar dengan teras Pelita Hidup yang diwariskan oleh tokoh bahasa yang ulung di negara kita - Pendeta ZA'BA.

Disamping mengangkat kepengunaan bahasa Melayu pembelajaran sastera juga boleh mengggedungkan ungkapan-ungkapan falsafah kehidupan yang amat berguna kepada kita untuk dijadikan sajian muhasabah diri dalam mencapai kehidupan yang bermakna. Tidak dinafikan karya sastera yang berkualiti bentuk penulisannya memang amat mendalam dan penafsirannya memerlukan pemikiran berat tetapi segala cabang ilmu pun sedemikian juga. Dalam bidang matematik umpamanya, kesemua mereka yang bersekolah tahu bahawa 1 + 1 = 2 tetapi adakah kesemua mereka itu tahu kenapa 1 + 1 = 2? Jadi untuk mengetahui sebab apa, kenapa, dan mengapa maka pemikiran berat amat diperlukan.

Kesan dan implikasi penerapan hasil karya sastera "sampah" didalam sistem Kokurikolum Bersatu Sekolah Menengah (KBSM) terutamanya didalam teks Komponan Sastera Dalam Bahasa Melayu (KOMSAS) 2010, akan menyebabkan minda para penerus generasi bangsa berada dalam keadaan statik yakni tidak dapat berkembang. Minda yang tidak dapat berkembang akan membantutkan lagi misi dan visi negara untuk mencapai tingkat hadhari.

Perlaksanaan komsas yang berteraskan karya sastera popular dan picisan juga tidak lain dan tidak bukan merupakan satu bentuk penjajahan minda yang telah dituankan oleh PM Abdullah merangkap pencetus hadhari. Mungkin dapat disimpulkan bahawa pemikiran berat akan membawa kepada aliran baru yang dianggap menyeleweng dari pemikiran sediakala yakni aliran pemikiran yang berkiblat kepada sang penguasa.

Abdullah Hj Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri Malaysia juga merangkap pencetus hadhari perlu sensitif dan ambil tahu secara serius hal yang berkaitan dengan Komsas. Adalah diyakini bahawa PM Abdullah selalu mengambil berat setiap permasalahan yang wujud dimana ia melibatkan kepentingan negara. Pada 7 Februari 2008, PM Abdullah telah meminta menteri pelajaran, Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein supaya meneliti semula permintaan komuniti Cina untuk membuka semula sekolah Cina, SRJK Sri Damansara.

Oleh yang demikian, PM Abdullah juga perlu meminta menteri pelajaran supaya menyemak semula isi kandungan perlaksanaan teks Komsas 2010. Seandainya PM Abdullah bernada sepi maka dapatlah disimpulkan bahawa PM Abdullah tidak kisah sekiranya pemikiran generasi penerus bangsa bertaraf "sampah." Di samping itu juga PM Abdullah boleh disabitkan atas dakwaan membunuh ilmuan-ilmuan sastera secara seni. Apa mungkin era hadhari ini nilai komersil lebih diutamakan, atau apa mungkin sememangnya picisan dan popular dituntut oleh landasan pembangunan yang bertitiklenyapkan hadhari?

Seandainya Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melaksanakan kaedah pembelajaran "peringanan berfikir" didalam pembelajaran sastera di sekolah-sekolah menengah seluruh Malaysia maka hujung tanduk hadhari tidak akan dicapai walaupun tanda waktu masa sudah menunjukkan 2057. Ini kerana untuk menyemai bibit-bibit kemajuan di atas muka bumi "Malaysia oh tanah airku," Malaysia memerlukan warga yakni golongan yang mempunyai keupayaan berfikir sama ada berfikir secara berat mahupun kurang berat atau ringan. Pencaturan rancangan dan strategi pemajuan negara sememangnya memerlukan kesemua bentuk kaedah pemikiran setiap masa yang sentiasa berdegup.

Demi masa sesungguhnya kita kerugian, seandainya setiap saat, minit, dan jam diabaikan dengan pembelajaran yang berteraskan pemikiran ringan maka Malaysia hanya mampu melahirkan golongan ilmuan dan cendikiawan yang kelas "glokal" atau jaguh kandang bukannya kelas "global." Golongan ilmuan dan cendikiawan yang berkelas glokal tidak mampu untuk membangunkan negara ketingkat tertinggi iaitu tingkat hadhari apatah lagi menongkah arus globalisasi ciptaan manusia.

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.