Skip to main content

BN disabotaj?

Sewaktu Majlis Penerangan Bersama Presiden Umno pada 6 April 2008 yang bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, PM Abdullah yang juga selaku Presiden Umno merangkap Pengurusi Barisan Nasional (BN), menyifatkan kekalahan teruk BN pada Pilihan Raya Umum ke-12, adalah disebabkan faktor sabotaj parti yang dilakukan oleh ahli-ahli parti Umno/BN sendiri. Kenyataan Presiden Umno merangkap Pengurusi Barisan Nasional ini boleh dikukuhkan dengan fakta yang bersumberkan akhbar Utusan Malaysia;

"kalau tidak kerana faktor itu (sabotaj), kita tidak hilang kedudukan (majoriti) dua pertiga dan dua buah negeri iaitu Perak dan Kedah."


Pada Majlis Penerangan Bersama Presiden Umno itu, tiada satu pun dikalangan ahli-ahli Umno/BN yang bangun untuk bertanyakan soalan untuk melahirkan rasa kemusykilan berkenaan dengan unsur sabotaj parti. Ini jelas menggambarkan masih lagi wujud sindrom bisu, senyap, dan diam, dan sindrom "meng-ia" apa yang diluahkan oleh Presiden Umno. Ahli-ahli Umno/BN sendiri nampaknya seperti mati akal apabila Presiden Umno menyampaikan ucapan penerangan kepada ahli-ahli parti yang hadir.

Adakah faktor "sabotaj" yang menyebabkan BN gagal memperoleh majoriti 2/3? Atau terdapat faktor lain selain sabotaj yang menjadi punca utama yang membawa kepada kekalahan teruk BN semasa PRU ke-12? Apakah Presiden Umno merangkap Pengurusi BN itu gagal melihat faktor atau kunci utama yang membawa kepada kekalahan teruk BN semasa PRU ke-12? Persoalan sedemikian pastinya sentiasa berlegar didalam fikiran golongan "atas pagar" apatah lagi golongan yang tidak terindoktrinasi mindanya. Namun bagi pihak yang sentiasa "sayang" kepada PM Abdullah merangkap Presiden Umno, dan merangkap Pengurusi BN sudah tentu senada dan seirama dengan retorika buta "sabotaj" yang didengungkan oleh Abdullah Ahmad Badawi.

Sebagai pencetus Islam Hadhari, Abdullah Ahmad Badawi masih "myopia" melihat gelagat wazir-wazirnya yang bergelar Ahli Parlimen (MP) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Gelagat dan tabiat serta tingkah laku wazir-wazirnya ini yang sebenarnya menjadi "kunci utama" yang membawa kepada kekalahan teruk yang memalukan BN semasa PRU ke-12. Apakah Abdullah Ahmad Badawi masih terlepas pandang terhadap tingkah laku wazir-wazirnya? Salah seorang wazir Abdullah Ahmad Badawi yakni Dato' Seri Nazri Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, merupakan contoh yang gemilang, cemerlang, dan terbilang didalam menunjukkan tingkah laku yang tidak sepadan dengan mental seorang menteri. Tingkah laku (Nazri Aziz the racist) wazirnya ini boleh diulang tayang melalui sesawang YouTube.

Disamping itu juga, keseluruhan kalangan wazir-wazir Abdullah Ahmad Badawi yang didakwa sebagai ahli politik tersohor, lebih cenderung mengamalkan budaya "ahli politik hujung minggu" daripada mengamalkan budaya ahli politik sepenuh masa. Jika dibandingkan antara Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri parti pembangkang terutamanya Parti Islam seMalaysia (PAS), amat besar jarak perbezaannya. Ahli politik golongan pembangkang yakni PAS kebanyakannya lebih gemar tinggal dan berkhidmat di desa-desa disamping berdampingan dengan rakyat setiap masa dan mendengar masalah, dan rintihan rakyat. Selain itu mereka jarang dilihat melawat luar negara seperti benua "kangaroo" sebagaimana yang selalu diamalkan oleh wazir-wazir Abdullah Ahmad Badawi. Maka tidak hairanlah apabila Pilihan Raya Umum menjelang tiba wazir-wazir Abdullah Ahmad Badawi dilihat seperti orang kota yang baru kenal desa dan penduduknya.

Abdullah Ahmad Badawi seterusnya tidak pernah menegur sikap "cepat puas hati" kalangan wazir-wazirnya. Maka apabila strategi menggempur parti pembangkang dicatur dengan menggunakan kaedah "tangkap muat" dan "tangkap suap" , Abdullah Ahmad Badawi terus lena dibuai mimpi indah dan yakin menjadi Perdana Menteri bagi penggal yang seterusnya. Jika membandingkan usaha tungkus lumus ahli-ahli parti politik pembangkang dengan wazir-wazir Abdullah Ahmad Badawi, jarak jauh bezantaranya umpama jarak planet Utarid ke planet Pluto. Sikap cepat puas hati yang dimalkan oleh wazir-wazir Abdullah Ahmad Badawi adalah kesan daripada "gemilang, cemerlang, dan terbilang." Manakala Abdullah Ahmad Badawi lebih cukup dan berasa puas dengan "bekerjalah bersama-sama saya, tetapi bukan untuk saya."

Daripada sudut pandang "rasional lagi masuk akal," Umno/BN sebenarnya tidak disabotaj oleh mana-mana pihak sama ada ahli-ahli Umno/BN mahupun bukan ahli parti Umno/BN. Umno/BN sejak pertengahan tahun 80-an sehinggalah era Hadhari kini telah banyak menyeleweng daripada aspirasi perjuangan yang diperlembagaankan. Seandianya Umno/BN disabotaj oleh ahlinya sendiri maka Umno/BN bukan sahaja gagal memperoleh majoriti 2/3 tetapi sekali gus gagal memperoleh kemenangan mudah untuk membentuk kerajaan. Prestasi buruk Umno/BN pada PRU ke-12 sebenarnya berpunca daripada budaya dan sikap pemimpin-pemimpinnya dan kalangan ahlinya sendiri.

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.