Skip to main content

Urusan politik hak eksklusif orang politik?

Urusan politik walaupun mempunyai ciri ekslusif, tetapi dari segi "urusan", sesiapa sahaja boleh mencampurinya. Maka ketegesan PM Abdullah terhadap pegawai dan kakitangan awam atau penjawat awam supaya tidak mencampuri urusan politik merupakan penegasan yang kurang bijak dan tidak menunjukkan sikap berfikiran terbuka. Sebagai seorang Perdana Menteri merangkap pencetus Hadhari, PM Abdullah harus dan perlu berfikiran terbuka, dan menerima setiap pandangan, dan kritikan yang dilontarkan oleh sesiapa sahaja samada mereka itu penjawat awam atau sebaliknya, kerana "mereka" itu sebenarnya ialah dan adalah "rakyat" di negara ini.


Adalah diyakini bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem demos kratia dimana PM Abdullah mendapat kuasa daripada rakyat, dan PM Abdullah menggunakan kuasa Perdana Menteri untuk rakyat dan demi rakyat. PM Abdullah sudah tentu memahami secara jelas dengan perkataan "daripada rakyat, kepada rakyat, dan untuk rakyat." sekiranya urusan politik hak ekslusif orang politik, maka Malaysia bukanlah sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi tetapi sistem monos archos, aristos kratia, oligos archia, dan ar archos.

"Ekslusif" boleh ditakrifkan sebagai tidak temasuk orang (perkara atau hal lain) yang mengenai satu hal (orang dll) yang tertentu sahaja. Walaupun takrifan ekslusif membawa maksud sedemikian, tetapi apa yang jelas dan nyata ialah "Rakyat Malaysia"lah yang menentukan Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi atau sebaliknya. Maksud eksklusif lebih kepada "teori" buta golongan opportunis dan hanya bersifat diatas kertas, tidak boleh dilaksana walaupun boleh diadaptasikan. Di Malaysia, hanya Yang DiPertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sahaja yang mempunyai sifat ekslusif kerana golongan ini tidak dikira sebagai rakyat. Manakala golongan "kabinet" hanya mempunyai sifat eksklusif didalam menjunjung perintah Seri Paduka Baginda dan memegang amanah yang diberikan oleh rakyat.

Dilihat daripada satu segi, politik sememangnya boleh merangkumi kesemua aktiviti manusia. Apabila politik dilihat sebagai proses manusia berhubung sesama mereka atau malah sebagai perhubungan manusia yang melibatkan kuasa, semua individu dalam masyarakat akan bersifat "politikal." Apabila seseorang itu mengundi, menunjuk perasaan, menandatangani surat rayuan, membayar cukai (atau mengingkarinya), menghantar anak ke sekolah, didenda kerana memandu tanpa lesen, mendapat (atau tidak mendapat) subsidi, menderma kepada anak yatim, atau membeli rumah, dia menjadi sebahagian daripada proses politik dalam ertikata ini. Kesemua aktiviti manusia seperti yang disebutkan jelas diaktivitikan oleh pegawai dan kakitangan awam didalam kehidupan seharian mereka.

Dalam ilmu politik moden, kepentingan rakyat menjadi salah satu asas terpenting untuk meneruskan kelangsungan berkerajaan. Oleh yang demikian, sekiranya PM Abdullah benar-benar inign selari dengan ungkapan "bekerjalah bersama-sama saya, tetapi bukan untuk saya" maka PM Abdullah tidak perlu berasa gusar dan "merah telinga" apabila pegawai dan kakitangan awam mencampuri sedikit "urusan" politik.

Rakyat boleh ditakrifkan sebagai seluruh penduduk sesebuah negara. Perkataan "rakyat" hanyalah bersifat umum sebagai gambaran jelas tentang individu-individu yang kemudiannya hidup dalam kelompok sosial. Rakyat dalam pengertian lain mungkin diandaikan sebagai golongan yang diperintah oleh golongan yang memerintah. Apabila rakyat itu diperintah oleh kerajaan yang memerintah maka "rakyat" itu tidak mempunyai kuasa dan tidak berhak menentukan siapa yang memerintah atau siapa yang harus menjadi Perdana Menteri atau Presiden.

Namun, dalam isme demokrasi, rakyatlah yang sebenarnya menjadi pemerintah dan yang memerintah atau kerajaan akan menjalankan perintah atas nama rakyat. Maka PM Abdullah tidak boleh "gusar" atau "merah telinga" sekiranya pegawai dan kakitangan awam menyuarakan sesuatu pandangan tentang "apa yang baik untuk kerajaan," kerana itu sudah hak mereka sebagai rakyat walaupun pada masa yang sama mereka itu bergelar pegawai dan kakitangan awam yang berkhidmat dibawah kerajaan yang diwujudkan oleh pertubuhan parti politik Umno/BN.

PM Abdullah juga tidak boleh menyamakan pegawai dan kakitangan awam sebagai "kumpulan pendesak dan kumpulan berkepentingan" kerana mereka tidak bertindak untuk mempengaruhi kuasa yang ada pada kerajaan PM Abdullah, tidak mendesak kerajaan PM Abdullah, tidak berusaha untuk menggantikan Abdullah sebagai Perdana Menteri walaupun pada kemungkinan, "tukang kebun" Yang DiPertuan Agong layak menjadi Perdana Menteri.

Sekiranya PM Abdullah ingin merialisasikan "bekerjalah bersama-sama saya, tetapi bukan untuk saya," maka PM Abdullah perlu mendengar kritikan, pandangan, dan keluhan golongan pegawai dan kakitangan awam walaupun kritikan, pandangan, dan keluhan mereka itu berbaur sedikit "politikal." Ini kerana semua individu didalam masyarakat bersifat "politikal" dan kerajaan lahir daripada rakyat. PRU ke-12 sudah jelas menunjukkan rakyat mampu menukar kerajaan PM Abdullah kepada kerajaan yang lebih baik walaupun pada asasnya rakyat "tidak tahu apa-apa" didalam percaturan politik.

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.