Skip to main content

Minyak tidak perlu subsidi?

Di Malaysia adakah minyak perlu disubsidi untuk kepentingan rakyat atau tidak? Adakah Malaysia perlu mengikut dan mencontohi negara-negara eropah seperti negara Belanda supaya tidak memberi subsidi minyak? Adakah minyak perlu disubsidi atas faktor Malaysia "tidak seberapa" jika dibandingkan dengan mana-mana negara yang sedang bergelut dengan krisis kenaikan harga minyak?

Khamis lepas yakni pada 11 Julai 2008, Radio 24, melalui rancangan hello telah mewawancara seorang wazir PM Abdullah yang dilabel oleh Raja Petra Raja Kamaruddin, editor Malasyia-Today, sebagai "bekas Menteri Besar dengan dua Muhammad pada namanya" telah menyatakan sokongan tidak berbelah bagi, dan taat kesetiaan terhadap kepimpinan PM Abdullah dan TPM Mohd. Najib Razak. Dan pada wawancara tersebut "dua Muhammad pada namanya" telah menegaskan yang Malaysia perlu mencontohi negara Belanda yang tidak memberikan subsidi minyak kepada rakyatnya walaupun dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu.

Dalam memberikan kenyataan dan memberi pendapat, rata-rata wazir PM Abdullah sering menegaskan dan menyatakan yang Malaysia perlu mencontohi negara-negara maju sekiranya negara (Malaysia) ingin keluar daripada terungku krisis atau apa-apa jua permasalahan yang boleh memberi dampak negatif kepada negara. Juga berpendapat bahawa dengan mencontohi kaedah dan cara penyelesaian negara-negara maju, masalah negara dapat diselesaikan. Persoalan yang timbul ialah sekiranya masalah negara dapat diselesaikan adakah masalah rakyat dapat diselesaikan? 

Dalam erti kata yang sebenar bukannya maksud harafiah, "negara" itu apa, siapa? Adakah negara itu merujuk kepada rakyat atau merujuk kepada "golongan pemerintah"? Sudah terbukti bahawa sekiranya masalah negara selesai tidak semestinya masalah rakyat juga akan selesai. Apa yang bekas Menteri Besar dengan dua Muhammad pada namanya perlu ambil kira sebelum membuat kenyataan atau memberi pandangan "berfakta" ialah perlu membuat analisis yang rasional, tuntas, dan tidak berat sebelah. 

Jika dibuat perbandingan antara negara Belanda dan Malaysia, Belanda sudah mencapai tahap maju yang setaraf dengan negara-negara maju seperti negara-negara anggota G-8 sedangkan Malaysia hanyalah anggota negara-negara D-8. Ini jelas menunjukkan yang Malaysia dan Belanda tidak "sama rata sama rasa." Jurang perbezaan antara Malaysia dan negara Belanda amat besar. Jurang perbezaan ini boleh dijelaskan secara fakta dan bukannya fitnah. 

Seandainya Malaysia dan Belanda "sama rata, sama rasa" maka negara tidak perlu subsidikan minyak kepada rakyat kerana rakyat sudah tidak miskin dan tidak melarat. Malahan rakyat boleh mengikut jejak langkah rakyat negara Belanda yang membeli harga minyak pada harga yang tinggi tanpa rasa mengeluh. Pada masa yang sama kerajaan tidak akan "sakit kepala" memikirkan aliran masuk dan aliran keluar "duit saku" negara yang menjadi kepentingan utama kerajaan pemerintah.

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.