Skip to main content

Berhaluan kiri atau berhaluan minoriti?

"Penuntut Malaysia di Asia Barat sering dilabel sebagai berhaluan kiri dan suka menentang dasar-dasar kerajaan. Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) baru-baru ini turun padang untuk mendengar 'luahan' hati mereka."

- Mega, Utusan Malaysia, Rabu 12 Januari 2011

"Pendapat umum perlu dan harus diindah, dihormati, kalau benar. Kalau salah, mengapa dihormati dan diindahkan? Kau terpelajar, Minke. Seorang terpelajar harus juga belajar berlaku adil sudah sejak dalam pikiran, apa lagi dalam perbuatan. Itulah memang arti terpelajar itu."

- Pramoedya Ananta Toer, Bumi Manusia, 77

Aksara nama Pak Sako (Ishak Haji Muhammad), Ahmad Boestamam (Abdullah Sani Raja Kechil) dan Ibrahim Yaakob adalah antara nama yang cukup segar dalam sejarah negara. Apa tidaknya, nasionalis ini sering dikaitkan dengan behaluan kiri. Pelajar dan guru, penuntut dan pensyarah, bahkan birokrat sekalipun tentunya tahu bahawa berhaluan kiri adalah faham dan pemikiran yang tidak sealiran dengan faham dan pemikiran umum terutamanya kerajaan yang memerintah.


Sesiapa sahaja, terdidik atau terpelajar, atau kedua-duanya sekali, jika faham dan pemikirannya - lebih-lebih lagi faham dan pemikiran politik - tidak sealiran dengan faham dan pemikiran umum terutamanya kerajaan yang memerintah, akan "ditembak" sebagai berhaluan kiri. Maka apabila "ditembak" sebagai berhaluan kiri, sesiapa sahaja, terdidik atau terpelajar, atau kedua-duanya sekali, akan menerima padahnya.

Dalam konteks politik, berhaluan kiri adalah pemikiran yang cenderung ke arah faham sosialis atau komunis. Manakala berhaluan "minoriti," walaupun takrifan minoriti itu ialah; golongan kecil, dalam konteks politik ia boleh dianggap atau diterima sebagai; pemikiran yang tidak bersifat majoriti atau umum.

Pemikiran yang berhaluan "minoriti" pada kebiasaannya cenderung ke arah bebas, tidak berpihak - melainkan kepada kebenaran -, atau fence sitter - atas pagar. Namun pemikiran berhaluan "minoriti" selalu disalahtakrif oleh umum terutamanya kerajaan yang memerintah. Ia kerana dilihat seakan cenderung ke arah faham kiri walaupun ia tidak berbaur faham sosialis atau komunis.

Analogi atau perbandingan yang boleh digunakan untuk memperlihatkan ciri-ciri persamaan diantara berhaluan kiri (yang mengikut faham dan pemikiran umum terutamanya kerajaan yang memerintah) dan berhaluan "minoriti" ialah pemilihan Perdana Menteri Malaysia. A sudah tentu ditembak sebagai berhaluan kiri sekiranya dia berpendapat dan berpandangan bahawa Perdana Menteri Malaysia perlu dipilih secara langsung oleh rakyat bukannya melalui wakil rakyat.

Oleh kerana pendapat dan pandangan A itu janggal di mata pemikiran umum dan kerajaan yang memerintah, walaupun ia tidak janggal di mata animal politics negara Uncle Sam, apatah lagi dalam pengertian tepat demokrasi murni itu sendiri, pendapat dan pandangan A itu dianggap kiri. Ini kerana pendapat dan pandangan A itu bercanggahan dengan amalan demokrasi negara ini, "politik perlindungan" atau "politik payungan." Tetapi pendapat dan pandangan A itu tidak bercanggahan dengan amalan demokrasi murni. Malah selaras dengan prinsip demokrasi itu sendiri.

Adalah menyanggahi hukum hidup kalau tidak menggunakan akal. Dalam kita membentuk pendirian yang menjadi asas kepada segala tindakan, sikap, keputusan dan lain-lain sudah seharusnya bersandar kepada hukum akal. Begitu juga dengan asas kepada segala tindakan, sikap, keputusan dan lain-lain yang dibentuk - harus bersandar kepada hukum akal. Jika tidak atau sebaliknya, berlakulah siri pengkhianatan intelektual.

Menyentuh tentang dasar-dasar kerajaan yang memerintah yang didakwa mendapat tentangan daripada penuntut Malaysia di Asia Barat, "tentangan" itu perlu dilihat dari pelbagai sudut, terutamanya dari sudut intelektual. Ini kerana golongan penentang itu bukannya "orang ajaib di pasar malam" atau "orang mistik di pasar malam," tetapi penuntut Malaysia yang menuntut ilmu pelajaran dan pendidikan di luar negara - Asia Barat!

Tidak dinafikan bahawa dasar-dasar kerajaan yang memerintah adakalanya tidak masuk akal. Seolah menunjukkan para penggubal dasar kerajaan yang memerintah "ketandusan akal," tetapi masih berlagak intelektual cair. Untuk melaksanakan dasar-dasar yang digubal, kerajaan yang memerintah memerlukan biaya. Biaya sudah tentu datangnya dari kerajaan yang memerintah sendiri. Tetapi bukankah biaya itu adalah "biasiswa" yang diberikan oleh rakyat? Jangankan gaji Perdana Menteri Malaysia, biaya "penginapan" para banduan pun menggunakan duit rakyat!

Oleh hal yang demikian, dasar-dasar kerajaan sekiranya dikritik sama ada oleh sesiapa sahaja; terdidik atau terpelajar, atau sebaliknya, kerajaan yang memerintah tidak perlu gusar dan bersikap dingin. Jika kerajaan yang memerintah mentakrif atau menafsir keritikan (itu) sebagai tentangan atau penentangan, sehingga yang disifatkan sebagai penentang itu dilabel berhaluan kiri, maka kerajaan yang memerintah telah menyanggahi hukum akal. Menyanggahi hukum akal adalah menyanggahi hukum hidup.

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.