Skip to main content

Novel Interlok menyinggung?

Vox veritatis non tacet - kebenaran tidak akan berdiam diri. Novel Interlok bukanlah buku sejarah yang menceritakan unsur-unsur negatif dan sensitif yang boleh menyinggung perasaan sesetengah kaum di negara ini. Novel Interlok ialah penulisan kreatif yang ditulis berasaskan fakta sejarah yang telah dikaji dan diteliti oleh penulisnya, Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain.

Seandainya novel Interlok menyinggung perasaan sesetengah kaum di negara ini sehingga boleh mengancam keharmonian kaum di negara ini, maka;

"Hanya dua pilihan yang akan ditentukan sama ada tarik balik buku tersebut atau gugur perkataan yang dikatakan menyinggung perasaan itu."

- Dr. Mohd. Puad Zarkashi

Timbalan Menteri Pelajaran


Sebahagian kandungan novel Interlok terutamanya pada muka surat 211 dan 220, didakwa bahawa ia berkemungkinan menimbulkan salah faham tentang unsur-unsur negatif dan sensitif yang boleh menyinggung perasaan sesetengah kaum di negara ini.

Jika ia ditarik balik sebagai teks komponen sastera (Komsas) dalam mata pelajaran Bahasa Melayu bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), barang tentu perasaan sesetengah kaum di negara ini reda dan terubati dengan sendirinya. Namun perlu diingat bahawa vox veritatis non tacet.
Jika perkataan yang dikatakan menyinggung perasaan itu digugurkan, barang tentu perasaan sesetengah kaum di negara ini akan aman dan tenteram dengan sendirinya. Namun perlu diingat bahawa vox veritatis non tacet.

Seandainya unsur-unsur negatif dan sensitif yang boleh menimbulkan salah faham dan menyinggung perasaan dalam novel Interlok itu merujuk kepada Kasta Pariah, maka penarikan balik buku tersebut adalah wajar. Menggugurkan perkataan yang dikatakan menyinggung perasaan itu pun wajar. Tetapi perlu diingat bahawa perkataan atau apa-apa yang memperihalkan Kasta Pariah bukan sahaja terdapat di dalam novel Interlok.

Buku-buku rujukan sejarah peradaban kemanusiaan yang digunakan dalam pembelajaran di sekolah-sekolah menengah kebangsaan dan di institusi-institusi pengajian tinggi umpamanya, sudah tentu terdapat keterangan dan penerangan yang memperihalkan Kasta dan Pariah atau Kasta Pariah. Bagaimana pula dengan kamus yang digunakan dalam pembelajaran di sekolah-sekolah kebangsaan dan di institusi-institusi pengajian tinggi? Enjin carian Google pula bagaimana?

Mengapa tidak ditarik balik sahaja buku-buku rujukan sejarah peradaban kemanusiaan dan kamus yang digunakan dalam pembelajaran dan pengajian? Atau menggugurkan perkataan yang boleh menyinggung perasaan - Kasta dan Pariah atau Kasta Pariah? Bukankah perkataan tersebut berunsur negatif dan sensitif sehingga boleh menimbulkan salah faham dan menyinggung perasaan sesetengah kaum di negara ini?

Perlu diingat bahawa, novel Interlok bukan setakat penulisan bertaraf sastera yang tanpa pengisian. Ia ditulis berdasarkan fakta sejarah yang telah dikaji dan diteliti oleh penulisnya. Apa yang dikisahkan dalam novel Interlok walaupun hasil daripada penulisan kreatif tetapi ia mengisahkan kebenaran tentang sistem sosial atau sistem masyarakat yang mengikat sesetengah kaum yang berhijrah ke alam Melayu ini di masa lampau. Ia yang hari ini mungkin sudah dilupakan atau terlupakan sendiri oleh sesetengah kaum di negara ini.

Novel Interlok, untuk memahaminya memerlukan pemikiran berat. Tanpa pemikiran berat, apa yang tersurat dan tersirat di dalamnya tidak akan dapat difahami dengan jelas apatah lagi merungkai. Maka jika demikian, apa yang tersurat dan tersirat itu dicerna melalui lensa minda emosional yang tidak berasas bukannya melalui lensa minda profesional. Akhirnya menjadilah seperti kuda binal lagi dangkal kerana akal terpental-pental.

"Kalian boleh maju dalam pelajaran, mungkin mencapai deretan gelar kesarjanaan apa saja, tapi tanpa mencintai sastra, kalian tinggal hanya hewan yang pandai."

- Pramoedya Ananta Toer, Bumi Manusia, 313

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.