Skip to main content

AUKU: Bukan soal relevan atau tidak

Sama ada Akta Universiti dan Kolej Universiti - AUKU 1974, AUKU 1975 dan AUKU (Pindaan) 1995 - telah atau dibuat pindaan ia tetap kekal tidak berubah dari segi matlamat utamanya iaitu (1) menghalang penglibatan pelajar dengan parti politik dan kesatuan sekerja, dan (2) menghalang penggabungan di antara badan-badan pelajar.
 
Pada masa yang sama AUKU juga masih mengekalkan sifat kebercanggahannya dengan prinsip keadilan undag-undang yang seterusnya menyanggahi kesopanan dan kesusilaan. Akta Pindaan A295 seperti Seksyen 15A, 15B, 15D, 16A, 16B, 16C dan lain-lain telah menunjukkan kejelasan kebercanggahan dengan prinsip keadilan undang-undang.
 
Sesuatu yang kurang atau tidak disedari oleh tangan-tangan sang penggubal akta pindaan AUKU, walaupun bertujuan untuk memantap baik, ialah konsep rules against bias yang menjadi tonggak utama natural justice ditidakkan. Maka apabila dengan ketidakan ini terjadilah sesuatu yang tidak boleh diterima oleh akan dan fikiran yang sihat: a man is innocent before proven guilty. Bukankah ini menyanggahi konsep dan konteks natural justice secara jelas dan terang?
 
Penulis, penyair dan aktivis budaya, Raja Ahmad Aminullah, menyifatkan kegagalan mahasiswa mengasuh bakat kepimpinan dan mengembangkan potensi serta daya inisiatif berpunca daripada pindaan kepada AUKU 1971. Yang mana mewujudkan kekangan terhadap kegiatan mahasiswa di samping membenih budaya rasa takut. Pada Pakatan Rakyat (PR) pula AUKU 1974 perlu dipinda demi mewujudkan iklim yang kondusif dalam bentuk jaminan kebebasan akademik dan autonomi unversiti ke arah mempertingkatkan mutu pendidikan standing dengan negara-negara maju.
 
Sebagaimana dengan kesemula jadian manusia begitu juga dengan mahasiswa. Inginkan kebebasan pemikiran dan penyuaraan pendapat. Mengekang keterbukaan melalui kongkongan dan belengguan secara mutlak bukan sahaja membatas kebebasan berfikir dan penyuaraan pendapat, tetapi juga merosak bakat kreativiti semula jadi. Inovasi lahir daripada kreativiti. Kreativiti lahir melalui kebebasan pemikiran dan penyuaraan pendapat.
 
Kerajaan yang memerintah tentunya mengimpi citakan mahasiswa yang bukan sahaja terdidik dan terpelajar, berilmu dan berpengetahuan, berkemahiran dan berkepakaran tertentu, tetapi juga cerdas dalam memikir, memecah dan menyumbang pemikiran terhadap masalah-masalah kontemporari sosial yang dihadapi di dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.
 
Dalam mengasuh bakat kepimpinan di samping mengembang potensi dan daya inisiatif, mahasiswa mahu atau tidak perlu dan harus melibatkan diri secara gerak tindak bukannya secara nominal dalam hal dan perkara sosial dan politikal yang sebenar. Jika mahasiswa hanya melibatkan diri hanya di dalam lingkungan "dalam kotak" kekampusan maka asah asuh bakat kepimpinan, pengembangan potensi dan daya inisiatif mahasiswa persis ibarat teori dan hipotesis di atas kertas yang belum tentu boleh dimampu buktikan secara kerealitian.
 
Maka bukanlah sesuatu yang menghairankan jikalau pengurusan syarikat mengeluh kerana sebahagian daripada pekerja mereka yang menimba pengajian di universiti tempatan merasa rendah diri dan kurang yakin. Amat malang sekali apabila didapati bahawa "input/output" penyebab rasa rendah diri dan kurang yakin tiu berpunca daripada AUKU yang mewujudkan kekangan terhadap kegiatan mahasiswa (Raja Ahmad Aminullah, 2011).
 
Bagaimana mungkin AUKU boleh dilihat mengekang kegiatan mahasiswa? Jika dilihat kepada dua halangan utama kepada mahasiswa yang ada pada AUKU iaitu (1) halangan penglibatan pelajar dengan parti politik dan kesatuan sekerja, dan (2) halangan penggabungan di antara badan-badan pelajar menunjukkan bahawa AUKU sememangnya mengekang kegiatan mahasiswa.
 
Antara yang kurang disedari oleh kerajaan yang memerintah termasuk tangan-tangan sang penggubal AUKU ialah ketidak libatan pelajar dengan parti politik dan kesatuan sekerja bukan sahaja menghalang kebebasan pemikiran, penyuaraan pendapat dan bakat kreativiti semula jadi mahasiswa, tetapi juga mengacuan bekukan mahasiswa sehingga menjadi manusia yang statik, tidak punya inisiatif dan tidak punya ghairah hidup dalam kehidupan sosial bermasyarakat dan bernegara.  
 
Dalam kehidupan sosial bermasyarakat dan bernegara, parti politik dan kesatuan sekerja adalah landasan paling asas yang terbaik untuk mahasiswa membentuk bina pemikiran kritis dan analisis, penyuaraan pendapat dan pandangan yang tanpa perlu berbasa-basi atau bersifat apologetik, dan mengasah asuh bakat kreativiti semula jadi. Ini seterusnya akan membina asas kukuh untuk mahasiswa melibatkan diri ke dalam dunia kepimpinan pada masa akan datang.
 
Parti politik dan kesatuan sekerja juga adalah guru terbaik untuk mahasiswa memperoleh hasil penilaian sebenar hal dan perkara yang bersifat politikal umpamanya sejauh mana keberkesanan atau ketidak berkesanan dasar-dasar sosio-politik dan sosio-ekonomi yang dijadikan sebagai dasar negara. Mahasiswa yang kritis dan analisis tentunya cerdas merungkai permasalahan dan menilainya untuk menghasil penyelesaian secara minus-to-plus yang praktis dari kos dan masa. 
 
Halangan penggabungan di antara badan-badan pelajar bukan sahaja mengekang kesatuan mahasiswa secara menyeluruh, tetapi secara tanpa sedar telah mewujudkan devide et impera ke atas mahasiswa. Mahasiswa yang melibatkan diri dengan badan-badan pelajar yang ada di universiti-universiti bukan sahaja tidak dapat bergiat dalam pergerakan secara "All University", tetapi juga menutup ruang dan peluang untuk mahasiswa-mahasiswa bersatu secara "All University" dalam komuniti kemahasiswaan yang besar.
 
Mahasiswa adalah sebahagian daripada masyarakat dan negara. Kenapa mahasiswa begitu penting kepada masyarakat dan negara? Di masa yang akan datang, yakni pada masa yang seterusnya, mahasiswa sudah bukan lagi mahasiswa sebagaimana di masa yang sebelumnya. Mahasiswa ialah dan adalah calon seterusnya yang akan menjalani kehidupan bermasyarakat dan menjadi masyarakat. Dalam menjalani kehidupan bermasyarakat, sudah sebagaimana tradisi ketamadunan manusia, sebahagiannya memimpin dan sebahagiannya pula dipimpin oleh yang memimpin. Walaupun begitu keadaannya, tetap sama - hidup bermasyarakat, harus, mahu atau tidak tiada pilihan lain. Tiada masyarakat tiadalah negara.
 
Masyarakat di negara ini adalah bersifat majmuk dan plural. Tidak keseluruhannya di luar sana adalah orang Melayu/Bumiputera. Ada orang Cina, India dan sebagainya. Sebahagiannya tentu pernah bergelar: Mahasiswa Univerisiti dan Kolej Universiti (MUKU). Sebahagian daripada keseluruhannya sudah tentu terindoktrinasi dengan hal dan perkara yang terkandung dalam AUKU. Kebarangkalian kebanyakan maysrakat Malaysia hari ini kurang memilih untuk hidup bermasyarakat secara makro atau massa kerana semasa bergelar MUKU sudah biasa dan terbiasa secara kebiasaan dengan kehidupan secara divide et impera: Menghalang penggabungan di antara badan-badan pelajar. Kehidupan itu kemudiannya dibawa dan terbawa ke dalam kehidupan sebenar sosial bermasyrakat dan bernegara.
 
Persoalan sama ada AUKU relevan atau tidak bukanlah persoalan utamanya. Persoalan yang perlu diketengahkan untuk diberi perhatian yang wajar ialah - mahasiswa. Mahasiswa ialah dan adalah sesuatu yang bersifat hidup. Menghasil input/output untuk menjalani kehidupan sosial bermasyarakat dan bernegara. Sebagai yang bersifat hidup, bukannya yang sebaliknya, mahasiswa sudah semestinya berkemahuan dan berkehendak untuk bersuara dan berfikir, di samping melestarikan bakat semula jadi yang dimiliki yakni kreativiti dan inovasi, kerana menganggap ia sebagai sesuatu keperluan dan keharusan dalam menjalani kehidupan sebagai manusia. Belenggu, kongkongan dan halangan akan mematikan keseluruhannya. Apalah gunanya kalau AUKU relevan sepanjang masa tetapi mahasiswa sudah tidak menjadi relevan lagi dalam kehidupan sebenar yang sepanjang masa. 


Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.