Skip to main content

4 tahun penuh kejayaan?

PM Abdullah sudah pun mentadbir negara selama sepenggal. Dalam penggal pentadbirannya sudah tentu kejayaannya dicanang dengan sebegitu rapi ke setiap ceruk pelusuk tanah air. Kejayaannya sebagai Perdana Menteri ke-5 sudah pasti menjadi mainan dibibir setiap rakyat marhaen dan kaum kerabat terdekat, kroni, proksi dan pihak-pihak lain yang mempunyai kepentingan makro dan mikro.


Setiap media yang berada dibawah telunjuk kerajaan PM Abdullah menyiar setiap kejayaannya didalam mentadbir negara dari semasa ke semasa. Sudah tentu PM Abdullah disinari publisiti total dan mendapat tempat dihati rakyat yang telah terindoktinasi mindanya. Namun, disebalik kejayaan Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri, terdapat juga kegagalannya sebagai Perdana Menteri didalam mentadbir negara. Kegagalan PM Abdullah telah banyak dan berjaya dibongkar oleh pihak-pihak yang bukan berada dibawah telunjuknya yakni pihak pembangkang, penulis politik, komuniti blogger, dan kalangan orang-perseorangan yang mempunyai pengaruh yang kuat.

Mereka yang berfikiran secara konvensional, vertikal, dan lateral sudah tentu dapat menilai sejauh mana kejayaan PM Abdullah pada sudut yang tepat tanpa dipengaruhi oleh pihak-pihak tertentu. Namun mereka yang gagal menilai kejayaannya dari sudut yang tepat sudah tentu terpedaya dengan propaganda halus yang dicananginya walaupun mereka itu mampu berfikiran logik dan rasional. Pembohongan yang diatur sebegitu rapi dengan penuh strategi walaupun tidak dapat dibongkar pada awalnya namun pada akhirnya berjaya dibongkar satu demi satu.

Setakat ini kejayaan PM Abdullah hanyalah berkisar pada kejayaan subjektif dan bukannya kejayaan objektif. Perlu diyakini bahawa sejak Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri belum ada satu pun mercu tanda kejayaannya yang boleh ditatap dan dibanggakan dan dijadikan legasi negara. Setiap mercu tanda kejayaan yang ada di bumi Malaysia adalah hasil daripada Perdana Menteri-Perdana Menteri yang terdahulu yakni dari YTM Tunku Abdul Rahman sehingga Tun Dr. Mahathir Mohammad.

Kejayaan Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri hanyalah kejayaan mengimpikan impian yang belum menjadi kenyataan. Setelah bergelar Perdana Menteri pada 31 oktober 2003, PM Abdullah telah berjaya menghasilkan satu puisi yang berjudul "Ku Cari Damai Abadi. " Puisi ini jelas menunjukkan bahawa PM Abdullah tidak mahu mencari harta bertimbum- timbun untuk hidup kaya dan bergaya sama ada secara solo atau pun melalui proksi, kroni, nepotisme dan sebagainya.

Seterusnya, PM Abdullah berjaya "kowtow" kepada Singapura apabila Singapura meminta kerajaan PM Abdullah supaya membatalkan hasrat menggatikan tambak Johor dengan jambatan bengkok. Dengan sekali lafaz, wazir-wazir PM Abdullah mengia dan mengangguk dan membuat keputusan untuk tidak meneruskan projek jambatan bengkok atas dasar menjaga hati dan perasaan Singapura. Malahan perbuatan membanding antara Malaysia dengan Singapura serta menyinggung hati dan perasaan Singapura adalah ditegah sama sekali. Kejayaan PM Abdullah tunduk kepada kemahuan Singapura juga boleh disifatkan sebagai kejayaan yang tidak pernah dicapai oleh mana-mana Perdana Menteri yang sebelumnya.

PM Abdullah juga telah berjaya merapatkan hubungan persahabatan antara Malaysia dengan negara-negara kuasa besar dunia seperti Amerika, Britain, dan Australia. Sebelum ini hubungan Malaysia dengan negara-negara kuasa besar tersebut renggang dan keruh. Namun setelah bergelar Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi terus mengadakan lawatan rasmi ke negara-negara tersebut untuk menjernihkan semula hubungan Malaysia dengan negara-negara kuasa besar itu. Namun kejayaan PM Abdullah ini dikritik hebat oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir.

"Now we want to be close to Bush, Blair, and Howard. These are discredited leaders who are derided as incompetent and liars even by their own people. Malaysia should not be seen to be close to them. But great efforts are made to meet Bush and lots of publicity given."

-Tun Dr Mahathir.

PM Abdullah juga telah berjaya menempah nama sebagai pengilham dan pencatur ekonomi. Kejayaannya ini seterusnya mendapat liputan yang meluas dan tiada tandingan walaupun hanya dengan kejayaan memotong riben perasmian projek Wilayah Koridor Pembangunan Ekonomi (NCER,WPI, ECER, SCORE, SDC). Walaupun projek wilayah koridor pembangunan ekonomi itu belum membuahkan hasil namun kejayaannya terus digembar-gemburkan dan mendapat publisiti meluas seluruh negara.

Kejayaan PM Abdullah terus mencapai kejayaan gemilang, cemerlang, dan terbilang apabila berjaya mengimpikan tahun 2057. Pada tahun 2057, PM Abdullah mengimpikan;

1) Malaysia akan menang hadiah Nobel

2) Syarikat yang global

3) Memasarkan jenama yang terkenal

4) Mempunyai dan artis diiktiraf dunia dan

5) Skuad bola sepak terbaik di Asia

Maka Malaysia perlu meniti 49 tahun (2008 - 2057) lagi untuk melihat kelima-lima kejayaan itu menjelma atau sebaliknya. Kejayaan PM Abdullah mengimpikan tahun 2057 telah berjaya menghakis keghairahan seluruh rakyat Malaysia untuk mencapai tahun 2020, yakni tahun yang diilhamkan oleh mantan Perdana Menteri iaitu Tun Dr. Mahathir.

Setelah Malaysia berada dibawah pentadbiran PM Abdullah, Malaysia telah berjaya menempah nama sebagai sebuah negara yang mempunyai tahap kecekapan dan daya saing yang membanggakan malah mengalahkan kecekapan dan daya saing negara-negara maju. Ini dapat dibuktikan dengan jelas melalui fakta-fakta yang dikeluarkan oleh saluran-saluran berwibawa yang berada dibawah telunjuk kerajaan PM Abdullah walaupun sesetangah jabatan-jabatan kerajaan masih lagi mengamalkan sikap "complacent" dan "biar lambat asalkan selamat."

Pada Pilihan Raya Umum yang ke-12 (PRU-12) PM Abdullah juga telah berjaya mengamalkan isme nepotism politik melalui peletakan Naib Ketu Pemuda Umno yang juga merangkap sang menantu sebagai calon untuk bertanding di kerusi Parlimen Rembau, Negeri Sembilan. Keputusannya meletakkan Khairy Jamaluddin dibuat berdasarkan kesebulatan suara wazir-wazir tertinggi Umno/BN walaupun PM Abdullah mengarahkan secara seni supaya Khairy Jamaluddin bertanding sebagai calon BN. Kejayaan PM Abdullah didalam mengamal dan melaksana isme nepotisme politik tidak pernah dilakukan oleh mana-mana Perdana Menteri yang sebelumnya. Maka adalah diyakini bahawa nepotisme sudah menjadi amalan yang perlu didukung sekiranya ingin berjaya mencapai kejayaan penuh dan tiada tandingan.

Oleh yang demikian dapatlah diakui dan diyakini bahawa PM Abdullah telah mencipta pelbagai kejayaan walaupun usia keperdanamenteriannya baru berusia setahun jagung mengikut tahun perkiraan politik yakni 4 tahun. Kejayaan sebegini tidak pernah dicapai oleh mana-mana Perdana Menteri yang terdahulu.

"Gemilang, Cemerlang, dan Terbailang."

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.