Skip to main content

Juak-juak oportunis

Keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) yang ke-12 telah mengejutkan pelbagai pihak terutamanya pihak-pihak yang begitu yakin dan percaya bahawa BN boleh dan dapat mengulangi kejayaan gemilang, cemerlang, dan terbilang sebagaimana yang dicapai pada PRU yang ke-11. Adalah tidak masuk akal BN boleh tewas kepda Barisan Alternatif (BA), sedangkan BN memiliki banyak "vantage point" jika dibandingkan dengan BA. Nampaknya dalam dunia politik yang sebenar vantage point sudah tidak boleh dijadikan senjata utama dalam percaturan politik.

Keterkejutan juak-juak ini jelas terpancar pada riak-riak wajah yang bersulam duka dan nestapa bak lagak orang yang mengemis seribu simpati. Apakah keterkejutan juak-juak ini akan menyebabkan kepada perlakuan "muhasabah diri" atau "harakiri"? Untuk mengetahuinya dengan jelas dan tepat tanpa tangan-tangan tapisan, berdampinglah dan selamilah duka dan nestapa juak-juak yang mengalami kejutan politik ini. Mungkin dengan mendampingi juak-juak yang kejut ini kita dapat memahami secara jelas dan tuntas permasalahan yang menerpa mereka- "juak-juak ini terpukul dan dipukul oleh gelombang suara rakyat marhaen yang selama ini senyap membisu seribu erti."

Namun demikian terdapat juga juak-juak yang menyalahkan "globalisasi" sebagai punca yang membawa kepada gelombang suara rakyat dan jauh sekali menyesali dan menginsafi diri. Juak-juak inilah yang dikatakan sebagai "juak-juak oportunis." Juak-juak oportunis ini biasanya tidak akan dan mahu mencuba untuk menerima sesuatu yang telah ditakdirkan keatas diri mereka. Mereka akan sentiasa mencabar minda dan mencari pelbagai persepsi untuk dan bagaimana menyalahkan faktor lain. Maka tidak hairanlah juak-juak yang oportunis ini tidak akan pernah mengaku tewas walaupun pada realitinya sudah tewas di atas padang percaturan sebenar.

Untuk membuktikan diri sentiasa benar dan harus dipercayai, juak-juak oportunis ini akan sentiasa bermain disebalik dan dibelakang tabir mencatur segala strategi bagi memenangi hati rakyat marhaen dengan segala janji yang bersalut retorik dan indoktrinasi. Selain daripada itu aliran media yang berkiblat kepada kerajaan sang pemerintah akan digunakan sebaik-baiknya agar misi dan visi tercapai. Tapi malang tidak berbau apabila wujud semacam rasa sangsi dikotak pemikiran rakyat marhaen yang tidak terindoktrinasi. Rakyat marhaen yang tidak terindoktrinasi pemikirannya akan sentiasa bersikap "atas pagar" dan cenderung memilih pihak yang memberi keyakinan dan kepercayaan semasak-masaknya tanpa dipengaruhi kilauan ringgit dan materi.

Juak-juak oportunis yang mendapat kejutan gelombang suara rakyat akhirnya akan menderita gegar otak mungkin juga mati otak. Gegar dan mati otak ini bukan pada realitinya tetapi pada ambiguitinya. Gegar dan mati yang dialami ini membuatkan otak juak-juak oportunis tidak dapat berfungsi dengan baik. Lebih malang lagi mengalami komplikasi keracunan fikiran kesan daripada pendarahdagingan unsur-unsur jijik seperti korupsi. Maka tidak hairanlah pada akhir- akhir usia walaupun masih nampak muda, juak-juak oportunis ini berada dalam keadaan yang diluar dugaan dan jangkaan.

Kejutan politik yang berlaku pada era Hadhari ini, adakah ia satu pembalasan daripada Allah yang maha besar kepada juak-juak oportunis yang selalu bangga mempamer dosa-dosa tanpa rasa bersalah? Atau adakah juak-juak oportunis ini telah mendapat tulah daripada rakyat marhaen yang memberi mereka kerusi empuk kuasa, mandat, dan amanah? Persoalan ini hanya boleh dijawab juak-juak oportunis itu sendiri.

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.