Skip to main content

Blogger

Bicarawara di radio 24 pada 24.03.2008, 8.00 malam hangat memperbincangkan isu-isu yang berkaitan dengan penulisan laman maya yang lebih popular dengan "blogger."Encik Juru Canang Radio 24 (Dr Love) juga tidak ketinggalan memanggil orang-perseorangan untuk membahas isu penulisan blog. Daripada bicarawara tersebut, wujud semacam sinis dan senda kepada penulis-penulis blog terutamanya penulis blog politik.


Adakah tujuan mempersenda itu disebabkan ketidakbolehterimaan warga Radio 24 khasnya dan penyokong kerajaan amnya terhadap kegagalan Kerajaan Barisan Nasional (BN) memperoleh majoriti 2/3 kerusi parlimen? Atau adakah ianya disebabkan oleh ketidakpuasan hati mereka terhadap penulis-penulis blog prolifik yang begitu kritis terhadap hal-hal yang berkaitan dengan bangsa dan negara? Atau apakah wujud rasa kecemburuan mereka terhadap penulis-penulis blog yang mempunyai kuasa senyap? Persoalan ini mudah dijawab oleh mereka-mereka yang hati, jiwa, dan perasaannya tidak terindoktrinasi dan termanipulasi oleh media yang bertuankan kerajaan PM Abdullah.

Setiap saat dan detik penulis laman blog akan muncul ibarat cendawan liar tumbuh selepas hujan. Penulis-penulis laman blog ini kemudiannya akan dikenali dengan jenama "komuniti siber."Di Malaysia setakat ini ahli komuniti siber telah mencecah kepada 14 juta orang dengan kadar 53.84 % dan diandaikan bahawa peratusan pertumbuhan akan bertambah tahun demi tahun. Namun demikian penulis laman blog tidak boleh dikategorikan sebagai penulis blog" sekepala" dari semua sudut aliran. Terdapat juga penulis laman blog yang bertaraf "sampah" dan bertaraf lebih sampah daripada sampah.

Untuk mengiktiraf kesampahan sesorang penulis laman blog amat mudah dan ia boleh dinilai oleh sesiapa sahaja. Namun, untuk mencari serta mengiktiraf keprolifikan seseorang penulis laman blog amat susah dan memerlukan intuisi yang tajam dan kritis dari semua sudut dan ruang lingkup. Boleh juga dikatakan dan diandaikan secara teori atas kertas bahawa Perdana Menteri (merujuk kepada PM Abdullah) pun sukar dan adakalanya tidak dapat membezakan antara penulis laman blog sampah dan penulis laman blog prolifik. Kerana pada sudut pandangan Perdana Menteri, penulis laman blog tidak bersandar kepada penulisan berunsur fakta malahan fitnah semata. Maka tidak menghairankan kenapa, mengapa, dan untuk apa komuniti blogger terutamanya blogger politik sering dipersalahkan apabila kuasa sang penguasa dan para wazir pemerintahan terhakis penggal demi penggal.

Adalah diyakini bahawa setiap permasalahan yang wujud di Malaysia samada di ruang lingkup makro dan mikro adalah disebabkan oleh faktor luaran dan faktor dalaman. Faktor- faktor ini adakalanya sukar dan malah tidak difahami oleh golongan akalisme yang beraja digerbang kuasa pemerintahan walaupun mereka itu lulusan Oxford, Havard, atau Al-Azhar. Golongan akalisme ini tidak pernah menganggap sesuatu masalah yang berlaku di dalam negara yakni dalam konteks politik, ekonomi, dan sosial itu adakalanya berpunca daripada dasar-dasar yang digubal oleh penggubal-penggubal dasar negara itu sendiri. Contoh yang amat jelas dan ketara sebagaimana yang dibicangkan didalam bicarawara Radio 24 ialah penulis-penulis laman blog terutamanya penulis-penulis laman blog politik ditembak sebagai penghasut, pemfitnah, perosak pemikiran dan sebagainya. Namun adalah tidak adil dan saksama dan sama rata sama rasa sekiranya unsur-unsur menghasut, memfitnah, dan merosak pemikiran sama sekali didalangi oleh penulis-penulis laman blog politik.

Perlu difahami bahawa, diabad ke-21 ini sebagaimana yang telah dinyatakan secara kritis oleh Alvin Toffler, dunia berada dalam keadaan kecil ruang lingkupnya kesan dan akibat faktor teknologi dan inovasi yang sentiasa mengalami perkembangan dan kemajuan yang tinggi. Dalam erti kata lain dunia kini sudah berada didalam keadaan maya dan sesiapa saja boleh memasukinya hanya dengan berkuncikan hujung jari. Maka sesiapa saja boleh menjadi "ahli komuniti siber" tanpa mengira warna kulit, aliran fahaman, atau status kasta yakni borjuis atau proletar. Untuk menjadi ahli komuniti siber, modal yang digunakan tidaklah seberapa jika dibandingkan dengan modal yang dicairleburkan di Wilayah Koridor Pembangunan Ekonomi. Modal yang diperlukan hanyalah "Pengetahuan" tanpa mengambil kira tahap kepengetahuanan itu.

Penulis laman blog boleh disifatkan sebagai makhluk yakni manusia, orang, dan insan. Manusia, orang, dan insan, tidak dicipta oleh Sang Pencipta dengan sempurna secara total dan pasti punyai ciri-ciri cela dan jahil. Oleh yang demikian, penulis laman blog tanpa mengira fahamanismenya boleh melakukan cacat cela dan jahilisme sebagaimana yang dilakukan oleh mereka-mereka yang berada dikerusi empuk kuasa. Namun cacat cela dan jahilisme seseorang penulis laman blog itu tidaklah memberi impak maksima sebagaimana impak yang dilakukan oleh sang pengusa dan badut-badut sang penguasa. Impak yang dihasilkan oleh penulis laman blog, politik terutamnya hanya memberi tamparan senyap kepada sang penguasa dan badut-badut sang penguasa tetapi tidak kepada rakyat. Impak yang dilakukan oleh sang penguasa dan badut-badut sang penguasa memberi kesan kepada rakyat terutamanya rakyat marhaen yakni Orang Melayu dan Orang Pribumi.

Walaupun penulis laman blog terutamanya pemulis laman blog politik ditembak dan disabit sebagai penghasut, pemfitnah, perosak pemikiran, dan sebagainya tetapi adakalanya penulis laman blog, politik terutamanya, berjaya menghasilkan "hits" yang dikagumi dan diyakini. Lihatlah kejatuhan demi kejatuhan wazir-wazir PM Abdullah penggal demi penggal. Siapakah yang menjatuhkan mereka sencara senyap kalau bukan penulis laman blog? Bagaimana dengan skandal seks Datuk Sri Dr. Chua Soi Lek?

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.