Skip to main content

Fitnah dan apabila ia menjadi fakta

Berdasarkan Kamus Dewan, Edisi Baru, 1993, fitnah ditakrifkan sebagai tuduhan (khabar, kisah dll) yg diada-adakan (dibuat-buat) utk memburukkan atau membencanakan sesorang dll. Fitnah terjadi apabila seseorang melemparkan tuduhan yang dibuat-buat terhadap orang lain atau orang-orang yang tertentu. Medium asas yang biasanya digunakan untuk melempar dan menyebarkan fitnah ialah mulut. Dalam keadaan dunia tanpa sempadan, medium yang digunakan untuk melempar dan menyebarkan fitnah ialah internet.


Orang yang melempar dan menyebarkan fitnah dikenali sebagai pemfitnah dari segi istilah bahasa. Manakala orang yang menjadi mangsa fitnah dikenali sebagai orang yang difitnah. Orang yang melempar dan menyebarkan fitnah adalah orang yang jijik dan busuk hati serta jelik perilakunya. Manakala orang yang difitnah adalah orang yang berhati mulia dan baik-baik belaka. Namun terkadang, orang yang difitnah adakalanya lebih jijik, lebih busuk hati, dan lebih jelik perilakunya jika dibandingkan dengan orang yang melempar dan menyebarkan fitnah.

Sains, walaupun telah berjaya merungkai hubungkait di antara adrenalin dengan perasaan cemas, ia masih belum mampu merungkai hubungkait di antara hormon kelenjar lain di dalam badan dengan perasaan hendak memfitnah. Walaubagaimana pun, bersandarkan hukum penerimaan akal, fitnah berpunca daripada perasaan iri hati atau hasad dengki yang ada pada seseorang. Perasaan iri hati dan hasad dengki pula lahir daripada hati dan akal yang saling menyeleweng dan bertentangan di antara satu sama lain.

Di dalam badan manusia ada seketul daging. Seandainya baik seketul daging itu maka baiklah manusia itu. Seandainya buruk seketul daging itu maka buruklah manusia itu. Ketahuilah bahawa seketul daging itu ialah hati.”

Cetusan yang menyebabkan hati dan akal saling menyeleweng dan bertentangan di antara satu sama lain adalah tidak lain dan tidak bukan disebabkan oleh bisikan dan hasutan iblis dan syaitan yang penuh dugaan.

Hubaya dan bahana bencana fitnah amat bisa. Ia disifatkan lebih jijik daripada perbuatan membunuh. Namun dalam konteks perundangan Malaysia pemfitnah, penyebar. Dan penabur fitnah hanya dikenakan hukuman berdasarkan apa yang telah diperuntukan di bawah Akta Hasutan 1948. Manakala kesalahan perbuatan membunuh pula akan dikenakan hukuman lucut nyawa oleh pihak berwenang kerajaan yang memerintah. Pembunuh yang telah dihukum lucut nyawa oleh pihak berwenang kerajaan yang memerintah tidak akan melakukan kesalahan membunuh yang seterusnya. Manakala pemfitnah, penyebar dan penabur fitnah masih lagi hidup sejahterah kerana Akta Hasutan 1948 tidak memperuntukan hukuman lucut nyawa. Sekiranya ada masa, peluang, dan mangsa, pemfitnah, penyebar dan penabur fitnah akan kembali ligat berputar selagi taubat belum menyapa.

Sesiapa sahaja boleh terlibat dengan hal dan perkara yang berkaitan dengan fitnah. Iblis dan syaitan tidak akan mengambil pendirian berkecuali atau sikap berkecuali dalam pencarian “insan terpilih.” Maka tidak hairanlah fitnah terus ligat berputar, dan tidak boleh ditundukkan apatah lagi dipatahkan, dan dihapuskan. Namun berdasarkan taakulan akal dan hukum penerimaan logik fitnah boleh ditundukkan dan dipatahkan, dan seterusnya dihapuskan sehingga ke lubang cacing sekiranya seluruh iblis dan syaitan dan para apparatchiknya dilucut nyawa oleh pihak yang berwenang kerajaan yang memerintah. Ini kerana iblis dan syaitan, dan para apparatchiknya merupakan punca pendorong yang mendorong pemfitnah memfitnah melalui bisikan dan hasutan yang penuh dugaan. Alangkah cemerlang, gemilang, dan terbilang seandainya kerajaan yang memerintah boleh dan mampu menghukum seluruh iblis dan syaitan, dan para apparatchiknya berdasarkan Akta Hasutan 1948 dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Oleh kerana sesiapa sahaja boleh terlibat dengan fitnah – tanpa mengira dia itu siapa, oleh kerana manusia tiada yang sempurna seluruhnya – orang jahat kelihatan baik, dan orang baik kelihatan jahat, maka berlakulah sesuatu yang di luar duga dan prasangka yakni fitnah menjadi fakta. Apabila fitnah menjadi fakta maka kesungguhan para berwenang (seperti pihak hakim, peguam, dll) untuk menegakkan keadilan dan kebenaran akan menjadi sukar dan rumit. Di samping itu, perkara-perkara (kes) yang berkaitan dengan fitnah seluruhnya (berdasarkan proses mahkamah) kemungkinan tidak akan bersifat fitnah seluruhnya. Ini menyukarkan lagi proses menegakkan keadilan dan kebenaran di negara ini.

Di Malaysia, fitnah menjadi fakta mungkin merupakan sesuatu yang baru berlaku atau jarang-jarang berlaku. Contoh yang cemerlang, gemilang, dan terbilang menunjukkan fitnah menjadi fakta ialah kes klip vedio Lingam dan kes klip video skandal seks bekas Menteri Kesihatan, Datuk Dr Chua Soi Lek. Kedua-dua kes ini pernah disifatkan sebagai fitnah semata dan tiada kena mengena dengan pihak yang terlibat dengan kedua-dua kes ini. Namun malang tidak berbau apabila kedua-dua kes ini akhirya didapati sahih dan benar oleh Siasatan Suruhanjaya Khas Di-Raja, dan ianya bukannya fitnah.

Dato’ Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor merupakan dua figura negara paling elit sekarang ini. Sudah pasti musuh politik Dato’ Seri Najib Razak terutamanya, akan memerah kudrat akal untuk memfitnah atau melibatkan kedua-dua figura elit negara ini dengan fitnah. Salah satu usaha yang dilakukan oleh pihak musuh politk untuk menjatuhkan kedua-dua figura paling elit negara ini ialah dengan memfitnah dan mengaitkan penglibatan mereka dengan kes pembunuhan Altanttuya Shariibuu, seorang wanita warga Mongolia. Kematian Altanttuya Shariibuu boleh disifatkan sebagai kematian yang penuh seribu misteri.

Bagi mematahkan fitnah yang dilontarkan oleh pihak musuh politik, Dato’ Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor telah membuat kenyataan dan penegasan yang mereka sama sekali tidak pernah terlibat dengan pembunuhan Altanttuya shariibuu. Dato’ Seri Najib Razak juga telah menyatakan yang dia sama sekali tidak mengenali dan tidak mengetahui siapa itu Altanttuya Shariibuu.

Perlu diketahui dan difahami secara jelas dan tuntas bahawa dua figura negara paling elit sekarang ini adalah orang yang baik-baik belaka dan tidak pernah terlibat dengan hal dan perkara yang jelik dan memalukan. Sekiranya kedua-dua figura negara paling elit sekarang ini pernah terlibat atau terlibat secara langsung dengan hal dan perkara yang jelik dan memalukan maka kedua-duanya tidak boleh dipersalahkan. Sekiranya fitnah yang mengaitkan kedua-dua figura negara paling elit ini dengan pembunuhan Altanttuya Shariibuu yang penuh seribu misteri itu benar dan menjadi fakta pada suatu masa nanti maka kedua-duanya tidak boleh dipersalahkan.

Yang perlu dan harus dipersalahkan ialah iblis dan syaitan kerana menghasut dan menjebakkan kedua-dua figura negara paling elit dan yang disayangi ini kepada perbuatan jelik dan memalukan, dan pembunuhan Altanttuya Shariibuu yang penuh seribu misteri. Iblis dan syaitan sememangnya jahat dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) harus bertungkus lumus untuk menghukum iblis dan syaitan yang penuh dugaan ini dengan Akta Hasutan 1948 dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.