Skip to main content

Pemansuhan PPSMI dan ISA: Antara dua perbandingan

Sebagaimana yang ditegaskan oleh kerajaan yang memerintah, pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) adalah berdasarkan keutamaan banyak pihak dan bukannya keutamaan kerajaan yang memerintah. Ini bermakna kerajaan yang memerintah tunduk dan akur terhadap desakan dan gesaan banyak pihak, rakyat terutamanya.


Kerajaan yang memerintah seterusnya menjelaskan bahawa pemansuhan PPSMI adalah berdasarkan “memperbetulkan sesuatu yang tidak betul,” di samping mengangkat dan menempatkan semula Bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda di tempat yang sepatutnya. “Memperbetulkan sesuatu yang tidak betul” adalah satu tindakan yang tepat berdasarkan penerimaan akal. Mana-mana agama dan kepercayaan sekalipun akan mengatakan YA terhadap pernyataan “memperbetulkan sesuatu yang tidak betul.” Dan, “tidak memperbetulkan sesuatu yang tidak betul” adalah ditegah sekeras-kerasnya di dalam konteks penerimaan akal dan norma keagamaan.

Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) diwujudkan adalah bertujuan untuk menjaga keselamatan negara daripada anasir-anasir yang boleh mengganggu gugat seperti anasir komunis. Oleh kerana ISA diwujudkan hanya untuk menjaga keselamatan negara (dan tidak lebih daripada itu), maka ia boleh disifatkan sebagai sesuatu yang wajar atau “sesuatu yang betul.”

Perlaksanaan ISA juga boleh disifatkan sebagai sesuatu yang wajar atau “sesuatu yang betul” sekiranya ia dilaksanakan berlandaskan kebenaran, keadilan, kemakmuran, keharmonian, ketenteraman, dan yang paling terutama, keselamatan negara. Sebagai contoh, sekiranya Perdana Menteri (PM) atau Timbalan Perdana Menteri (TPM), atau Menteri-menteri Kabinet atau ketiga-tiganya sekali diyakini mendatangkan ancaman terhadap keselamatan negara dan rakyat, dan dikenakan tahanan ISA selama dua tahun (atau lebih daripada dua tahun) tanpa perbicaraan, maka ia adalah sesuatu yang wajar atau “sesuatu yang betul.”

Tetapi sekiranya ISA digunakan untuk menjaga keselamatan dan kepentingan politikus kerajaan yang memerintah, maka ia sudah menjadi sesuatu yang tidak wajar atau “sesuatu yang tidak betul.” Ini adalah kerana, perlaksanaan ISA adalah bertujuan untuk menjaga dan menjamin negara daripada terdedah kepada ancaman keselamatan. Jika seandainya perlaksanaan dan penggunaan ISA digunakan untuk menjaga keselamatan dan kepentingan politikus kerajaan yang memerintah, maka perlaksanaan dan penggunaannya sudah menjadi sesuatu yang tidak wajar atau “sesuatu yang tidak betul.” Oleh yang demikian, perlaksanaan dan penggunaan ISA harus diperbetulkan sehingga ia menjadi “sesuatu yang betul.”

Untuk memperbetulkan perlaksanaan dan penggunaan ISA sehingga ia menjadi “betul” kerajaan yang memerintah harus memahami secara rinci apa itu hak asasi dan mengapa manusia memerlukan hak asasi. Ini kerana, ISA sama sekali menidakkan salah satu hak asasi manusia iaitu hak bersuara. Kegagalan kerajaan yang memerintah memahami secara rinci apa itu hak asasi dan mengapa manusia memerlukan hak asasi “tidak akan memperbetulkan sesuatu yang tidak betul.” Namun adalah lebih cemerlang, gemilang, dan terbilang sekiranya kerajaan yang memerintah gagal memahami apa itu hak asasi manusia daripada tidak mahu memahami apa itu hak asasi manusia ekoran daripada sifat bodoh sombong dan jahil yang melangit.

Seandainya kerajaan yang memerintah meletakkan semula salah satu hak asasi manusia iaitu hak besuara di dalam perlaksanaan ISA, maka kerajaan yang memerintah telah menunjukkan perilaku “memperbetulkan sesuatu yang tidak betul” sebagaimana “memperbetulkan semula” perlaksanaan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik ke dalam Bahasa Melayu.

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.