Skip to main content

Rakyat menolak pembangunan?

Rakyat tidak semestinya menolak pembangunan yang ingin dibawa oleh kerajaan yang memerintah sekiranya pembangunan yang ingin dibawa itu benar-benar memberi kemaslahatan kepada rakyat seluruhnya. Umno/BN sebagai kerajan yang memerintah perlu mengetahui secara tersurat dan tersirat mengapa, kenapa, dan untuk apa rakyat menolak pembangunan yang ingin dibawa.


Pada pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, BN gagal memenangi kawasan tersebut walaubagaimana pun berjaya mengurangkan majoriti perolehan undi yang diperoleh oleh PAS. Pada pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir baru-baru ini, BN sekali lagi mencipta kekalahan yang seterusnya. Kekalahan BN pada pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir pastinya akan memberi tamparan hebat kepada gandingan perkasa Najib-Muhyiddin.

Berikutan kekalahan BN di DUN Permatang Pasir, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan rakyat di DUN Permatang Pasir menolak pembangunan yang ingin dibawa oleh BN. Sewaktu kempen pilihanraya kecil DUN Manek Urai, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menjanjikan pembangunan kepada rakyat di DUN Manek Urai sekiranya memberi kemenangan kepada BN. Antara pembangunan yang dijanjikan ialah Manek Urai sebagai kota agropolitan, Manek Urai sebagai “anak emas” kerajaan persekutuan, dan jambatan yang berjuta nilainya akan dibangunkan di Manek Urai sebagai menggantikan jambatan lama yang telah uzur.

Apa yang disifatkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin ini adalah tidak relevan dan tidak munasabah dengan keadaan rakyat yang 80% daripadanya memiliki pelajaran asas (menulis, membaca, dan mengira) di samping dapat berfikir secara dasar mengapa, kenapa, dan untuk apa pembangunan. Walaubagaimana pun, rakyat masih terkeliru dengan slogan dan konsep “pembangunan” yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan yang memerintah, 1 Malaysia; Rakayat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.

Umno/BN telah memerintah sejak sekian lama. Presiden Umno merangkap Pengurusi BN akan menjadi Perdana Menteri atau “Ketua Pegawai Eksekutif” kerajaan yang memerintah. Setiap kali PRU berlangsung, diakui bahawa rakyat akan sentiasa memberi akuan sokongan kepada Umno/BN walaupun tanpa rela agar kerajaan yang memerintah terus memerintah kerana setakat ini hanya Umno/BN yang terbaik dan tiada pilihan lain bagi rakyat. Seandainya rakyat mempunyai pilihan lain selain daripada Umno/BN pastinya rakyat tidak akan memangkah Umno/BN pada PRU yang seterusnya.

Rakyat memberi akuan sokongan kepada Umno/BN setiap kali PRU kerana rakyat inginkan pulangan iaitu pembangunan. Rakyat tidak boleh dipersalahkan sekiranya mereka meminta pulangan (pembangunan) seusai memangkah Umno/BN setiap kali PRU. Ini kerana setiap kali sebelum PRU, Umno/BN menjanjikan pembangunan kepada rakyat. Pembangunan. Setiap kali selepas PRU Umno/BN menjaminkan perlaksanaan pembangunan kepada rakyat.

Dengan andaian katakanlah rakyat menolak pembangunan. Apa yang diperkatakan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas PRK DUN Permatang Pasir tepat, jelas, dan tuntas dengan keadaan yang “selesa” sekarang ini.

“Maka apa yang BN tawarkan dalam kempen ini tidak berapa diterima sebab saya percaya mereka sudah selesa dengan apa yang mereka telah ada.”

-Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden Umno

Tetapi pada masa yang sama perlu ditelusuri secara ikhlas mengapa, kenapa, dan untuk apa rakyat menolak pembangunan terutamanya pembangunan yang ingin dibawa oleh Umno/BN merangkap kerajaan yang memerintah. Sudah dua kali BN ditidakkan oleh rakyat di Manek Urai dan Permatang Pasir walaupun BN menjanjikan pembangunan untuk rakyat. Malah pada pilihanraya kecil yang sebelumnya Umno/BN juga ditidakkan oleh rakyat.

Sewaktu perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB), Malaysia diperintah oleh kerajaan Umno/BN. DEB adalah untuk pembangunan rakyat terutamanya orang Melayu dan kaum Bumiputera tetapi ia gagal mencapai matlamatnya. Kenapa DEB gagal mencapai pembangunan yang dimatlamatkan?

Sebermula Umno/BN diterajui oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi, dasar-dasar pembangunan yang telah dicanai oleh Tun Dr. Mahathir tidak dilaksanakan sepenuhnya sedangkan ia penting untuk pembangunan rakyat dan negara. Program pembangunan rakyat dan negara yang dicanai oleh Tun Dr. Mahathir dikecaikan dan digantikan dengan Koridor Wilayah Pembangunan Ekonomi – Wilayah Pembanguna Iskandar; Wilayah Ekonomi Koridor Utara; Koridor Pantai Timur; Koridor Pertumbuhan Sabah dan Sarawak. Setakat ini program-program pembangunan yang dilaksanakan belum membuahkan hasil. Apakah disebabkan kegagalan perlaksanaan? Program-program pembangunan sedemikian penting untuk pembangunan rakyat dan negara.

Umno/BN semasa dibawah kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi berada di dalam keadaan yang selesa ekoran daripada akuan sokongan rakyat yang melangit setiap kali PRU. Maka dengan keadaan sedemikian pemimpin-pemimpin Umno/BN berasa tidak perlu bekerja keras untuk pembangunan rakyat dan negara. Wakil-wakil rakyat Umno/BN juga sedemikian dan hanya turun padang bersama gerombolan pengiring dan media apabila pilihanraya sedang membahang. Setakat bertanya khabar di majlis mesra bersama rakyat sudah mencukupi. Maka apabila rakyat bertanya “kenapa pembangunan yang dijanjikan oleh Umno/BN tidak kunjung tiba?” Wakil rakyat bersabda seperti intelektual cair “negara bergelut dengan permasalahan ekonomi dunia.”

Masalah rasuah, nepotisme, dan kronisme sudah semacam candu di dalam Umno/BN. Pemimpin-pemimpin Umno/BN kebanyakannya arif secara teori dan praktikal apa itu rasuah, nepotisme, dan kronisme. Maka tidak menghairankan jika setiap program-program pembangunan untuk rakyat dan negara menjadi tempang dan kudung. Jikalau pun ada “rakyat” yang berjaya dengan program-program pembangunan untuk rakyat dan negara berjaya dan maju jaya, rakyat jenis sedemikian hanyalah komuniti pemanjat kelas sosial yang sering membadut dan menikus bersama pemimpin-pemimpin Umno/BN di dalam organisasi Umno/BN. Maka tidak hairanlah sekiranya rakyat komuniti desa dan pedalaman ketinggalan dengan arus “pembangunan” yang dibawa oleh Umno/BN yang sinonim dengan pembangunan negara.

Apa agaknya pembangunan yang rakyat hendak daripada Umno/BN merangkap kerajaan yang memerintah? Persoalan sedemikian sudah tentu mengganggu mainan tidur pemimpin-pemimpin Umno/BN. Sehingga kini pemimpin-pemimpin Umno/BN masih gagal memahami pembangunan rakyat yang kehendaki walaupun pemimpin Umno/BN itu seorang lulusan universiti luar negeri.

Pada sudut kasar rakyat sama ada komuniti bandar atau komuniti luar bandar menginginkan pembangunan. Pembangunan yang diinginkan ini hanya boleh tercapai melalui campur tangan Umno/BN merangkap kerajaan yang memerintah. Pembangunan yang diinginkan bukan sahaja pembangunan dalam bentuk material dan fizikal semata. Rakyat juga menginginkan pembangunan yang dikecapi oleh pemimpin-pemimpin Umno/BN tetapi dengan cara perlaksanaan yang tidak menyimpang daripada kesusilaan dan tata etika antaranya pembangunan sosial, pembangunan ekonomi, dan pembangunan politik. Ketiga-tiga bentuk pembangunan ini kemudiannya diikuti dengan pembangunan yang menjurus kepada pembangunan yang menyeluruh termasuklah pembangunan material dan fizikal.

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.