Skip to main content

Sayap Kanan UMNO: Perjuangan jawatan dan kepentingan?

Pengurusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen pernah menyarankan supaya sayap kanan UMNO dibubarkan. Ia merupakan saranan yang bernas, jitu, tuntas, dan kena pada masa, situasi, dan keadaan UMNO yang semakin pudar perjuangannya. Di Perhimpunan Agung UMNO Ke – 61 baru-baru ini, walaupun ketiga-tiga pucuk pimpinan sayap kanan UMNO menunjukkan semangat kental beragenda di samping memasang tekad perjuangan, ia belum cukup mampu untuk membutktikan sayap kanan UMNO itu benar-benar pulih dari “coma” lalu. Melainkan “Dr. Zhivago” UMNO telah menemukan vaksin penawar mujarab.
 

Perhimpunan Agung UMNO kali ini yakni kali ke – 61, walaupun menampakkan kematangan perhimpunan tetapi pada zahirnya ia masih kelihatan seperti perhimpunan agung-perhimpunan agung yang telah lalu. Tiada apa yang boleh dibanggakan. Melainkan “keranggian” semata. Cuma apa yang jelas pada perhimpunan agung kali ini ialah UMNO “senyum dalam gelora” dalam berhadapan dengan “gelora” sayap kanannya.
 
Semasa merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam ucapannya banyak menyentuh tentang isu asas, perpaduan, elak prasangka, jangan prejudis dan permuafakatan. Ucapan sedemikian walaupun sebagai tanda kesantunan dalam memberi peringatan namun ia tidak searas dengan tahap kematangan para perwakilan dan pucuk pimpinan sayap kanan UMNO. Tambahan pula para perwakilan dan pucuk pimpinan sayap kanan UMNO terdiri daripada kalangan insan yang berkarismatik dan berkeperibadian tinggi. Melainkan para perwakilan dan pucuk pimpinan sayap kanan UMNO itu.
 
Setiap kali perhimpunan agung, setiap kali ada pemilihan parti, sayap kanan UMNO sebagaimana keadatannya, lantang bersuara dan sudah semestinya beragenda – meneruskan dan mempertahankan perjuangan suci lagi murni atas nama bangsa, agama dan negara. Namun di sebalik kelantangan itu, bakal pasti, kepentingan dan jawatan.
 
Tidak dapat dipastikan secara teori mahupun secara empirikal sama ada Melayu akan hilang kuasa pada Pilihan Raya Umum – 13 (PRU – 13) nanti atau tidak. Atau UMNO yang bakal hilang kuasa pada PRU – 13. Persoalan orang Melayu akan hilang kuasa pada PRU ke – 13 sekali lagi berkumandang di Perhimpunan Agung UMNO Ke – 61. Menurut Ketua Pemuda UMNO, kesan daripada UMNO, PAS tidak mampu mendapatkan sokongan seratus peratus daripada orang Melayu membolehkan kuasa Melayu hilang pada PRU – 13.
 
Berbalik kepada persoalan Melayu hilang kuasa pada PRU – 13, yang ditekan ingatkan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, menyebabkan ahli Pergerakan Pemuda UMNO seia dan sekata dengan:
 
“Anggaplah kami sebagai harapan dan bukan ancaman, berikanlah juga kami peluang dan kepercayaan, upayakanlah kami untuk memegang dan menggalas tanggungjawab yang lebih berat.
“Saya percaya, Pemuda UMNO hari ini bukan golongan yang mengejar jawatan, gila kuasa, tamak projek tetapi kami pendokong harapan, pembela nusa, pencetus semangat, satria setia.”
 
- Khairy Jamaluddin, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO
 
Berkenaan dengan Pergerakan Wanita UMNO di Perhimpunan Agung UMNO Ke – 61, Wanita UMNO bertekad untuk mempertahankan kemuliaan dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan daripada dicabuli dan dicemari terutama Perkara 153. Namun seperti keadatannya, jawatan dan kepentingan, sebagaimana Pergerakan Pemuda UMNO.
 
“Melonjakkan tahap dan penyertaan wanita dalam kepimpinan negara khususnya dalam empat sektor kritikal.
“Memperjuangkan supaya wanita diberi peluang dilantik menjadi Menteri Besar, Ketua Menteri serta Pengurusi Badan Perhubungan UMNO negeri-negeri.”
 
- Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Pergerakan Wanita UMNO
 
Maka sudah semestinya apa yang diperjuangkan oleh Ketua Pergerakan Wanita UMNO itu menjadi perjuangan ahli Pergerakan Wanita UMNO. Tidak menghairankan jika Exco Wanita, Ketua Wanita Negeri dan Perwakilan menyokong penuh “perjuangan” Ketua Pergerakan Wanita UMNO.
 
“Perlantikan wanita untuk memegang jawatan di semua peringkat memang menjadi perjuangan kita selama ini.
“Sebagai majoriti pengundi dan ahli parti, kami berharap wanita diberi lebih banyak tempat dalam kepimpinan negara dan syarikat milik kerajaan (GLC).”
 
- Senator Noriah Mahat, Exco Wanita UMNO dan Ketua Wanita Bahagian Pagoh
 
“Idea supaya wanita menjadi Menteri Besar pernah timbul dahulu tetapi ada sahaja halangan pada waktu itu.”
 
- Datuk Maznah Hamid, Exco Wanita UMNO
 
Berkenaan dengan Pergerakan Puteri UMNO, walaupun ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin menggesa lebih 700 perwakilan Puteri yang hadir di Perhimpunan supaya mengetepikan niat mereka untuk mendapatkan jawatan dalam kerajaan (pringkat pusat mahu pun negeri), tetapi pada dasarnya perwakilan Puteri juga memperjuangkan apa yang diperjuangkan oleh Pemuda dan Wanita – jawatan dan kepentingan.
 
Adalah malang bagi UMNO sekiranya setiap kali perhimpunan agung atau pemilihan parti sayap kanannya – Pemuda, Wanita dan Puteri – ghairah merebut jawatan dan kepentingan. Teguran Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, “Teguran saya ibarat bapa kepada anak” terhadap Pemuda dan Puteri UMNO semasa Perhimpunan Agung UMNO Ke-61, tepat dan kena pada masanya walaupun ada pemimpin-pemimpin UMNO membidas teguran tersebut.
 
“Ini mengingatkan saya kepada perjuangan UMNO itu sendiri. Apa sebabnya orang Melayu masuk UMNO dan mengapa sampai hari ini Melayu masih tetap bersama UMNO walaupun mereka tidak suka dengan sikap sesetengah pemimpin parti? Zaman sebelum dan sewaktu saya sertai UMNO dahulu, orang Melayu masuk UMNO kerana perjuangan. Masalahnya ialah sejak satu dekad yang lalu ramai pula yang masuk UMNO kerana ada benda mereka rasa boleh dapat. Sebab itu perebutan jawatan menjadi semakin sengit sehingga bergaduh di peringkat cawangan.”
 
- Tan Sri Dato’ Sri Mohamed Rahmat, Allahyarham

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.