Skip to main content

Gadai negara, selain Anwar?

Penyifatan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, negara akan tergadai sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) nanti adalah penyifatan berat sebelah. Walaupun berasas secara politik atas kertas tetapi penyifatan itu bersifat khusus, tidak secara menyeluruh.


Andaikanlah Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri selepas PRU-13 nanti dan dakwaan negara tergadai menjadi kenyataan, bagaimana negara boleh tergadai? Siapa pula yang bakal memperoleh laba gadaian negara selain Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Rakan-Rakan? Apakah Amerika dan apparatus dan apparatchik Amerika? Sekiranya sedemikian, apakah kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah "sahabat" kepada Amerika dan apparatus dan apparatchik Amerika?

Gadai negara, siapa selain Datuk Seri Anwar Ibrahim? Sudah tentu, pemimpin-pemimpin politik yang tamak haloba terutamanya yang berkedudukan dalam pentadbiran kerajaan, kerajaan pusat tentunya. Bagaimana pula dengan pemimpin-pemimpin politik yang korup terutamanya yang berkedudukan dalam pentadbiran kerajaan, kerajaan pusat tentunya? Mohandas Karamchand Gandhi (1869-1948) ada mengungkap bahawa "dunia ini mencukupi bagi orang biasa tetapi tidak bagi orang yang tamak haloba."

Tamak haloba dan korup mempunyai korelasi yang ultra-positif. Korup berpunca daripada tamak haloba. Tamak haloba tidak berpunca daripada korup. Pemimpin-pemimpin politik yang tamak haloba dan korup, terutamanya yang berkedudukan dalam pentadbiran kerajaan, tidak semestinya hanya di kalangan pemimpin politik parti Pembangkang sahaja, terdapat juga di kalangan pemimpin politik parti kerajaan yang memerintah, UMNO-BN. Tidak salah jika dikatakan bahawa parti kerajaan yang memerintah dan parti Pembangkang memiliki persamaan yang tidak jauh bezanya - persamaan memiliki pemimpin-pemimpin politik yang tamak haloba dan korup. Pun begitu, tidaklah kesemua pemimpin-pemimpin politik itu sedemikian rupa.

Bagaimana negara boleh tergadai atau digadai dengan begitu sahaja? Apakah menggadai negara boleh disamakan seperti menggadai intan berlian di kedai pajak gadai? Andai kata Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri selepas PRU-13 nanti, dan hendak menggadaikan negara ini, seorang diri sahaja Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan mampu berbuat demikian. Walaupun berpakat dengan pemimpin-pemimpin politik parti Pembangkang yang lain, PAS dan DAP. Melainkan adanya campur tangan pihak luar terutamanya Amerika dan apparatus dan apparatchik Amerika. Singapura bagaimana?

Percaya atau tidak negara boleh tergadai secara dengan sendirinya melalui perlaksanaan pembangunan ekonomi. Dalam membangunkan ekonomi, sesebuah negara tidak boleh mengamalkan sistem ekonomi tutup pintu. Ia perlu membuka pintunya kepada pihak luar terutamanya Amerika dan apparatus dan apparatchik Amerika. Jika tidak, atau menolak kemasukan pihak luar dari perlaksanaan pembangunan ekonomi, negara itu bakal pasti mengalami keterencatan pembangunan ekonomi. Ini sudah banyak dialami oleh negara-negara dunia ketiga terutamanya negara-negara dunia ketiga yang berbeza doktrin politiknya dengan Amerika. Cuba, Korea Utara dan Venezuela boleh dimasukkan ke dalam daftar negara yang mengalami keterencatan pembangunan ekonomi akibat penolakan itu.

Antara wilayah pembangunan ekonomi yang diwujudkan di Malaysia yang boleh mengakibatkan negara - boleh - tergadai ialah Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) Johor. Di WPI, Zon Perniagaan dan Perdagangan Eksklusif terutamanya untuk pelabur-pelabur asing - sudah tentu apparatus dan apparatchik Amerika - diwujudkan. Pewujudan ini adalah bertujuan untuk memudahkan urusniaga antarabangsa dan global kerana ianya mempunyai pengaruh yang kuat terhadap pembangunan ekonomi negara secara amnya. Di samping merancakkan pembangunan ekonomi negara di era globalisasi kini.

Cuba bayangkan, di zon Perniagaan dan Perdagangan Eksklusif untuk pelabur-pelabur asing WPI ini dijadikan "medan lelong" aset negara seperti hartanah oleh pemimpin-pemimpin politik - yang berkedudukan dalam pentadbiran kerajaan, kerajaan pusat terutamanya - yang tamak haloba dan korup? Cuba bayangkan, di Zon Perniagaan dan Perdagangan Eksklusif WPI ini pelabur-pelabur asing yang telah berstatus "landlord" atas dasar pemilikan mutlak hartanah mengembangkan sayap pemilikan dengan serakus-rakusnya? Bakal pasti, selepas abad ke-21 yakni abad ke-22 nanti, sebahagian negara ini tergadai ke tangan-tangan apparatus dan apparatchik Amerika - pelabur-pelabur asing tentunya. Siapa yang mencanangkan idea pembangunan ekonomi di WPI Johor ini sehingga boleh menggadai negara? Apakah Datuk Seri Anwar Ibrahim?

Negara akan tergadai sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri selepas PRU-13 nanti hanyalah mitos. Ini kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan menjadi Perdana Menteri walaupun dengan kesabaran seluruh 28.3 juta rakyat. Pada kebarangkalian, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, menyifatkan Datuk Seri Anwar dengan sedemikian kerana (1) tindak-tanduk politik Datuk Seri Anwar Ibrahim yang serba-serbi dan kerana (2) Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai hubungan "persahabatan" dengan Amerika dan apparatus dan apparatchik Amerika. Jika demikian, dua kali lima. Kerajaan yang memerintah pun juga mempunyai hubungan persahabatan dengan Amerika dan apparatus dan apparatchik Amerika, selain tindak-tanduk politik pemimpin-pemimpin politik kerajaan yang memerintah juga terkadang serba-serbi.

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.