Skip to main content

9/16

Apa yang berlaku pada 16 September 2008 hanyalah hari ulang tahun pembentukan Persekutuan Malaysia yang ke-45 jauh sekali daripada objektif Parti Pembangkang yang ingin mengambil alih Kerajaan Pusat dari cengkaman Umno/BN. Walaupun Parti Pembangkang gagal mencapai objektifnya pada 16 September 2008, namun perlu wujud persepsi di kotak pemikiran animal politics Umno/BN dan rakyat marhaen bahawa Parti Pembangkang yakni Pakatan Rakyat benar-benar ingin mengambil alih Kerajaan Pusat daripada cengkaman Umno/BN, dan ini bukan satu jenaka atau sandiwara “Court Jester.”

Kerajaan Pusat, pada asas politikal adalah milik mutlak parti politik yang telah memenangi Pilihan Raya Umum. Namun berasaskan asas politikal juga, Kerajaan Pusat boleh berpindah ke tangan parti-parti politik pembangkang yang ada di Semenanjung Malaysia pada bila-bila masa sekiranya situasi dan keadaan membenarkannya berlaku. Peralihan Kerajaan Pusat daripada Umno/BN kepada Parti Pembangkang yakni Pakatan Rakyat (DAP, PKR, PAS) pastinya akan mengundang suasana kecelaruan politik tanah air disamping melahirkan bibit-bibit sentimen Melayu lawan Melayu atau “Perang saudara.”

PM Abdullah dan algojonya pasti gelojoh mengecam dan menyelar tindakan Parti Pembangkang yang berkesungguhan untuk merampas Kerajaan Pusat pada 16 September 2008, dan menyifatkan cita-cita Parti Pembangkang ini sebagai angan-angan Mat Jenin yang serba karut dan mencarut walaupun PM Abdullah dan algojonya juga kekadang suka kepada perkara-perkara karut seperti “kekeramatan” Songkok Bapak Presiden Soekarno.

Berdasarkan track record, Parti Pembangkang telah menunjukkan prestasi yang gemilang dan cemerlang walaupun tidak terbilang. Prestasi gemilang dan cemerlang Parti Pembangkang semasa PRU-12 lalu telah berjaya menggoncang jiwa politik animal politics Umno/BN walaupun mereka sering melaungkan “Tidak akan goyah jiwa ini!” Seterusnya, kemenangan besar penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato’ Sri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh (P44) Ogos lalu telah membuktikan yang Parti Pembangkang mula menuju ke arah membentuk Kerajaan Pusat.

Penguasaan kerusi di Dewan Rakyat oleh Parti Pembangkang mulai menunjukkan peningkatan seusai PRU-12. Manakala penguasaan kerusi di Dewan Rakyat oleh Umno/BN menunjukkan pemerosotan yang gemilang, cemerlang, dan terbilang walaupun Umno/BN mendakwa mereka “menang besar” pada PRU-12. Kegagalan Umno/BN memperoleh majoriti 2/3 Dewan Rakyat pastinya akan melicinkan perjalanan Parti Pembangkang ke arah membentuk Kerajaan Pusat pada bila-bila masa sahaja bermula dari tarikh 16 September 2008.

Parti Pembangkang yang membentuk Pakatan Rakyat selepas PRU-12 telah menduduki 81 kerusi Dewan Rakyat daripada 222 jumlah keseluruhan kerusi Dewan Rakyat. Manakala Umno/BN menduduki 111 kerusi Dewan Rakyat. Secara aritmetik, Parti Pembangkang hanya memerlukan sekurang-kurangnya 30 atau 31 kerusi Dewan Rakyat untuk mengatasi jumlah kerusi Dewan Rakyat Umno/BN sekali gus membentuk Kerajaan Pusat.

Untuk memperoleh 30 atau 31 kerusi Dewan Rakyat adalah sesuatu yang tidak mustahil bagi Parti Pembangkang selagi “Tomorrow never dies.” Keyakinan untuk memperoleh kerusi di Dewan Rakyat semakin bertambah apabila komponen-komponen parti Barisan Nasional (BN) seperti Parti Maju Sabah (SAPP) mulai hilang percaya kepada kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi didalam BN. Seandainya SAPP mengambil keputusan untuk keluar daripada BN, kerajaan Umno/BN sudah tentu akan mengalami pengurangan jumlah kerusi Dewan Rakyat. Pada masa yang sama gelora didalam Umno semakin memuncak apabila wujud ketidakserasian ideologi dikalangan pemimpin-pemimpin Umno yang sentiasa diigaui dan dibayangi oleh “perayaan’ peralihan kuasa kepimpinan Umno/BN pada bulan Jun 2010 nanti.

Untuk mempertahankan 30 atau 31 kerusi Dewan Rakyat, adalah sesuatu yang tidak sukar bagi Umno/BN kerana beranggapan parti-parti komponen BN sentiasa menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bagi terhadap kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi yang didakwa oleh fanatik-fanatik Umno/BN sebagai “Gemilang, cemerlang, dan terbilang.” Seandainya wujud rasa sangsi kerajaan Umno/BN terhadap parti-parti komponen BN, pemimpin-pemimpin tertinggi parti komponen BN akan diduga dengan statutory of declaration sebagai tanda taat setia kepada kepimpinan tertinggi Umno/BN. Sekiranya terdapat parti komponen keluar daripada BN, Umno/BN beranggapan komponen parti yang keluar itu sebagai tidak menjunjung semangat Barisan Nasional dan mengkhianati perjuangan Barisan Nasional walaupun pemimpin-pemimpin Umno/BN adakalanya membelakangi semangat dan perjuangan Barisan Nasional.

Walaupun Umno/BN mampu mempertahankan kerusi di Dewan Rakyat, namu Umno/BN sekarang kelihatan semacam dibayangi oleh kegilaan Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang benar-benar ingin menggantikan Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri Malaysia. Umno/BN semakin menjadi kalut lagi kusut apabila seorang daripada politikusnya berjaya menyalakan api perkauman apabila menyifatkan kaum Cina sebagai pendatang. Tindakan seorang politikus Umno/BN ini boleh memudarkan semangat Barisan Nasional dikalangan parti-parti komponen BN sekali gus merealisasikan “acara” lompat parti pada temasya persidangan Dewan Rakyat yang seterusnya.

16 September 2008 pada Parti Pembangkang hanyalah satu matlamat yang ingin dicapai dalam impian dan cita-cita politik dan ia tidak semestinya perlu dan mesti dicapai pada hari 16 September 2008. Impian dan cita-cita politik Parti Pembangkang mungkin boleh tercapai sekiranya PKR, DAP, PAS dan BEBAS boleh membentuk satu pakatan bagi mengatasi jumlah kerusi Umno/BN di Dewan Rakyat.

Umno/BN, sekiranya ingin membuktikan impian dan cita-cita politik Parti Pembangkang sebagai satu gimik atau hanya sekadar angan-angan Mat Jenin semata-mata, Umno/BN perlu memperkukuhkan ikatan saling percaya diantara parti-parti komponen BN. Disamping itu, pemimpin-pemimpin Umno khasnya dan BN amnya perlu faham akan maksud “Barisan Nasional” sejelas-jelasnya dan tidak membangkitkan isu perkauman, dan isu agama sekiranya wujud krisis ideologi didalam Umno/BN. Dan apa yang perlu diutamakan oleh Umno/BN ialah menyingkirkan Abdullah Ahmad Badawi daripada jawatan Presiden Umno dan Pengurusi BN serta-merta, dan mengembalikan semula kepercayaan rakyat marhaen terhadap Umno/BN, dan meyakinkan rakyat marhaen yang Umno/BN benar-benar menjunjung titah perintah rakyat.

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.