Skip to main content

Belanjawan 2009: Antara "akal" dan "dangkal."

Pembentangan Belanjawan 2009 bulan lepas (Ogos 2008) menunjukkan isme "akal" disamping bersulam isme "dangkal." Manakala kerajaan PM Abdullah beranggapan pembentangan Belanjawan 2009 sesuatu yang gemilang, cemerlang, dan terbilang seolah ia sudah dapat memenuhi kemahuan dan kehendak rakyat. Apakah Belanjawan 2009 sekali gus merealisasikan mantera "Bekerjalah bersama-sama saya tetapi bukan untuk saya?"


Sebanyak RM207.9 billion diperuntukkan oleh kerajaan PM Abdullah Ahmad Badawi dalam Belanjawan 2009. Jika dibuat perbandingan dengan Belanjawan 2008 (tahun lepas), Belanjawan 2009 menunjukkan peningkatan yang lebih tinggi iaitu sebanyak 5.1 %. Ini bermakna kerajaan PM Abdullah mempunyai tahap kewangan yang baik dan kukuh. Namun apa yang menghairankan ialah bagaimana kerajaan PM Abdullah boleh "technically insolvent" semasa krisis kenaikan harga minyak global? Agak mustahil kerajaan PM Abdullah boleh menjana semula pendapatannya ke tahap yang lebih tinggi sedangkan penurunan harga minyak global berada dalam keadaan lembap.

Pada sesi pembentangan Belanjawan 2009, PM Abdullah tentunya bangga menyatakan yang kerajaan perihatin dengan kesejahteraan rakyat. Maka tidak hairanlan salah satu daripada objektif utama Belanjawan 2009 adalah menjamin kesejahteraan rakyat. Menjadikan "menjamin kesejahteraan rakyat" sebagai objektif utama didalam Belanjawan 2009 memang boleh diterima akal tetapi tidak masuk akal dan boleh disifatkan sebagai dangkal. Bukankah manifesto Umno/BN merangkap kerajaan pusat semasa PRU-12 lepas "Aman, Selamat, dan Makmur?"

Aman, selamat, dan makmur adalah unsur kesejahteraan. Umno/BN merangkap kerajaan pusat sering melaungkan "menjamin kesejahteraan rakyat" setiap kali menjelangnya PRU. Kenapa menjamin kesejahteraan rakyat tidak dijadikan objektif utama yang mesti dicapai pada hari pertama Umno/BN membentuk kerajaan pusat setelah "menang besar" pada PRU-12? Kenapa "menjamin kesejahteraan rakyat" perlu diobjektifkan pada pembentangan Belanjawan 2009? Adakah ini satu "The mind of strategies" Umno/BN merangkap kerajaan pusat untuk menyambung "nyawa politik"nya? Rakyat tidak kisah sekiranya Umno/BN ingin mengganyang musuh-musuh politiknya yakni animal politics Parti Pembangkang, tetapi rakyat pasti "kisah" sekiranya Umno/BN merangkap kerajaan pusat gagal menjamin kesejahteraan mereka.

Rakyat sama ada tinggal di kota mahupun di desa pastinya inginkan jaminan kesejahteraan. Di kota rakyat sudah tentu berhadapan dengan "sakit sosial" yang boleh melumpuhkan kesejahteraan mereka sebagai rakyat. Kesejahteraan mereka sebagai rakyat bukan sahaja dijamin oleh kegemilangan, kecemerlangan, dan keterbilangan Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) menurunkan indeks jenayah atau berjaya menangkap pencuri kambing di desa, tetapi perlu mendapat jaminan dari elemen-elemen lain seperti kestabilan harga barangan kegunaan harian dan sebagainya.

Pada pembentangan Belanjawan 2009, kerajaan PM Abdullah juga jelas menunjukkan isme diskriminasi terhadap rakyat. Salah satu bentuk diskriminasi yang jelas dilakukan ialah diskriminasi bantuan pendidikan. Dalam pembentangan Belanjawan 2009, kerajaan memperuntukkan sejumlah wang yang banyak untuk pembangunan modal insan melalui pendidikan tetapi bukan untuk semua institusi pendidikan yang ada di Malaysia. Bantuan pendidikan hanya diberikan kepada Institusi Pengajian tinggi Awam (IPTA), dan Kolej Komuniti dan Politeknik. Manakala bantuan pendidikan tidak diberikan kepada Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), terutamanya IPTS milik Bumiputera. Realitinya, penuntut-penuntut IPTS lebih berketerampilan didalam lapangan modal insan dan mampu mencapai tahap kualiti yang terbaik walaupun tidak mendapat pengiktirafan gemilang, cemerlang, dan terbilang daripada kerajaan Umno/BN.

Rakyat (mahasiswa/mahasiswi) sebelum memasuki alam sosial yakni dunia masyarakat, terlebih dahulu menimba ilmu pengetahuan dan kemahiran. Rakyat mempunyai hak untuk memilih institusi-institusi pengajian tinggi sama ada awam mahupun swasta sebagaimana hak untuk memilih parti pemerintah atau parti pembangkang setiap kali PRU (sekiranya layak menjadi pemilih). Seusai menuntut ilmu rakyat tentunya akan memasuki alam pekerjaan dan memperoleh bayaran dalam bentuk gaji, dan membayar cukai pendapatan kepada kerajaan Umno/BN. Rakyat sama ada menuntut ilmu di IPTA atau IPTS sepatutnya mendapat bantuan pendidikan yang setara kerana seusai menimba ilmu rakyat akan bergelar "proletariat" atau "modal insan" yang akan menjadi pembayar cukai setia kepada kerajaan Umno/BN. Sekiranya kerajaan PM Abdullah ingin merealisasikan objektif Belanjawan 2009 iaitu membangunkan modal insan yang berkualiti, maka dalam pembangunan pendidikan tidak harus ada diskriminasi antara IPTA dan IPTS kerana graduan-graduan IPTA dan IPTS inilah yang melahirkan modal insan yang berkualiti kelak.

Pada sesi pembentangan Belanjawan 2009, kerajaan PM Abdullah jelas menunjukkan kedangkalan yang gemilang, cemerlang, dan terbilang. Kedangakalan gemilang, cemerlang, dan terbilang ini adalah merujuk kepada tindakan kerajaan PM Abdullah menaikkan harga rokok bukannya mengharamkan rokok sekali gus. PM Abdullah percaya bahawa akibat merokok adalah punca berlakunya gejala sosial terutamanya dikalangan remaja. Maka dengan menaikkan harga rokok, kerajaan dapat membendung gejala sosial dikalangan remaja dan pelajar, disamping meningkatkan amalan gaya hidup sihat dikalangan rakyat.

Pada sesi pembentangan Belanjawan 2009, duti eksais spesifik ke atas rokok dinaikkan sebanyak RM 0.03 sen dan harga baru sebatang rokok selepas kenaikan ialah RM 0.18 sen. Manakala cukai yang dikenakan oleh kerajaan terhadap 20 batang rokok ialah RM 0.60 sen. Kenaikan harga rokok pada paras tertinggi sudah pasti menggerunkan penghisap rokok tegar dan sekali gus membuang tabiat merokok dikalangan rakyat. Namun adalah lebih gemilang, cemerlang, dan terbilang sekirnya kerajaan PM Abdullah menggubal satu akta pengharaman penghasilan rokok dalam apa jua bentuk dan keadaan disamping penjualan rokok di Malaysia diharamkan serta merta. Menaikkan harga dan bukannya mengharamkan rokok adalah satu pembuatan keputusan yang dangkal. Apa yang jelas dengan kenaikan harga rokok ialah kerajaan dapat menjana pungutan cukai hasil jualan rokok di pasaran tempatan. Pastinya wang saku kerajaan Umno/BN akan bertambah sarat seandainya 50 % atau 60 % rakyat Malaysia membeli rokok secara purata per tahun.

Permasalahan sosial berlaku akibat faktor tolakan dan tarikan, namun rokok tidak boleh dikaitkan dengan gejala sosial. Merokok hanyalah satu tabiat yang dipraktik oleh setiap lapisan maysarakat tanpa mengira kelas dan kasta. Menteri kabinet zaman Tunku Abdul Rahman gemar mengamalkan tabiat merokok dan mereka selalunya tersenyum lebar apabila gambar mereka diambil wartawan sewaktu menghisap rokok atau pun cerutu. Malahan mereka tidak terjerumus kepada gejala sosial seperti rasuah atau penyalahgunaan kuasa. Menteri kabinet zaman sekarang yakni era PM Abdullah Ahmad Badawi, tabiat merokok tidak diamalkan tetapi sering disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR), dan sering didakwa menyalahgunakan kuasa. Agak mustahil rokok boleh menjerumuskan penghisapnya ke kancah sakit sosial. Seandainya PM Abdullah dapat membuktikan hubungkait gejala sosial dengan rokok secara hipotesis maka tentulah dia ialah seorang yang genius dan mencapai tingkat gemilang, cemerlang, dan terbilang.

Apa yang jelas, Belanjawan 2009 menunjukkan kedangkalan kerajaan PM Abdullah didalam menggubal dasar untuk kemaslahatan rakyat. Belanjawan 2009 yang dibentangkan tidak dibentang secara tuntas, kritis, dan analisis, seolah PM Abdullah muflis data, fakta, dan idea, dan tidak menunjukkan keintelektualan sebagai seorang pemimpin yang berteraskan Islam Hadhari. Pada masa yang sama, Belanjawan 2009 lebih menjurus kepada "hidup atau mati" Umno/BN sebagai parti politik dan sebagai kerajaan memerintah, jauh sekali daripada objektifnya iaitu menjamin kesejahteraan rakyat. Apa mungkin pada pembentangan Belanjawan Negara yang seterusnya (seandainya Abdullah Ahmad Badawi masih bergelar Perdana Menteri), PM Abdullah akan "memperkuda" objektif yang serupa?

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.