Skip to main content

Permulaan tamat Abdullah Ahmad Badawi

Apabila negara, rakyat, dan Umno/BN hilang percaya kepada kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi, bahtera negara, rakyat, dan Umno/BN seolah-olah tidak mempunyai “Commander in chief” pada asasnya walaupun pada sudut pandang de facto, Abdullah Ahmad Badawi masih lagi Perdana Menteri, Presiden Umno, dan Pengurusi Barisan Nasional (BN). Kini, apa yang jelas ialah Abdullah Ahmad Badawi hanyalah berperanan sebagai “pemimpin boneka” didalam kerajaan Umno/BN dan hanya menanti masa untuk diundurkan dari jawatan tertinggi kerajaan dan parti.

Sekiranya Abdullah Ahmad Badawi mencapai kejayaan didalam misi “peralihan kuasa” pada bulan Jun, 2010 nanti, Abdullah Ahmad Badawi merupakan satu-satunya diantara kelima-lima kalangan Perdana Menteri, Presiden Umno, dan Pengurusi BN mencatat sejarah yang gemilang, cemerlang, dan terbilang setelah berjaya menghakiskan kepercayaan negara, rakyat, dan Umno/BN terhadap dirinya selaku pemimpin tertinggi.

SeMalaysia secara asasnya masih kabur dengan latar belakang politik Abdullah Ahmad Badawi dan hanya sebahagian sahaja; yakni animal politics, pemerhati politik dan penulis politik- yang jelas dan arif akan latar belakang politik Abdullah Ahmad Badawi. Kemuncak kegagalan politiknya berlaku pada 30 April 1987 apabila dipecat sebagai Menteri Pertahanan oleh Perdana Menteri pada masa itu, (Tun) Dr. Mahathir ekoran krisis Team A dan Team B. Namun berjaya dipilih semula untuk menganggotai Kabinet (Tun) Dr. Mahathir (1991-1999) dengan menjawat jawatan Menteri Luar. Bermula dari tahun 1991, Abdullah Ahmad Badawi dapat menyusur akar dunia politik dan berjaya menjadi Presiden Umno, merangkap Pengurusi BN, dan merangkap orang Nombor 1 negara pada 31 Oktober 2003.

Setelah menduduki kerusi empuk kuasa pada 31 Oktober 2003, Abdullah Ahmad Badawi telah mula menonjolkan diri sebagai seorang pemimpin Malaysia pertama yang “kowtow before pressure applied” kepada pemimpin dari sebuah negara kecil yang berhati singa dan sentiasa berpura-pura terhadap rakan sekelilingnya. Seterusnya, Abdullah Ahmad Badawi berjaya merapuhkan kedaulatan negara melalui perlaksanaan koridor Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) atas nama kebijaksanaan ekonomi. Banyak pihak menganggap WPI hanya akan menguntungkan sebelah pihak sahaja yakni pelabur asing dari seluruh dunia termasuklah dari negara pulau yang dulunya dikenali dalam sejarah sebagai Temasek.

Abdullah Ahmad Badawi, tentunya berasa terhutang budi dengan mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir, kerana mengambilnya semula untuk diserapkan ke dalam Kabinet selepas pemecatannya pada tahun 1987. Jika bukan kerana jasa Tun Dr. Mahathir, akan kemungkinan Abdullah Ahmad Badawi tidak akan menjawat jawatan Nombor 1 negara, Presiden Umno, dan Pengurusi BN. Semasa peralihan kuasa Perdana Menteri yakni peralihan kuasa diantara (Tun) Dr. Mahathir dengan Abdullah Ahmad Badawi banyak pihak menganggap yang dia akan terus menyambung kecemerlangan era emas Tun Dr. Mahathir. Namun itu semua fiksyen belaka apabila dia ingin mengembalikan Malaysia kepada era “Buku Hijau,” dan mengilhamkan Malaysia perlu menjadi sebuah negara agrarian atas nama pembangunan.

Abdullah Ahmad Badawi juga telah mengubah landskap hubungnan luar Malaysia dengan negara-negara lain di dunia. Hubungan unilateral dan bilateral dieratkan dengan negara-negara yang dulunya “kurang mesra” dengan Malaysia seperti Amerika Syarikat, Australia, dan Singapura. Pada era pentadbiran (Tun) Dr. Mahathir, hubungan Malaysia dengan Amerika Syarikat dan Singapura umpamanya tidak berapa baik dan sentiasa renggang. Pemimpin tertinggi Amerika Syarikat umpamanya selalu sahaja hilang akal dan mati akal, dan selalu tewas di pencak putar belit antarabangsa dengan (Tun) Dr. Mahathir. Malah juga maklum akan “keras kepala dan kepala batu” Dr. Mahathir yang tidak akan pernah tunduk terhadap tekanan-tekanan yang dikenakan ke atasnya sama ada secara kasar atau secara seni. Manakala hubungan unilateral dan bilateral Malaysia dengan negara-negara Afrika, Arab, dan Islam makin dipudarkan kerana dilihat tidak mempunyai potensi ekonomik, tidak seperti negara “Burung helang botak spesis Amerika,” “Kangaroo,” dan “Singa laut” yang sentiasa gemilang, cemerlang, dan terbilang dalam semua lapangan yang memerlukan keprofesionalan dan kelicikan.

Sebagai Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi tentulah “yang amat arif” didalam menggubal dasar-dasar negara dan rakyat. Dasar-dasar yang digubal pastinya menguntungkan negara dan rakyat. Keteramat arifan Abdullah Ahmad Badawi menggubal dasar dan perlaksanaan negara diakui oleh banyak pihak terutamanya yang yakin dengan sifat “Mr Clean”nya. Didalam menggubal dasar dan mencatur strategi dan pendekatan, mana-mana pemimpin pastinya mempunyi “jurufikir” bagi mencanai idea dan ilham pembuatan keputusan. Sejak menjawat Timbalan Perdana Menteri, terdapat “cakap-cakap politik” mengatakan bahawa Abdullah Ahmad Badawi mempunyai seorang jurufikir.

Abdullah Ahmad Badawi dilihat sentiasa erat dan rapat dengan sang jurufikir apabila ketandusan akal, disamping tercari-cari ilham dan idea yang bernas. Dan setiap kali sebelum membuat keputusan yang berkaitan dengan hal-hal negara dan rakyat, Abdullah Ahmad Badawi sering didakwa menerima bulat-bulat pandangan, ilham, dan idea. Maka tidak hairanlah mengapa cakap-cakap poitik sering mengatakan Abdullah Ahmad Badawi seorang yang “kurang pandai” didalam seni mencatur pembuatan keputusan. Namun sejak menjawat jawatan Perdana Menteri untuk penggal yang kedua, Abdullah Ahmad Badawi dilihat kurang bijak dan dangkal didalam membuat keputusan yang berkaitan dengan kepentingan negara dan rakyat. Adakah jurufikirnya juga seorang yang “kurang pandai” sepertinya? Tetapi agak mustahil jika jurufikirnya itu kurang pandai kerana jurufikirnya itu bukan calang-calang orangnya, keluaran Oxford!

Sejak Umno/BN dibawah jari telunjuk Abdullah Ahmad Badawi, Umno/BN boleh disamakan seperti telur retak dihujung tanduk Hadhari yang menanti jam,minit, dan saat waktu jatuh bergolek hancur berkecai dan menjadi longgokan habuk sejarah politik tanah air. Sekiranya ini berlaku dan terjadi tepat pada 16 September 2008, jam 00.00 malam, Abdullah Ahmad Badawi pastinya berdosa kepada pejuang dan pemimpin Umno/BN yang terdahulu. Bukan sahaja Abdullah Ahmad Badawi berdosa kepada pejuang dan pemimpin Umno/BN terdahulu tetapi juga berdosa kepada rakyat marhaen di ceruk-ceruk kota dan desa yang setia memilih dan memangkah Umno/BN setiap kali musim Pilihan Raya sama ada Pilihan Raya Umum (PRU) mahupun Pilihan Kecil Parlimen.

Abdullah Ahmad Badawi pernah mengatakan “berdosalah saya” sekiranya dia gagal membela nasib rakyat marhaen melalui perjuangan politiknya. Namun sekiranya dan seandainya peristiwa 16 September 2008 benar-benar terjadi, adakah Abdullah Ahmad Badawi akan membuat pengakuan “berdosalah saya” secara siaran langsung kepada seluruh rakyat marhaen?

Populariti Abdullah Ahmad Badawi didalam Umno/BN semakin merosot malah dia sering mendapat surat layang dan usul undi tidak percaya daripada pemimpin-pemimpin Umno/BN walaupun selalu mendengungkan mantera “Bekerjalah bersama-sama saya tetapi bukan untuk saya.” Pada masa yang sama, wazir-wazir kanan Umno juga mendesak supaya Abdullah Ahmad Badawi berundur segara daripada jawatan tertinggi parti secara terhormat bagi mengelakkan keparahan Umno/BN bertambah kronik dan kritikal. Sekiranya Abdullah Ahmad Badawi tidak berundur segera dari jawatan tertinggi parti, Umno/BN akan menuju ke arah kehancuran.

Bibit-bibit kehancuran sememangnya sudah mulai nampak selepas Umno/BN mencapai kejayaan gemilang, cemerlang, dan terbilang pada PRU-11 lalu. Walaupun Abdullah Ahmad Badawi telah bersetuju kepada pelan peralihan kuasa pada pertengahan tahun 2010, dia masih tidak dapat meredakan desakan pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli Umno/BN yang memintanya supaya berundur segera. Perjuangan politik Abdullah Ahmad Badawi kini boleh disifatkan sebagai “Beginning of the end” apabila Umno/BN gagal memahami aspirasi perjuangan politik yang ingin dibawanya didalam Umno/BN.

Pengunduran Abdullah Ahmad Badawi daripada tampuk pimpinan tertinggi negara sama ada esok, lusa, mahupun pada bulan Jun 2010 nanti tidak akan membawa apa-apa makna jika penggantinya berlagu sama dan bernada serupa. Ini kerana negara memerlukan pemimpin yang benar-benar boleh memimpin negara ke arah gemilang, cemerlang, dan terbilang disamping mencapai visi dan misi nasional yang boleh dijadikan satu warisan satu matlamat untuk kepimpinan negara yang seterusnya.

Memimpin negara tidak boleh disamakan dengan memimpin parti politik walaupun parti politik yang dipimpin itu sebuah parti yang terbesar dan kerap mencapai tingkat gemilang, cemerlang, dan terbilang. Sekiranya pemimpin tertinggi negara memimpin negara sama seperti memimpin parti politik, dia tidak lain tidak bukan hanya meperbudak-budakan negara disamping hilang rasa hormat kepada negara.

Pengunduran Abdullah Ahmad Badawi daripada jawatan teritnggi parti sama ada esok, lusa, mahupun pada pertengahan tahun 2010 nanti tidak akan membawa apa-apa makna kepada Umno/BN lagi kerana Umno/BN sudah kelihatan uzur dan nazak. Kemasukan semula mantan Presiden Umno Tun Dr. Mahathir ke dalam Umno mungkin boleh mem”post mortem”kan semula Umno/BN dengan ramuan ajaib tetapi itu agak sukar. Sekiranya Tun Dr. Mahathir gagal berbuat demikian selepas kemasukannya semula ke dalam Umno kerana ketidakupayaan atau digagalkan oleh juak-juak opportunist yang “berkudis” didalam Umno/BN, maka Umno/BN tidak lain dan tidak bukan hanyalah bangkai bernyawa yang sudah tidak menjadi releven lagi kepada rakyat dan negara.

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.