Skip to main content

ISA untuk siapa?

Tindakan terbaru kerajaan melakukan tangkapan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap kes bukan membabitkan anasir komunis dan pengganas adalah tindakan yang sama sekali tidak wajar. Jika kerajaan terus melakukan tangkapan mengikut akta berkenaan bererti kerajaan menyamakan yang didakwa sebagai pesalah sebagai komunis dan pengganas sedangkan yang didakwa sebagai pesalah hanya bersuara dan memberikan pendapat sebebas-bebasnya selaras dengan “Aku jijik dengan pendapatmu itu, tetapi aku akan berjuang hingga ke ajalku untuk hakmu mengeluarkannya”- Voltaire


Namun sebagai menyambung nyawa politik kerajaan yang memerintah untuk hari ini, esok, dan seterusnya, ISA boleh dijadikan apparatus yang amat berguna untuk mengganyang sesiapa sahaja yang ingin mencabar kerajaan yang memerintah walaupun kerajaan yang memerintah jelas “Pak Pandir.” Kerajaan yang memerintah kemungkinan terguris hati dan perasaanya apabila kebebasan bersuara dan memberikan pendapat yang ingin direalisasikan oleh blogger dan pengendali laman web Malaysia Today Raja Petra Raja Kamaruddin tercapai. Sekiranya kebebasan bersuara dan memberikan pendapat di Malaysia tercapai sepenuhnya, kerajaan yang memerintah tidak boleh menyalahkan tuan punya milik “suara” dan “pendapat” kerana sistem pelajaran yang diadaptasikan didalam pelajaran nasional telah menyebabkan pemikiran sebilangan rakyat telah menuju ke arah kebebasan bersuara dan memberikan pendapat semutlak-mutlaknya.
 
Kerajaan yang memerintah harus dan perlu akur bahawa rakyat bukan lagi seperti rakyat era tahun 50-an dan 60-an. Rakyat kini sudah tahu dan faham akan 2 + 2 = 4 walaupun cerdik pandai kerajaan yang memerintah menerangkan 2 + 2 = 4 1/2. Rakyat yang cerdik, pintar, dan yang tidak mudah diindoktrinasi pemikirannya dengan propaganda-propaganda dangkal kerajaan yang memerintah tetap akan memastikan 2 + 2 = 4 walaupun kerajaan yang memerintah gemilang, cemerlang, dan terbilang membuktikan 2 + 2 = 4 1/2 berdasarkan suara majoriti melalui percaturan demokrasi. Sekiranya kerajaan yang memerintah ingin menerungku minda rakyat yang cerdik, pandai, dan yang tidak mudah diindoktrinasi mindanya, maka perbuatan kerajaan yang memerintah hanyalah sia-sia dan menanti masa untuk menjadi longgokan habuk sejarah.
 
ISA seterusnya dilihat mampu mengekalkan kuasa kerajaan yang memerintah. PM Abdullah umpamanya walaupun ingin menjadi Perdana Menteri sepenggal, tetapi dia tetap ingin memastikan Umno/BN terus menjadi kerajaan yang memerintah walaupun Umno/BN kini berada dalam keadaan tenat kerana ditunggangi dan diperkudai oleh badut-badut kuasa yang opportunist. Secara persepsi, ISA juga mungkin boleh merealisasikan impian Ahli Parlimen Rembau merangkap Naib Ketua Pemuda Umno merangkap menantu Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri Malaysia sebelum umurnya mencecah angka 40. Bagaimana sekiranya impian Ahli parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menjadi kenyataan seperti ibarat “Now everyone can fly”? ISA pastinya mendapat tempat teritnggi selepas undang-undang dasar negara.
 
ISA sebenarnya untuk siapa? Adakah ISA benar-benar untuk memastikan kestabilan dan keamanan negara? Atau adakah ISA sebenarnya untuk kepentingan tersembunyi golongan animal politics kerajaan yang memerintah? Rakyat telah mulai menolak ISA melalui demokrasi bukan kerana Malaysia tidak lagi diancam dengan komunis dan pengganas tetapi kerana kerajaan yang memerintah melaksanakan undang-undang ISA secara melulu dan membabi-buta tanpa usul periksa. Penahanan blogger dan pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin baru-baru ini umpamanya membuktikan bahawa kerajaan yang memerintah membuat tindakan yang sepatutnya tidak dilakukan kerana ISA hanya untuk komunis dan pengganas. Sekiranya Raja Petra jelas seorang komunis atau pengganas dan kerajaan yang memerintah mempunyai bukti prima facie maka ISA perlu digunakan keatasnya. Namun Raja Petra Raja Kamaruddin hanyalah seorang blogger dan pengendali laman web Malaysia Today. Bagaimana dengan aktor-aktor kerajaan yang memerintah (Umno/BN) yang “berfahaman” komunis dan bertabiat pengganas, adakah mereka akan dikenakan ISA?
 
Dari segi keselamatan nasional, ISA satu-satunya apparatus yang boleh digunakan sekiranya undang-undang konvensional yang sedia ada gagal berfungsi sama ada disebabkan ketidaklengkapan undang-undang itu sendiri atau wujudnya “Tangan-tangan ghaib” daripada kerajaan yang memerintah didalam mencaturi undang-undang. ISA perlu digunakan untuk membanteras perkara-perkara yang bersifat komunis dan pengganas sama ada dalam bentuk perbuatan atau pemikiran. Namun menyabitkan seseorang individu dibawah ISA perlu dilaksanakan secara profesional dan bukannya emosional.
 
Golongan animal politics pasti beranggapan yang rakyat marhaen tidak tahu menahu atau "buta" apa itu politik. Tetapi golongan aminal politics perlu faham dan ingat bahawa Malaysia sudah merdeka dan tepat 51 tahun usia kemerdekaannya pada 31 Ogos 2008 lalu. Maka rakyat Malaysia sama ada Melayu, Cina, India, dan lain-lain tidak lagi berikiran seperti rakyat Malaysia yang berada pada era YTM Tunku Abdul Rahman atau Tun Adul Razak. Rakyat Malaysia sudah mulai emosional dan mulai memberontak apabila dan sekiranya animal politics melakukan salah laku politik atau salah laku etika dengan bersenjatakan ISA. Rakyat pastinya akan menyokong perlaksanaan ISA sekiranya ianya benar-benar dilaksanakan untuk tujuan keselamatan nasional disamping dikukuhkan dengan bukti yang jitu dan telus walaupun tidak secara prima facie. Namun rakyat sudah pasti akan mengejek atau mencemuh kerajaan yang memerintah sekiranya kerajaan menggunakan ISA untuk tujuan untung nasib animal politics parti yang memerintah yakni Umno/BN.
 
Sekiranya ISA sudah menjadi apparatus golongan animal politics parti yang memerintah maka ISA sudah tidak releven lagi dilaksanakan dan perlu dimansuhkan serta merta walaupun Dato' Sri Hishamuddin dan Dato' Mukhriz Mahathir masih "sayangkan" ISA. Ini kerana ISA sudah jauh menyeleweng daripada matlamat perlaksanaannya dan bukan lagi untuk tujuan keselamatan nasional dan untuk kepentingan rakyat.

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.