Skip to main content

Umno/BN-PKR-PAS-DAP: Perlu duduk semeja

L’etat C’est moi!” Umno/BN? Pakatan Rakyat (PKR-PAS-DAP)? Institusi? Rakyat? Atau kesemuanya sekali? Usia negara kita masih lagi setahun jagung. Tetapi lebih baik jika dibandingkan dengan negara lain yang usianya baharu hingusan. Tua dan mudanya usia sesebuah negara bukanlah jaminan mutlak untuk mensahkan sesebuah negara itu sama ada memiliki barisan politikus tulen atau politikus badut, atau politikus menikus, atau ketiga-tiganya sekali.


Malaysia lahir pada 16 September 1963 melalui kebersekutuan Tanah Melayu – yang merdeka pada 1957 – dengan Sabah dan Sarawak, berteraskan gagasan Persekutuan Malaysia. Oleh yang demikian, Malaysia sebenarnya bukan merdeka pada 1957, kerana pada logikanya, Malaysia wujud sebagai sebuah negara hanya pada 1963. Usia negara Malaysia tahun ini (2009) bakal menginjak angka usia 46 tahun. Pada umumnya, seseorang yang berusia 46 tahun telah dianggap matang dalam segala perkara asas. Tetapi, tidak bagi negara Malaysia. Kematangan asasnya masih pincang dan rapuh. Ia memerlukan didikan dan ajaran baharu yang bersifat universal sebagai petunjuk untuk menuju ke abad yang seterusnya.

Malaysia telah memilih untuk bernegara secara demokrasi berparlimen. Di mana ia ditadbir atau diperintah oleh kerajaan/politik. Ciptaan manusia tidaklah sesempurna mana walaupun ia mengimpikan utopia. Begitu juga halnya dengan kerajaan/politik. Oleh kerana ketidaksempurnaan itu, kerajaan/politik bersilih ganti – kerajaan menjadi pembangkang, pembangkng menjadi kerajaan – akibat kepincangan kematangan asas – politik, ekonomi, dan sosial – tetapi tidak bagi negara. Namun perlu diingati bahawa negara juga boleh berganti silih. Tiada yang mustahil.

Di era Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak, kematangan asas Malaysia baharu terbentuk tetapi menunjukkan kekukuhan. Namun, kekukuhan kematangan asas Malaysia mulai longgar semasa era Tun Hussein Onn dan Tun Dr. Mahathir. Di era Tun Abdullah Ahmad Badawi, kekukuhan kematangan asas Malaysia mengalami hakisan kesan dan akibat kepincangan kematangan asasnya, politik. Di samping hilang tidak bergantinya politikus tulen dan ahli.

Malaysia pada hari ini, politikusnya sudah hilang ketulenan. Manakala yang ahli hanya boleh dihitung dengan jari. Kutelenan dan keahlian politikus ialah kematangan asas yang negara Malaysia perlu miliki. Jika tidak ataupun terlewat, negara Malaysia bakal mencipta semula sejarah kejatuhan kerajaan Rom yang cemerlang, gemilang, dan terbilang, sebagaimana yang diwacanakan oleh Edward Gibbon di dalam wacananya yang berjudul The Decline and Fall of the Roman Empire.

Demi negara Malaysia, sudah tiba masanya Umno/BN dan PKR-PAS-DAP duduk semeja untuk mencari titik kesatuan politikal. Krisis politik seperti yang berlaku di Perak tidak boleh diselesaikan oleh bukan orang politik apatah lagi institusi. Ini adalah kerana, ia dicetuskan oleh orang politik sendiri. Seandainya krisis politik yang berlaku di Perak ini menemui jalan buntu dalam mencari penyelesaian, maka ia kemungkinan boleh menjadi kanser pencetus krisis politik yang seterusnya. Malah juga bakal mampu melumpuhkan politik negara Malaysia secara keseluruhannya di masa akan datang.

Umno/BN-PKR-PAS-DAP, perlu membuang ego politik masing-masing apabila bersidang di meja bundar atau semasa duduk semeja. Ego yang menggunung atau melangit yang ada pada kedua-dua pihak tidak akan membantu kedua-duanya mencari jalan penyelesaian secara konsensus. Malah akan menambah, atau mencambah, atau mencetuskan krisis atau konflik politik baharu. Krisis politik yang berterusan mungkin menguntungkan golongan politikus – sama ada golongan tulen/ahli, badut, atau penikus – tetapi merugikan negara Malaysia dan rakyat terutamanya. Akhirnya, negara Malaysia dan rakyat hilang percaya kepada politikus-politikus Umno/BN-PKR-PAS-DAP.

Kepada Umno/BN-PKR-PAS-DAP, cuba imaginasikan sejenak, apakah yang akan bakal berlaku seandainya penulis mengwujudkan satu gerakan subversif atau gerakan senyap untuk “menyembelih” politikus-politikus Umno/BN-PKR-PAS-DAP yang menikus dan membadut? Pada pandangan penulis, golongan politikus inilah yang mencetus, menambah, dan mencambahkan krisis dan konflik politik di negara Malaysia. Seandainya golongan politikus ini sudah “disembelih,” atau tanpa golongan politikus ini, negara Malaysia pastinya aman, makmur, dan sejahtera selama-lamanya.

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.