Skip to main content

Mampukah Tun Dr. Mahathir?

Mampukah Tun Dr. Mahathir merawat dan membentuk semula Umno di saat Umno yang terhakis kehegomoniannya selepas Pilihan Raya Umum-12 (PRU-12) berlangsung? Ini merupakan satu persoalan yang akan membingungkan para politikus sama ada politkus parti kerajaan yang memerintah (Umno/BN) atau Pakatan Rakyat (PKR-PAS-DAP). Apatah lagi rakyat marhaen yang tidak tahu apa itu politik.


Tun Dr. Mahathir yang menulis buku The Malay Dilemma terkenal dengan sikap “keras kepalanya” di dalam melakukan sesuatu perkara yang bersifat politikal. Mengapakah Tun Dr. Mahathir tidak mencontohi Tun Abdullah Ahmad Badawi yang terus berehat seusai penyerahan kuasa nombor satu politik kepada Dato’ Seri Najib Razak? Adakah kerana Tun Dr. Mahathir akan terus berjuang kerana perjuangannya belum selesai? Atau kerana “Melayu muda lupa.”

Umno sekarang ini bukan lagi Umno zaman Dato’ Onn Ja’afar atau Tunku Abdul Rahman. Bukan juga zaman Tun Abdul Razak atau Tun Hussien Onn. Umno sekarang ini di bawah kepimpinan Dato’ Seri Najib Razak, anak kepada Allahyarham Tun Abdul Razak, Presiden Umno yang ketiga. Dato’ Seri Najib mengambil alih teraju kepimpinan Umno daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi, di mana pada masa yang sama Umno diambang kejatuhan. Umno sebagai parti tonggak utama parti kerajaan yang memerintah telah hilang 2/3 majoriti dewan rakyat seusai PRU-12, 2008.

Umno di bawah kepimpinan Dato’ Seri Najib Razak mengalami tiga dalam satu penyakit komplikasi iaitu:

1) Alif, Mim, Nun, tendang Wau = Sarkas

2) Golongan Lemah Fikiran (Golf), dan

3) Menikus, membadut, dan lain-lain.

Ketiga-tiga komplikasi penyakit Umno ini amat sukar diubati dan penawar untuk meredakan komplikasi penyakit ini memerlukan rumusan yang ajaib. Post mortem yang dilakukan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi mengalami kegagalan walaupun melakukannya secara regu dengan Dato’ Seri Najib di samping penasihat amatur, Khairy Jamluddin, “keris berjulung” merangkap “Mat Lela Gila.” Malah Majlis Tertinggi Umno (MT Umno) dan Lembaga Disiplin Parti juga mengalami nasib yang sama. Apakah Tun Dr. Mahathir juga bakal menerima nasib yang sama di dalam mempost-mortemkan Umno?
Tun Mahathir telah merumus formula khusus vaksin ajaib “influenza ekonomi” sewaktu Asia berhadapan dengan krisis kewangan 1997/98. Kejayaan Tun Dr. Mahathir menyebabkan pakar-pakar ekonomi handalan dunia terpaksa membisu seribu satu kebingungan. Kemungkinan juga Ketua Umum Parti Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang terkenal dengan ilmu ekonomi itu juga turut tergamam seolah tidak percaya. Namun merawat influenza ekonomi tidaklah serupa dengan merawat parti politik yang yang diserang penyakit komplikasi tiga dalam satu.

Penyakit yang diidapi oleh Umno bukanlah penyakit yang datang seperti “Kutukan Dari Langit.” Bukan juga penyakit yang disebabkan oleh sumpahan shaman yang didalangi oleh Parti Pembangkang. Tetapi penyakit yang diidapi Umno bermula daripada dalaman. Bermula dengan darah yang membeku kemudian bertukar menjadi kanser dan akhirnya melumpuhkan seluruh organ-organ penting (Pemuda, Wanita, Putera, dan Puteri) Umno. Pada masa yang sama, “otak Umno” (pemimpin-pemimpin tertinggi) juga sudah menunjukkan kegagalan berfungsi secara berkesan ibarat otak pesakit dementia.

Rawatan yang dianggap ampuh buat Umno masa ini ialah “suntikan maut.” Namun Tun Dr. Mahathir yang berlatar belakangkan doktor perubatan pasti tidak jemuh mencuba dalam mencari penawar selain “suntikan maut.” Ini kerana kecintaan Tun Dr Mahathir terhadap Umno adalah kecintaan yang luar biasa seolah dibius cinta politik. Pemimpin-pemimpin Umno lainnya yang ulung lagi tersohor pun tidak akan dapat menyaingi kecintaan Tun Dr. Mahathir terhadap Umno.

Pada kemungkinan Tun Dr. Mahathir boleh merawat Umno dengan menjadikan Dato’ Seri Najib sebagai “locum.” Ini kerana, berdasarkan fakta dan bukannya fitnah, Dato’ Seri Najib merupakan seorang yang senantiasa taat setia kepada pemimpin sewaktu berada di bawah kepimpinan pemimpin tertinggi Umno yakni Presiden Umno. Umpamanya, walaupun bekas Presiden Umno keenam seorang pemimpin yang lemah, Dato’ Seri Najib tetap menumpuhkan taat setia yang tidak berbelah bagi kepadanya. Adakah kerana nasib politik atau kerana taat setia kepada pemimpin semata?

Namun, kepercayaan penuh harus diberikan kepada Tun Dr. Mahathir di dalam misi dan visinya merawat dan membentuk semula Umno, dan mengembalikan Umno sebagaimana Umno yang berada di bawah kepimpinannya selama 22 tahun dahulu. Usaha Tun Dr. Mahathir sekiranya diiringi dengan sokongan, dorongan, dan usaha ikhlas seluruh tiga juta ahli Umno dan pemimpin-pemimpin Umno, Umno pasti kembali ke zaman keemasannya dan terus memerintah seribu tahun lagi.

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.