Skip to main content

UMNO Taubat?

Ketika merasmikan perhimpunan Agung UMNO 2009 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak menyatakan parti yang diterajuinya sejak April, telah sedar dan insaf di hadapan 2,589 orang perwakilan. Apa yang diluahkan Datuk Seri Najib ini barangkali sebagai petanda bahawa UMNO akan berubah. Moga ia tidak terus kekal sebagai petanda.

Rakyat masih sayangkan UMNO dan mereka cuma mahu parti ini berubah.”

“Kita sedar, kita insaf, kita dengar…kita akan berubah
.”

- Datuk Seri Najib Razak, Presiden Umno


Selepas berlaku peralihan kuasa daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib sememangnya akan berhadapan dengan cabaran, rintangan, dan dugaan politik sebagaimana yang dihadapi oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi. Kegagalan Tun Abdullah Ahmad Badawi berhadapan dengan cabaran, rintangan, dan dugaan politik menyebabkannya terpaksa berundur daripada jawatan dengan rela, suka dan duka.

UMNO sejak era Tun Hussein Onn sehinggalah ke era Tun Abdullah Ahmad Badawi sememangnya telah mengalami hakisan kepercayaan dari rakyat terutamanya rakyat marhaen pribumi. Pada masa yang sama, ahli dan pemimpin UMNO sama ada dulu atau sekarang sedang bergelut dengan “unta gila” (merujuk kepada ahli dan pemimpin UMNO yang khianat daripada perjuangan parti) yang gian dan kecanduan dengan tingkah laku menikus dan membadut tetapi masi berteleku di dalam UMNO kerana akuan sokongan para apparathchik yang kemungkinan “myopia” atau taat setia membuta tuli, atau ada agenda disebalik tabir.

Dengan bersandar pada kata-kata Seniman Agung, Tan Sri Dr. P. Ramlee, Allahyarham, alif nun tendang wau, sarkas, UMNO sememangnya sudah menjadi gelanggang sarkas sehingga mengundang rasa muak dikalangan rakyat dan seluruh pengundi dan “pencinta” UMNO. “Sarkas” yang dimaksudkan oleh Seniman Agung itu bukanlah membawa maksud “circus” sama sekali tetapi membawa maksud UMNO sebagai parti politik Melayu terunggul sudah menyamai gelanggang sarkas akibat pincangnya nilai “wau” atau organisasi di dalam UMNO. Kepincangan organisasi ini memberi implikasi yang besar terhadap keutuhan kebersatuan. Bersatu hanya boleh dicapai melalui organisasi yang rapi dan tersusun atur di samping nilai-nilai etika dan integriti subur di dalamnya.

UMNO bertambah parah apabila pemimpin dan ahlinya didapati terlibat dengan amalan pecah amanah dan rasuah. Teramat janggal kedengaran apabila salah seorang pemimpin UMNO tersohor lagi perkasa tanpa segan silu dan tidak tahu malu menyatakan bahawa rasuah politik bukannya rasuah. Apa yang akan bakal terjadi kepada UMNO seandainya kesemua pemimpin dan ahlinya beranggapan rasuah politik bukannya rasuah? Apa yang bakal terjadi kepada UMNO seandainya kesemua pemimpin dan ahlinya terlibat dengan rasuah politik? Adakah pemimpin dan ahli UMNO yang terlibat dengan rasuah politik kebal hukum dan tidak boleh disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya kerana rasuah politik bukan rasuah?

Perlu diingat bahawa ralat itu normal ia akan senantiasa berlaku walaupun kecanggihan teknologi maklumat dan komunikasi manusia mencapai tahap ketamadunan yang mengujakan. Untuk membuktikan “kita sedar, kita insaf, kita dengar…kita akan berubah” adalah terlalu awal. Pada kebarangkalian ia tidak akan terbukti walaupun Datuk Seri Najib Razak kekal sebagai presiden parti seumur hidup.

UMNO yang asalnya lahir daripada bibit-bibit perjuangan rakyat marhaen pribumi desa kini bersifat elit kesan daripada sifat dan fahaman elitis pemimpin dan ahlinya. Elitis, sama sekali bertentangan dengan sifat sosialis ( dalam kerangka sosial bukannya fahaman socialist). Maka tidak menghairankan jika kejelasan rakyat marhaen pribumi tanpa mengira sama ada penduduk bandar atau penduduk desa sudah kurang mendekati pemimpin dan ahli UMNO apatah lagi mengundi UMNO dan sekutunya dalam komponen Barisan Nasional (BN).

Pemimpin dan ahli UMNO sememangnya layak ditembak sebagai komuniti elitis. Ini dapat dibuktikan secara jelas secara fakta dan bukannya secara fitnah atau pun tohmahan membabi-buta yang berjela-jela. Pandang dan lihatlah perilaku dan tingkah laku mewah dan “besar” pemimpin-pemimpin UMNO yang turun padang di samping berdamping dengan rakyat walaupun hanya sekadar melawat longkang yang tersumbat dan merasmikan tandas yang serba canggih di ibu kota. Bukankah ini sifat dan fahaman elitis? Pemimpin borek ahli rintik, bagaimana? “Kebesaran” pemimpin dan ahli UMNO ini adakalanya dapat menandingi kebesaran Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong (YDPA).

Untuk membuktikan “kita sedar, kita insaf, kita dengar…kita akan berubah,” perlu ada UMNO di dalam UMNO. UMNO di dalam UMNO ini memikul amanah untuk mengembalikan UMNO ke landasannya yang sebenar (UMNO sudah jauh tersasar ke longkang) sebagaimana di awal penubuhannya. Pada masa yang sama, UMNO di dalam UMNO ini diberi tanggugjawab dan tauliah untuk “menyembelih” mana-mana pemimpin dan ahli UMNO yang belot terhadap perjuangan parti walaupun sang pembelot itu merupakan Presiden UMNO.

Dengan “menyembelih” pemimpin dan ahli UMNO yang belot, UMNO secara perlahan dan kelamaan akan dapat membersih “etnik” penikus dan pembadut. Tiada gunanya kepercayaan pemimpin dan ahli UMNO terhadap UMNO tinggi melangit sekiranya UMNO sendiri muflis sokongan padu rakyat. Pemimpin dan ahli UMNO walaupun memiliki kuasa institusi tetapi masih belum mampu mengatasi “suara rakyat suara keramat.” Datuk Seri Najib Sendiri sudah akur kepada “suara rakyat suara keramat” ekoran tulah rakyat terhadap UMNO/BN pada pilihan raya umum Mac 2008.

Untuk membuktikan “kita sedar, kita insaf, kita dengar…kita akan berubah,” pemimpin dan ahli UMNO terlebih dahulu perlu menurunkan sedikit ego yang mengelembung dan tinggi melangit (lebih-lebih lagi semasa pilihanraya) itu sehingga mencecah ke bumi. Pemimpin dan ahli UMNO perlu malu dengan padi kerana ia walaupun tidak dianugerahkan akal dan kebolehan berfikir oleh Allah Yang Maha Besar dan Yang Maha Mengetahui, tetapi ia tetap tunduk ke bumi walaupun penuh berisi. Alangkah indahnya perumpamaan Melayu “ikut resam padi semakin tunduk semakin berisi.” Alangkah cemerlang, gemilang, terbilang, dan perkasanya seandainya pemimpin dan ahli UMNO meneladani resam padi yang semakin tunduk semakin berisi. Tentulah rakyat akan sentiasa bersama dan menyayangi UMNO walaupun UMNO diharamkan oleh mahkamah!

UMNO/BN walaupun gagal mempertahankan majoriti 2/3 di Parlimen pada pilihan raya umum Mac 2008, sekurang-kurangnya UMNO masih lagi disayangi oleh rakyat dan rakyat masih lagi memberi mandat kepada UMNO/BN untuk memerintah. Pada masa yang sama, “kita sedar, kita insaf, kita dengar…kita akan berubah” haruslah bukan bertujuan untuk menebus kehampaan (selepas UMNO/BN gagal mempertahankan majoriti 2/3 di Parlimen pada pilihan raya umum Mac 2008) semata tetapi perlu menjurus kepada maksud ikrar “kita sedar, kita insaf, kita dengar…kita akan berubah” secara tersurat dan tersirat. Sekiranya menjurus kepada penebusan kehampaan semata maka UMNO bakal menjadi debu sejarah politik di dalam tong sampah sejarah tanah air.

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.