Skip to main content

Apabila ekonomi negara gemilang

Ekonomi negara dijangka gemilang. Dan ia adalah sesuatu yang membanggakan. Lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu ketika ini. Bakal pasti umum berpendapat dan berpandangan bahawa ia adalah hasil penat lelah kerajaan yang memerintah membangunkan negara. Bakal pasti pakar-pakar ekonomi yang bertuan dengan kerajaan yang memerintah beragenda; ia adalah hasil kebijaksanaan ekonomi kerajaan yang memerintah. 


Ekonomi negara dijangka gemilang. Boleh jadi jangkaan itu pada kebarangkaliannya tepat, bersandarkan angkubah angka-angka kerajaan yang memerintah. Katakanlah ekonomi negara gemilang, gemilang yang bagaimana? Katakanlah ekonomi negara gemilang, apakah ia gemilang dari segi fakta dan angka? Katakanlah ekonomi negara gemilang, apakah ia gemilang secara teori atas kertas? Ekonomi negara gemilang, apakah “ekonomi” rakyat juga gemilang?

Secara teori, apabila ekonomi negara gemilang, “ekonomi” rakyat juga gemilang. Sudah tentu isi rumah miskin tegar bukan sahaja “keluar” dari kategori miskin tegar tetapi “keluar” dari kategori miskin yang sebenarnya – kemiskinan tegar, kemiskinan bandar, atau istilah kemiskinan lainnya. Seterusnya, sudah tentu isi rumah berpendapatan rendah tidak lagi berpendapatan rendah tetapi berpendapatan tinggi berdasarkan penghasilan produktiviti. Dan juga sudah tentu golongan orang kurang / kelainan upaya (OKU), anak yatim piatu dan sang fakir miskin tidak lagi menadah tangan meminta belas kasihan di kaki lima.

Seterusnya, apabila ekonomi negara gemilang sudah tentu kerajaan yang memerintah berupaya menurunkan harga petrol yang dinaikkan pada pertengahan 2010 lalu, di samping memberi jaminan tiada kenaikan setiap enam bulan sehingga 2014. Sudah tentu harga gula, harga tepung dan harga minyak masak diturunkan semula, di samping member jaminan tiada kenaikan setiap enam bulan sehingga 2014. Manakala subsidi bagi kesihatan dan pendidikan sudah tentu tidak akan dikurangkan secara berperingkat oleh kerajaan yang memerintah.

Pada kerajaan yang memerintah, pada rakyat, terutamanya isi rumah berpendapatan rendah dan isi rumah miskin bandar, kenaikan kos sara hidup adalah sesuatu yang membebankan. Pada kebarangkalian ia tidak dapat dielakkan. Namun apabila ekonomi negara gemilang sudah tentu kerajaan yang memerintah berupaya mengekang kenaikan kos sara hidup. Hanya dengan menurunkan cukai perniagaan dan cukai pendapatan, secara teknikalnya, kerajaan yang memerintah berupaya mengurangkan tekanan kenaikan kos sara hidup.

Dalam keadaan ekonomi negara yang gemilang, sudah tentu kerajaan yang memerintah berupaya untuk tidak mengurangkan bantuan kewangan yang disediakan untuk rakyat yang memerlukan. Ini adalah untuk memastikan barang-barang dan perkhidmatan tertentu dijual pada harga berpatutan, dan juga bagi membantu rakyat, terutamanya yang memerlukan, untuk membeli barangan dan perkhidmatan penting untuk kehidupan seharian.

Ekonomi negara gemilang seandainya disusuli dengan “ekonomi” rakyat juga gemilang, maka sudah tentu negara akan mencapai kemakmuran bukan sahaja ekonomi tetapi kemakmuran sosial dan kemakmuran politik. Ini kerana kerajaan yang memerintah telah mendahulukan rakyat. Sudah tentu rakyat terutamanya isi rumah berpendapatan rendah, isi rumah miskin, isi rumah miskin tegar, anak yatim piatu dan sang fakir miskin akan menyanjung kerajaan yang memerintah sampai bila-bila, lebih-lebih lagi dalam pilihan raya.

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.