Skip to main content

Sabah, masih lagi termiskin!

Satu Ironi?

Menurut The World Bank’s 2010 Malaysia Economic Monitor (MEM), Sabah masih lagi termiskin, atau dalam erti kata lain yang setara maksudnya – Sabah mempunyai kadar kemiskinan yang tinggi di Malaysia. Penobatan Sabah sebagai Termiskin 2010 adalah tidak memeranjatkan. Malaysia Kadar Kemiskinan 2004 – Sabah mengungguli carta kadar kemiskinan yang tinggi, 23.0 peratus.

Malaysia: Kadar Kemiskinan 2004

1. Sabah – 23.0 peratus

2. Terengganu – 15.4 peratus
 
3. Kelantan – 10.6 peratus
 
4. Sarawak – 7.5 peratus
 
5. Kedah – 7.0 peratus
 
6. Perlis – 6.3 peratus
 
7. Perak – 4.9 peratus
 
8. Pahang – 4.0 peratus
 
9. Johor – 2.0 peratus
 
10. Melaka – 1.8 peratus
 
11. WP KL – 1.5 peratus
 
12. N. Sembilan – 1.4 peratus
 
13. Selangor – 1.0 peratus
 
14. P. Pinang – 0.3 peratus
 

Walaupun “Malaysia” menyifatkan negeri-negeri dalam ECER – Terengganu, Kelantan, dan Pahang – sebagai yang mempunyai kadar kemiskinan yang tinggi berdasarkan Malaysia: Kadar Kemiskinan 2004, tetapi paras kadar kemiskinan negeri-negeri dalam ECER tersebut berada di bawah paras 16.0 peratus. Sedangkan peratus kadar kemiskinan Sabah melebihi paras 20.0 peratus.
 
Semasa era 70-an, Sabah merupakan negeri kaya dalam Persekutuan Malaysia. Kadar per keluaran dalam negeri kasar (per GDP) Sabah pada masa itu sahaja adalah kedua tertinggi dalam persekutuan Malaysia. Secara geografi fizikal, Sabah yang berkeluasan 76,115 km persegi, sudah sememangnya memiliki bentuk muka bumi yang luas, tanih yang subur seperti alluvium, dan taburan sumber alam yang banyak. Secara geografi kemanusian, kadar populasi Sabah (isi rumah) yang berjumlah 3,202,880 juta (2009) itu sudah semestinya mampu memberi impak drastik yang positif terhadap pertumbuhan ekonominya secara menyeluruh.
 
Ironinya, Sabah yang memiliki keampuhan geografi fizikal dan geografi kemanusiaan, selain di bawah pentadbiran UMNO-BN bertahun lamanya, ekonominya tidak mampu berkembang tumbuh secara sepatutnya sehinggakan The World Bank’s 2010 Malaysia Economic Monitor (MEM) menobatkan Sabah sebagai Still The Poorest. Jika diambil kira Malaysia: Kadar Kemiskinan 2004 dan The World Bank’s 2010 Malaysia Economic Monitor (MEM), telah dua kali Sabah mengungguli carta kadar kemiskinan yang tinggi di Malaysia.
 
Sabah masih lagi termiskin, apakah kerana; “Perdagangan adalah jiwa negeri, Tuan. Biar negeri tandus, kering-kerontang seperti Arabia, kalau perdagangan berkembang subur, bangsanya bisa makmur juga. Biar negeri Tuan subur, kalau perdagangannya kembang-kempis, bangsanya tetap miskin. Negeri-negeri kecil menjadi besar karena perdagangannya, dan negeri besar menjadi kecil karena menciut perdagangannya.” Pramoedya Ananta Toer, Jejak Langkah, 519 – 520.
 
Atau, Sabah masih lagi termiskin apakah disebabkan “chaos” dalam dimensi politik-ekonominya? Apakah kerana “chaos” dalam dimensi politik-ekonominya, perdagangannya kembang-kempis? Apakah juga kerana “chaos” dalam dimensi politik-ekonominya, pembangunan sosio-ekonominya malap? Bagaimana dengan faktor 70/30?
 
Apakah kerana “chaos” dalam dimensi politik-ekonominya?
 
Dari segi angkubah geografi fizikal dan geografi kemanusiaan, lebih-lebih lagi berada di bawah pentadbiran UMNO-BN bertahun-tahun lamanya, kemiskinan Sabah merupakan satu ironi. Jika bukan kerana “chaos” dalam dimensi politik-ekonominya, maka kemiskinan bukanlah satu ironi bagi Sabah.
 
Secara metafora, “chaos” adalah merujuk kepada “malapetaka” atau “bencana.” Pewujudan “chaos” dalam dimensi politik-ekonomi adalah bertujuan untuk menimbulkan masalah atau kekacauan yang mendatangkan laba kepada pihak pewujud. Pihak pewujud biasanya terdiri daripada kalangan aktor politik, terutamanya aktor politik kerajaan yang memerintah, dan aktor ekonomi, terutamanya yang mempunyai hubungan dengan aktor politik kerajaan yang memerintah atau kerajaan yang memerintah.
 
Rasuah, penyelewengan, salahguna kuasa, nepotisme, kronisme, proksi-isme, dan sebagainya bukanlah pengertian tepat bagi “chaos” sama ada secara harfiah atau sebaliknya. Namun ia adalah penyebab yang paling ampuh dalam mencetus keadaan “chaos” berdasarkan makna sebenar “chaos” itu sendiri – complete disorder or confusion.
 
Apabila sesebuah negara atau negeri menjadi miskin, seperti Sabah, umum – termasuklah kalangan aktor politik (terutamanya aktor politik kerajaan yang memerintah) dan aktor ekonomi – berpendapat bahawa kemiskinan sesebuah negara atau negeri, seperti Sabah, berpunca daripada kemalapan pembangunan sosio-ekonomi. Tetapi sama sekali jarang menyatakan atau berpendapat bahawa rasuah, penyelewengan, salahguna kuasa, nepotisme, kronisme, proksi-isme, dan sebagainya adalah penyebab utama pembangunan sosio-ekonomi sesebuah negara atau negeri itu malap. Jika pun tidak, rakyat, bawahan terutamanya, akan dijadikan “pesalah” atau “kambing hitam” kerana tidak menyahut seruan, atau tidak memberi kerjasama kepada kerajaan yang memerintah dalam membangunkan sosio-ekonomi.
 
Faktor 70/30 bagaimana?
 
Sebelum 16 September 1963, Sabah adalah sebuah negara. Politiknya berbentuk satu dimensi. Selepas 16 September 1963, Sabah menjadi sebuah negeri. Politiknya berbentuk dua dimensi – politik dalam negeri (Kerajaan Negeri) dan dalam negara (Kerajaan Pusat). Politiknya yang berbentuk dua dimensi ini akhirnya menyebabkan Sabah bergantung sepenuhnya kepada Kerajaan Pusat dalam menentukan halatuju pembangunan sosio-ekonominya.Bagaimana pula boleh dikatakan bahawa politik Sabah yang berbentuk dua dimensi itu menyebabkan Sabah bergantung sepenuhnya kepada Kerajaan Pusat dalam membangunkan sosio-ekonominya?
 
Kerajaan Pusat adalah kerajaan yang dibentuk oleh UMNO-BN. Untuk mengukuhkan kehegomonian politiknya, ia perlu melebarkan sayapnya ke setiap negeri dengan seboleh mungkin, terutamanya negeri-negeri yang di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) seperti Sabah dan Sarawak. Mana-mana negeri yang di bawah pentadbiran BN mahu menerima kemasukan UMNO, akan meratifikasi memorandum persefahaman (MoU) yang dikenali sebagai “Perjanjian 70/30.”
 
Kemasukan UMNO ke Sabah membolehkannya membentuk pentadbiran Kerajaan Negeri UMNO-BN di Sabah. Secara politik, kemasukan UMNO akan mengukuhkan lagi kehegomonian politik UMNO di peringkat pusat dan kehegomonian politik BN di Sabah. Secara sosio-ekonomi, akan memantapkan lagi pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sosial Sabah. Namun, kemasukan UMNO ke Sabah secara realiti politik-ekonomi, Sabah perlu menyerahkan 70 peratus hasil keluaran domestiknya kepada UMNO-BN Kerajaan Pusat sebagaimana yang termaktub di dalam “Perjanjian 70/30.” Sebagai timbal balas, UMNO-BN Kerajaan Pusat akan menyalurkan bantuan dan peruntukan kewangan bagi membantu Sabah membangunkan sosio-ekonominya.
 
Kesan daripada “Perjanjian 70/30” atau faktor 70/30 ialah Sabah akan berhadapan dengan permasalahan ketidakcukupan dana kewangan dalam membangunkan sosio-ekonominya. Ini dapat dilihat dengan jelas melalui penyerahan 70 peratus hasil keluaran domestiknya kepada UMNO-BN Kerajaan Pusat. Walaupun Sabah mengekalkan 30 peratus hasil keluaran domestiknya, tetapi ia tidak mencukupi untuk Sabah membangunkan sosio-ekonominya jika diambil kira kadar keluasan (negeri) dan kadar pertumbuhan populasinya yang tinggi.
 
Walaupun Sabah menyerahkan 70 peratus hasil keluaran domestiknya kepada UMNO-BN Kerajaan Pusat, Sabah tidak semestinya akan menerima bantuan dan peruntukan kewangan yang disalurkan UMNO-BN Kerajaan Pusat sebagaimana jumlah serahan hasil keluaran domestiknya kepada UMNO-BN Kerajaan Pusat. Bantuan dan peruntukan kewangan yang dihulurkan oleh UMNO-BN Kerajaan Pusat pula hanya tertumpu kepada pembangunan sosio-ekonomi yang bagaimana yang diperlukan Sabah secara umum, bukannya yang diperlukan Sabah secara khusus berdasarkan potensinya yang sebenar. Ini menyebabkan industri sekunder dan industri tertier Sabah tidak dapat berkembang sebagaimana yang diharapkan.
 
Untuk keluar daripada belenggu kemiskinan, kemiskinan tegar terutamanya, Sabah tidak boleh bergantung harap atau bergantung sepenuhnya dengan industri primer dan bantuan dan peruntukan yang disalurkan oleh UMNO-BN Kerajaan Pusat. Sabah perlu bersandar kepada kekuatan dan kelebihan yang dimiliki yakni keampuhan geografi fizikal dan geografi kemanusian. Dengan kekuatan dan kelebihan geografi fizikal dan geografi kemanusian, Sabah berupaya memantapkan pertumbuhan pembangunan industri sekunder dan industri tertiernya. Walau bagaimana pun, tanpa kekuatan dana kewangan, industri sekunder dan industri tertier Sabah sukar untuk berkembang pesat melainkan berkembang secara statik disamping memakan masa.
 
Seandainya Sabah berjaya mengembangpesatkan industri sekunder dan industri tertiernya secara lonjakan "quantum," Sabah berupaya melipatgandakan hasil keluaran domestiknya. Ini adalah kerana, kedua-dua industri tersebut berupaya menjana pulangan cukai yang positif, atau pulangan cukai pada kadar yang memberangsangkan. Dengan keadaan sedemikian, Sabah berupaya menentukan model pembangunan yang diingini.
 
Seterusnya, Sabah berupaya (1) menurunkan kadar pengangguran, (2) kadar migrasi dalaman, dan (3) kadar aliran tunai keluar. Dalam masa yang sama, Sabah berupaya meningkatkan (1) kadar pendapatan/upah isi rumah, dan (2) kadar kuasa beli isi rumah. Pendapatan/upah isi rumah yang tinggi akan mempengaruhi upaya tingkat kuasa beli isi rumah. Upaya tingkat kuasa beli isi rumah yang tinggi seterusnya menjana pulangan kepada Sabah - cukai perniagaan domestik. Pada masa yang sama, ia boleh berfungsi sebagai "penebat" atau pengimbang dalam mengekang kenaikan indeks harga pengguna (IHP/CPI) dan inflasi dan stagflasi.
 
Bagaimana pun, selagi faktor 70/30 kekal tidak berubah, kembang pesat industri sekunder dan industri tertier itu tidak akan membawa apa-apa makna kepada Sabah, terutamanya secara realiti sosio-ekonomi. Sabah memerlukan sekurang-kurangnya 70 peratus hasil keluaran dalam negerinya untuk memangkin atau membuat anjakan paradigma terhadap pembangunan sosio-ekonominya. 30 peratus hasil keluaran dalam negeri dan bantuan dan peruntukan kewangan UMNO-BN Kerajaan Pusat sahaja tidak mencukupi buat Sabah jika bersandar kepada persoalan geografi fizikal dan geografi kemanusiaannya.
 
Adalah cemerlang, gemilang, dan terbilang sekiranya kepimpinan UMNO-BN Sabah menyemak semula perjanjian serahan 70 peratus hasil keluaran dalam negerinya kepada Kerajaan Pusat UMNO-BN. Ini adalah bertujuan untuk memastikan Sabah keluar daripada kepompong kemiskinan, kemiskinan tegar terutamanya. Sekiranya perjanjian serahan 70 peratus hasil keluaran dalam negeri kepada Kerajaan Pusat UMNO-BN itu kekal tidak berubah sampai bila-bila masa, selepas Malaysia mencapai status negara maju, pada tahun 2020 nanti, pun Sabah masih lagi negeri yang mencatat kadar kemiskinan yang tinggi di Malaysia. Maka jika demikian, Sabah adalah tidak lain dan tidak bukan hanyalah "karung tinju" ekonomi "Malaysia."

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.