Skip to main content

"Lintas hormat" untuk PDRM!

Dalam ruangan Rencana, Mingguan Malaysia, Ahad 6 Jun 2010, Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria menerusi Harussani Zakaria Menulis menegaskan bahawa judi membawa bala. Penegasan tersebut dilontarkan berikutan tindakan kerajaan yang memerintah bersetuju untuk memberikan keizinan dan mengeluarkan lesen judi sempena Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

"Nyata dalam ayat ini, surah al-A'raf: 96, bahawa hanya keimanan dan ketaatan pemerintah dan rakyat sesebuah negara kepada Allah SWT saja akan membuka limpahan rezeki atau taraf ekonomi sesebuah negara. Namun ketika mana maksiat berleluasa, maka Allah SWT menjanjikan azab dan kesusahan yang menimpa negara tersebut."

- Datuk Seri Harussani Zakaria

Mufti Perak

Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) sememangnya layak dianugerahkan "lintas hormat." PDRM di bawah kepimpinan baharu telah mendukung gagasan "untuk menangkap pencuri, perlu menjadi pencuri." Kesungguhan PDRM untuk memerangi kegiatan perjudian haram dan penipuan perjudian di negara ini seharusnya tidak dipandang sebelah mata. Dan oleh itu kita perlu berfikiran plural terhadap kesungguhan PDRM ini. Berfikiran plural?


Untuk memerangi kegiatan perjudian haram dan penipuan perjudian di negara ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata pasukan polis terutamanya dari Unit D7, akan dilengkapi dengan Makmal Latihan Pencegahan Perjudian iaitu sebuah "kasino olok-olok."

Makmal Latihan Pencegahan Perjudian yang bernilai RM 198,000 ini dilengkapi dengan sebuah peralatan roulette, tiga meja judi dan empat mesin slot, selain kelengkapan "chips" judi dan mesin judi. Di "kasino olok-olok" ini pegawai polis terutamanya dari Unit D7 akan dilatih menjadi "pakar judi," selain mempelajari kemahiran mengesan taktik penipuan perjudian yang selalu diguna pakai oleh penjudi, penjudi haram terutamanya.

Rasional kesungguhan PDRM memerangi kegiatan perjudian haram dan penipuan perjudian di negara ini ialah mendatangkan manfaat ekonomi kepada negara dan rakyat. Sudah semestinya hasil perolehan cukai perniagaan perjudian dan cukai pendapatan perjudian kerajaan yang memerintah melambung tinggi meroket. Cukai amat penting untuk pembangunan ekonomi negara.

Selain itu, pusat-pusat perjudian di negara ini akan bertambah makmur dan subur di samping dijamin tahap keselamatannya. Sudah semestinya para penjudi handalan dari segenap pelosok dan ceruk dunia berasa selamat dan terjamin apabila berjudi di pusat-pusat perjudian di negara ini kerana tidak wujud lagi perjudian haram dan penipuan perjudian.

Jikapun para penjudi handalan yang datangnya dari segenap pelosok dan ceruk dunia ini mengalami kerugian dan menjadi mangsa perjudian haram dan penipuan perjudian di negara ini, keselamatan "pelaburan" masa hadapan mereka akan mendapat jaminan daripada pihak berkuasa yang berwibawa di negara ini, PDRM. Ini kerana, PDRM melalui Unit D7-nya senantiasa meningkatkan kesungguhan memerangi perjudian haram dan penipuan perjudian di negara ini dari masa ke semasa.

Perjudian haram dan penipuan perjudian sememangnya mendatangkan kerugian besar kepada industri perjudian di negara ini. Seandainya pusat-pusat perjudian di negara ini mengalami kerugian yang tidak menguntungkan atau kerugian besar akibat perjudian haram dan penipuan perjudian, sudah tentu perolehan cukai perniagaan perjudian dan cukai pendapatan perjudian kerajaan yang memerintah merudum membungkam. Oleh yang demikian "lintas hormat" untuk PDRM!

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.