Skip to main content

P036

1. Parti Pemerintah yakni umno/BN perlu melakukan pengstrukturan semula unit-unit perlaksana manifesto politiknya. Pengstrukturan semula unit-unti perlaksana perlu bersifat ikhlas dan jujur serta bersifat menginsafi diri, bukan hanya bersifat ad hoc atau setakat teori atas kertas yang bersulam dengan retorika-retorika dangkal. Rakyat marhaen pastinya tidak akan berkompromi dengan teori atas kertas tanpa perlaksanaan yang padu, jitu, dan tuntas.


2. Presiden Umno yang juga Pengurusi BN, dan Majlis Tertinggi Umno (MT Umno) gagal membendung gejala politk wang yang sudah semacam candu kepada kebanyakan ahli dan pemimpin Umno/BN. Gejala politik wang semakin parah sejak Abdullah Ahmad Badawi memimpin Umno/BN dengan cemerlang, gemilang, dan terbilang pada Pilihan Raya Umum – 11 (PRU-11), 2004. Rakyat marhaen pastinya tidak akan berkompromi dengan pemimpin, terutamanya yang bersalut dengan rasuah.

3. Umno/BN ternyata masih gagal memahami secara tuntas terhadap kehendak dan keperluan rakyat marhaen. Umno/BN memiliki kemampuan yang serba lengkap sama ada sebagai sebuah organisasi politik mahupun sebagai Kerajaan Pusat. Segala kehendak dan keperluan rakyat tidak mustahil Umno/BN boleh tunaikan sebagaimana kebolehmenaburan janji dan harapan kepada rakyat pada musim pilihan raya. Umno/Bn perlu mencari “akar sebab” walaupun hingga ke hujung akar umbi akar permasalahan rakyat. Rakyat marhaen tidak akan berkompromi dengan pemimpin yang sentiasa dalam keadaan “Saya tidak tahu. Nanti saya siasat,” atau mengeluh dengan keluhan “Apa lagi yang rakyat nak?” apabila rakyat mengeluh.

4. Umno/BN ialah parti yang memerintah. Parti yang memerintah juga adalah kerajaan. Sebagai kerajaan, Umno/BN memiliki set apparatus politik yang lengkap dan mampu berfungsi sehingga ketahap cemerlang, gemilang, dan terbilang. Set apparatus politik seperti kuasa, wang, media dan tangan-tangan kerajaan seprti Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) perlu digunakan selaras dengan atas nama rakyat, kepada rakyat, dan untuk rakyat. Umno/BN ternyata gagal menggunakan set apparatus politik yang dimilikinya ini dengan baik. Ini terbukti dengan jelas semasa PRU-12 lalu, dan semasa Pilihan Raya Kecil P036, Kuala Terengganu baru-baru ini.

5. Pemimpin-pemimpin Umno/BN terutamanya, perlu menurunkan sedikit hidung mereka yang “terlalu mancung.” Sejak akhir-akhir ini pemimpin-pemimpin Umno/BN semacam memiliki unsur kesombongan dan kebongkakan, dan, keegoan dan kemegahan yang melambung tinggi seperti debu yang beterbangan di inosfera bumi yang brektinggian 90 batu atau 144 KM dari aras 0 laut. “Aset” yang sedemikian sedikit sebanyak mampu mengeruh hubungan akrab pemimpin-pemimpin Umno/BN dengan rakyat marhaen yang memberikan undi, dan jawatan politik dan kerajaan seusai pilihan raya.

Mesra rakyat harus diamalkan dan dilaksanakan pada bila-bila masa sama ada negara berada didalam keadaan aman atau ditimpa musibah, bencana, dan malapetaka. Pemimpin-pemimpin Umno/BN perlu “mendarahdagingkan” sifat mesra rakyat. Sifat mesra rakyat yang hanya diamalkan semasa musim pilhan raya tidak akan membawa apa-apa kepada pemimpin-pemimpin Umno/BN. Bagi pemimpin-pemimpin Umno/BN yang mesra rakyat hanya pada musim pilihan raya pastinya akan bakal berhadapan dengan “tulah rakyat.” Mesra rakyat hanya pada musim pilihan raya mungkin satu strategi bagi pemimpin-pemimpin Umno/BN, tetapi tidak bagi rakyat. Malahan rakyat marhaen menganggap ianya sebagai strategi “Pak Pandir” atau “Lebai Malang.” Pemimpin-pemimpin Umno/BN perlu mesra berdamping dengan rakyat sebagaimana yang diamalkan oleh ahli-ahli politik Parti Pembangkang, PAS terutamanya.

6. Pemimpin-pemimpin Umno/BN perlu faham apa itu politik dengan jelas, jitu, padu, dan tuntas. Setakat menjadi pemimpin dan ahli parti politik semata belum cukup untuk dijadikan hujah atau prima facie untuk membuktikan keahlianpolitikan seseorang yang ingin bergelar animal politics. Setakat memiliki segulung ijazah, Universiti Oxford, seperti Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, juga belum mampu menterjemah akan faham terhadap apa itu politik sama ada dalam bentuk idealisme mahupun realisme. Politik merupakan satu cabang ilmu yang diperlukan oleh manusia di muka bumi ini sebagai alat untuk mengurus kehidupan manusia itu sendiri. Ilmu politik sama ada yang dihasilkan oleh Plato mahupun al-Mawardi atau Ibn Taymiyya perlu ditekuni secara bersungguh-sungguh berlandaskan buang yang keruh ambil yang jernih.

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.