Skip to main content

Rasuah, pelaku rasuah, dan kerajaan yang memerintah

Rasuah pada pandangan umum adalah satu perbuatan yang jijik dan dikeji sehingga ke akhir zaman. Manusia di atas muka bumi ini kesemuanya menyedarinya sama ada mereka itu pemimpin atau dipimpin. Sistem pelajaran yang bertamadun sudah semestinya menyelitkan bahana rasuah dalam pembelajaran dan pendidikan agar generasi baru manusia terhindar daripada melakukan rasuah.



Namun rasuah masih terus belaku. Badan pemantau rasuah antarabangsa telah menfaktakan indeks kenaikan rasuah tahun demi tahun. Ini bermakna sistem pelajaran dan pendidikan yang bertamadun ciptaan manusia tidak bersifat sempurna seluruhnya melainkan sistem pembelajaran dan pendidikan wahyu yang dianugerahkan Allah Tuhan sekalian makhluk.

Kamus Dewan edisi baru 1993, mendefinisikan rasuah sebagai pemberian untuk menumbuk rusuk (menyogok, menyuap), (wang) tumbuk rusuk (sogok, suap). Oleh yang demikian, orang yang melakukan rasuah sama ada pemberi atau penerima, atau kedua-duanya sekali boleh ditembak sebagai pelaku rasuah. Walau bagaimana pun, seseorang itu tidak boleh ditembak sebagai pelaku rasuah seandainya atau jika dia dipaksa atau diugut dengan kekerasan yang boleh memudaratkan dirinya mahupun ahli keluarganya.

Dalam konteks Malaysia, pelaku rasuah kebanyakannya terdiri daripada golongan yang berada dan berjawatan tinggi di dalam organisasi sama ada organisasi kerajaan seperti Polis Di-Raja Malaysia (PDRM), mahupun organisasi bukan kerajaan seperti ahli perniagaan berorganisasi (yang berselindung disebalik dewan-dewan perniagaan). Terdapat juga pelaku rasuah yang terdiri daripada kalangan menteri merangkap ahli politik tanpa mengira sama ada mereka itu menteri/ahli politik kerajaan yang memerintah (sudah semestinya Umno/BN), atau kerajaan Parti Pembangkang (yang memerintah di negeri-negeri yang dimenangi pada PRU-12, 2008). Manakala rakyat kelas pertengahan mahupun bawahan banyak juga didapati melakukan rasuah tetapi dalam skala kelas yang tersendiri iaitu kelas “duit kopi” atau “belanja dapur.”

Pelaku rasuah sudah semestinya sarat dan tenat mengandung laba hasil daripada “urus niaga” rasuah. Hasil mahsul pelaku rasuah sudah tentu berlipat ganda dari masa ke semasa jika indeks pasaran rasuah “rocketing high” hingga memecah penanda aras harga siling. Biasanya indeks pasaran rasuah akan berada dalam keadaan sedemikian apabila Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) membahang. Pada masa Pemilihan Umno, Mac depan nanti, indeks pasaran rasuah dijangka mengalami kenaikan drastik, dan Lembaga Disiplin Umno dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini berada dalam keadaan siap siaga untuk mengawasi impak maksima urus niaga rasuah yang dijangka melampaui daripada kebiasaan.

Manakala indeks pasaran rasuah di atas papan catur perniagaan dan perdagangan sentiasa berada dalam keadaan “steady,” tetapi sebutan harga urus niaga rasuah seringkali melambung tinggi apabila berlakunya “supply” dan “demand” yang “hyperactive” di kalangan aktor-aktor perniagaan dan perdagangan. Indeks pasaran rasuah akan menjadi “extreme hyperactive” jika wujud usaha sama di antara golongan menteri/ahli politik, aktor-aktor kerajaan dan bukan kerajaan, dan orang perseorangan.

Tidak begitu pasti rasuah walaupun jijik dan dikeji tetapi memiliki sedikit “kebaikan” daripada sudut pandang ekonomi sekular, domestik mahupun antarabangsa. Pelaku rasuah yang aktif sama ada secara terang-terangan mahupun tersembunyi sudah tentu sarat dan tenat dengan laba rasuah. Kesan daripada itu, kuasa beli pelaku rasuah sudah semestinya berkembang. Dengan kuasa beli yang tinggi, pelaku rasuah sudah pasti mampu dan berupaya mengembangkan lagi pemilikan harta sama ada harta milik peribadi mahupun perkongsian.

Harta milik peribadi mahupun perkongsian pelaku rasuah pada formalitinya akan sentiasa berada di bawah kawal selia Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk tindakan penjelasan cukai. Hasil cukai yang banyak diperoleh oleh LHDN dan PBT tentulah melonggokkan lagi hasil pendapatan kerajaan yang memerintah yang mana akan digunakan untuk tujuan pembangunan negara dan bangsa.

Pelaku rasuah yang didapati melakukan rasuah oleh agensi-agensi kerajaan yang memerintah, pastinya akan berhadapan dengan tindakan mandatori undang-undang negara yang digubal oleh penggubal undang-undang yang bertuankan kerajaan yang memerintah. Hukuman yang akan dikenakan terhadap pelaku rasuah biasanya dalam bentuk hukuman penjara dan bayaran denda, kemungkinan juga hasil mahsul pelaku rasuah akan dibekukan, atau dimiliknegarakan, atau dilupuskan sama sekali. Semakin bertambahlah pendapatan kerajaan yang memerintah sekiranya hasil mahsul pelaku rasuah dimiliknegarakan.

Pelaku rasuah yang sudah mencapai tahap cemerlang, gemilang, dan terbilang sememangnya sudah boleh disamakan dengan perut neraka Jahannam yang apabila dikatakan kepadanya “Apakah engkau sudah penuh?” Dijawabnya, “Apakah ada tambahan lagi?”

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.