Skip to main content

Sistem politik Umno/BN kuno

Umno/BN yang juga kerajaan memerintah kini berada dalam keadaan susah dan kebingungan ibarat “lembu kenyang” apabila gagal memahami apa kehendak dan keperluan rakyat, marhaen terutamanya. Penolakan rakyat terhadap Umno/BN semakin ketara ketika ini. Manakala penerimaan rakyat terhadap seteru politiknya, Pakatan Rakyat (PR), semakin menyerlah. Umno/BN sudah pun mencipta “hatrik” kekalahan dalam tiga siri pilihan raya (PRU-12, P044, dan P036) dalam jangka masa yang begitu dekat.


Dalam keadaan Umno/BN yang susah dan bingung sekarang ini, Abdullah Ahmad Badawi dilihat tidak mampu mem”post-mortem”kan para pemimpin Umno/BN yang masih “hingusan” bergelut dengan kecelakaan politik tanah air. Abdullah Ahmad Badawi dijangka akan melepaskan jawatan pada bulan Mac ini, dan sudah tentulah dia tidak akan mampu berbuat apa-apa ibarat datuk tua yang kepenatan selepas bremain dengan cucu-cucu nakalnya. Bagi meneguhkan semula kepercayaan rakyat terhadap Umno/BN, Abdullah Ahmad Badawi mendengungkan retorika dan teori “politik berorientasikan rakyat,” ibarat pemimpin politik yang mulai putus asa atau tidak mampu berbuat apa-apa.

Bagi ahli-ahli fakir Yunani, manusia itu semulajadi haiwan politik, dan semua jenis perhubungan manusia dalam masyarakat (rakyat) bersifat politikal. Maka politik berorientasikan rakyat boleh dianggap bersesuaian dengan asas dan dasar teori politik itu sendiri. Namun, adakalanya politik berorientasikan rakyat tidak lain dan tidak bukan hanya retorika palsu semata-mata yang tidak membawa apa-apa kesan daripada pengdoktrinan “sistem kuno” yang diamal dan digunapakai oleh Umno/BN sebagai parti memerintah. Ilmuan politik secara asasnya akur akan kewujudan evolusi dalam dunia politik seiring dengan evolusi tamadun manusia itu sendiri. Tetapi “kekunoan sistem” politik itu adakalanya bersarang di dalam minda politikus dan adakalanya sebati dari segi perilaku dan tingkah laku politikal. Politikus Umno/BN kebanyakannya menjadi “pengamal tulen” sistem kuno ini walaupun manusia era kini sudah berada ditahap “gelombang ke-3.”
 
Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa sistem politik yang diamalkan dan dilaksanakan oleh Umno/BN, kuno. Ada kemungkinan, sistem politik tradisional zaman silam kerajaan Melayu Melaka lebih baik walaupun tidak mencapai tahap cemerlang, gemilang, dan terbilang. Maka tidak hairanlah penolakan demi penolakan terhadap hegomoni Umno/BN semakin rancak tiap kali pilihan raya berlangsung. Umumnya, rakyat walaupun tidak tahu apa-apa tentang politik rakyat tidak rela diperintah oleh parti pemerintah yang menggunakan sistem kuno kerana rakyat tidak mahu ketinggalan zaman seperti manusia era kuno di zaman dahulu kala.
 
Sistem yang bersifat kuno biasanya memiliki tembok pemisah sebagai simbol keesahan kuasa kempimpinan organisasi politik sebagai kerajaan memerintah. Kelompok-kelompok masyarakat yang ingin memperdebat atau mempersoal keesahan kuasa politik kerajan yang memerintah biasanya akan berhadapan dengan hukuman “terungku minda.” Contoh cemerlang, gemilang, dan terbilang hukuman sebegini ialah penggunaan dan penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) walaupun kerajaan memerintah mengakui tanpa ragu akan keesahan hak asasi manusia. Akibat dan kesan daripada tembok pemisah ini maka lahirlah golongan atau kelompok “fence-sitter” yang selalunya menjadi "pengacau" apabila kerajaan memerintah mengemis undi daripada rakyat marhaen tiap kali pilihan raya bagi menjamin keesahan kuasa.
 
Seterusnya, organisasi politik yang lahir daripada sistem kuno ini memiliki aktor-aktor atau pelaku politik yang berpuak-puak walaupun berada dibawah satu bumbung organisasi. Puak yang menonjol biasanya ialah puak pemimpin. Namun puak pemimpin sering mengalami konfrontasi sesama sendiri untuk merebut kuasa tertinggi organisasi lebih-lebih lagi apabila ketua umum organisasi berada di ambang peralihan kuasa. Manakala puak yang tidak menonjol tetapi mampu mempengaruh pemimpin-pemimpin biasanya terdiri daripada kalangan ahli organisasi yang tidak berjawatan melainkan pengikut buta semata. Namun sering terheret dan diheret kedalam kancah “pesta konfrontasi” yang sarkastik puak-puak pemimpin yang akhirnya menyebabkan ahli-ahli biasa organisasi berpuak-puak. Satu siri kepimpinan melalui teladan.
 
Oragnisasi politik yang bersistem kuno juga biasanya mengamalkan tradisi yang diadatkan mengikut kehendak pucuk pimpinan organisasi tetapi sering kali ditafsir sebagai adat tradisi organisasi. Sekiranya terdapat sebilangan pemimpin dan ahli yang membelakangkan kehendak pucuk pimpinan organisasi, maka pemimpin dan ahli itu akan dikenakan tindakan tatatertib organisasi seperti digantung keahlian atau dipecat daripada organisasi. Sekiranya terdapat dikalangan puak pemimpin yang berpengaruh menyokong kewajaran usul kem pembangkang di Dewan Rakyat, maka pemimpin tersebut akan “didengungkan” dengan whip organisasi disamping menerima darjah kebesaran berundur dari jawatan penting.
 
Juga, animal politics organisasi politik yang bersistem kuno ini sering beranggapan yang rakyat marhaen tidak berhak mencampuri urusan yang berbaur politikal. Dalam erti kata lain tetapi makna serupa, organisasi politik yang memerintah menyifatkan rakyat marhaen tidak lain hanya setakat rakyat semata yang tidak tahu apa-apa tentang hal dan ehwal politik terkini tanah air. Keberanggapan itu ternyata jauh tersasar ke longkang apabila rakyat marhaen tidak lagi berfikiran seperti ahli fikir era “Kaum Tua” walaupun agak orthodoks sedikit. Kesalah beranggapan ini akhirnya menyebabkan organisasi politik yang memerintah sering berada dalam keadaan susah dan bingung didalam memahami kehendak dan kamahuan rakyat setiap kali mendapat “tulah” daripada rakyat pada pilihan raya. Oleh kerana terbawa-bawa sentimen “rakyat tidak tahu apa-apa” ke program mesra rakyat pada hari kempen pilihan raya (P036), pemimpin-pemimpin organisasi politik yang bersistem kuno ini menggula-gulakan rakyat marhaen dengan kokok “Masihkah Kau Ingat” seperti;

1. Siapa yang memberikan sekolah, kalau bukan BN! Dan,
 
2. Siapa yang memberikan masjid, kalau bukan BN! Dan lain lain.

Dalam sistem politik moden, sekolah dan masjid mahupun frasrana lain, penyediaannya disediakan oleh organisasi politik yang memerintah. Bukan kerana rakyat meminta-minta atau mengemis, tetapi sudah menjadi kewajiban mutlak organisasi politik yang memerintah. Organisasi politik yang bersistem moden juga sentiasa mengerah kudrat akal mahupun fizikal untuk mencari seribu satu rumus ampuh bagi merealisasikan “rakyat utopia.”
 
Biasanya, organisasi politik yang bersistem kuno akan menjadi kerdil, dan tidak mampu menjunjung mandat dan amanat rakyat terutamanya rakyat yang telah mengalami evolusi kemajuan pemikiran akibat ledakan ilmu pengetahuan. Adalah cemerlang, gemilang, dan terbilang sekiranya organisasi yang bersistem kuno menjadi debu dan longgokan habuk sejarah daripada dilupakan sejarah. Kerana apabila dilupakan sejarah, segala jasa dan bakti yang ditabur oleh organisasi politik bersistem kuno di awal penubuhannya dan di era keemasannya akan ditidakkan oleh generasi rakyat pada abad ke-31 kelak.

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.