Skip to main content

Sayap Umno "coma"

Pemuda, Wanita, Putera, dan Puteri Umno, merupakan sayap Umno yang kini sedang mangalami coma akibat kegagalan post mortem yang dilakukan oleh “Doctor Zhivago” Umno. Coma yang dialami ini sudah tentu menjaminkan Umno/BN dengan masa depan yang kabut di samping mendebukan kehegomonian Umno sebagai teras parti pemerintah di dalam tong sampah sejarah politik tanah air.


Pemuda, Wanita, Putera, dan Puteri Umno pada teorinya diwujudkan oleh Umno sebagai “pemimpin pelapis” atau “pelapis kepimpinan” dalam parti bagi menggantikan pemimpin-pemimpin Umno yang telah pergi sama ada bersara, dipecat atau dibuang daripada parti, berpaling tadah atau lompat parti, atau kembali kepada Khalik Sang Pencipta.

Dalam disiplin ilmu dan praktis, teori berfungsi sebagai pemandu arah atau auto pilot supaya tidak terlencong atau tersasar daripada landasan. Namun teori ciptaan manusia adakalanya bersifat atas kertas semata malah tidak berguna langsung namun sering diagung-agungkan oleh manusia sendiri. Pemuda, Wanita, Putera, dan Puteri yang disinonimkan sebagai “sayap Umno” pada teorinya kini sudah tidak berfungsi sebagai pemimpin pelapis malainkan generasi akhir pelapis Umno.
 
Teori “pemimpin pelapis” di dalam Umno tidak menjadi. “Doctor Zhivago” Umno semakin bingung seolah ketandusan rumus. Manakala “Don Quixote” Umno hanya pening kepala tetapi tidak rungsing fikiran kerana “pesta” peralihan kuasa sudah menjelang tiba dan acara “lepas tangan” semakin menjadi kenyataan. Agak mustahil “Doctor Zhivago” Umno ingin melakukan post mortem yang seterusnya walaupun esok masih ada.
 
Berpandukan realiti, sayap Umno sudah tidak memenuhi kehendak teori “pemimpin pelapis.” Sayap Umno era kini tidak memiliki jiwa sebagaimana jiwa Pemuda dan Wanita Umno pada awal penubuhan Umno. Sayap Umno era kini hanya lebih kepada peranan pelengkap angka-angka supaya Umno bersifat kuantiti dan disegani oleh sang kerdil si Parti Pembangkang (namun Parti Pembangkang telah mulai menunjukkan kuantiti dan kualiti dari segi pemimpin pelapis).
 
Menyingkap “Tragedi Oktober” yang berlaku di dalam Umno (rujuk artikel penulis yang bertarikh 4 November 2008), kebanyakan peristiwa yang bertukar menjadi tragedi tragis ditunggangi dan didalangi oleh ahli dan pemimpin muda Umno atau sayap Umno. “Tragedi Oktober” jelas menunjukkan yang ahli dan pemimpin muda Umno tidak lagi bersifat animal politics tetapi “animal” politics. Ahli dan pemimpin muda Umno era kini sudah semacam generasi yang dilahirkan daripada hasil kegagalan sistem pendidikan yang dilaksanakan dan diamalkan oleh kerajaan yang memerintah yakni Umno/BN.
 
Rasuah, keruntuhan akhlak dan moral, pengkhianat hasad dengki (Phd), golongan orang lemah fikiran (golf) dan sebagainya sudah “rocketing high” di dalam Umno. Agak mustahil unsur-unsur jijik ini bersarang di dalam kota minda dan di lubuk hati ahli dan pemimpin muda Umno kerana mereka rata-ratanya berpelajaran dan berpendidikan. Tetapi kenapa dan mengapakah gerangan “Tragedi Oktober” ini berlaku kepada sayap Umno? Adakah ini disebabkan oleh hasil kegagalan sistem pendidikan nasional yang digubal-dasarkan oleh penggubal-penggubal dasar kerajaan yang memerintah yang kerap bertukar-tukar seolah tidak mempunyai objektif? Atau adakah disebabkan oleh kegagalan “besar” Tun Dr. Mahathir mengubah set minda orang Melayu?
 
Bagi menjayakan misi dan visi post mortem terakhir “Doctor Zhivago” Umno dan mengembalikan dunia realiti “Don Quixote” daripada dunia khayalan dan fantasi yang tidak praktis, sayap Umno perlu dibubarkan sama ada untuk jangka masa pendek, jangka masa panjang, atau dibubarkan sama sekali tanpa mengalami proses “kelahiran semula” dalan bentuk nirvana. Lupakan atau buangkan sahaja teori. Mencapai kehendak teori memerlukan peraturan. Peraturan tidak akan menghasilkan genius. Lihat hasil bukan cara.
 
Hanya dengan pembubaran sayap Umno, Umno dapat dikonstruksi atau distruktur semula. Oleh yang demikian, saranan Pengurusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen supaya sayap Umno dibubarkan, merupakan saranan yang bernas, jitu, tuntas, dan kena pada masa, situasi, dan keadaan Umno yang tenat dan mengandung laba rasuah sekarang ini.

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.