Skip to main content

"Malaysia" ke arah elitis

Dalam dunia sekular yang penuh mencabar ini manusia semakin diperhambat dengan cemeti elitis. Semua apa yang ada di muka bumi ini (dalam konteks ekonomi) pada dasarnya adalah untuk memenuhi keperluan, kemahuan dan kehendak manusia yang tiada batas tetapi diterhadkan sendiri oleh batas keupayaan manusia itu sendiri.


Dalam memenuhi keperluan, kemahuan dan kehendak yang sentiasa kering dan kontang, manusia sentiasa mencatur pelbagai strategi pemenuhan tanpa mengira dosa dan pahala. Adakalanya konsep dan taktik Nicollo Machiavelli juga terkadang diadaptasi agar keperluan, kemahuan dan kehendak dicapai, sekaligus menakluk puncak menara gading elitis.

Pemenuhan keperluan, kemahuan dan kehendak biasanya melibatkan tiga pihak (atasan, pertengahan dan bawahan) yang wujud dalam satu rantaian tetapi terbahagi kepada dua kelompok iaitu pemerintah dan yang dipeintah. Secara teorinya, pemerintah mampu memenuhi keperluan, kemahuan dan kehendak golongan yang diperintah, dan begitu juga sebaliknya. Kesalingan di antara ketiga-tiga golongan di dalam pemenuhan keperluan, kemahuan dan kehendak pastinya menghasilkan kemakmuran. Kemakmuran yang terhasil itu seringkali diatasnamakan dengan “kemakmuran negara.” Siapa itu negara? Yang memerintah? Atau yang diperintah?

“Malaysia” (merujuk kepada pemimpin-pemimpin negara dan komuniti elit) kini sedang menuju ke arah elitis. Malaysia memiliki mercu tanda sekular yang setanding dengan negara-negara komunis, sosialis dan kapitalis. Pemimpin negara Malaysia (Perdana Menteri) memiliki misi dan visi yang jauh. Atas nama bangsa dan negara, pemimpin negara Malaysia bertungkus lumus mengerah kudrat akal, hati, jiwa, dan perasaan supaya bangsa dan negara sama rata dan sama rasa dengan pencapaian sekular negara-negara komunis, sosialis dan kapitalis.

Pengenalan dan perlaksanaan pendekatan-pendekatan (seperti acara perahu layar “piala monsun”) yang masih samar objektifnya seringkali diutamakan. Untuk memastikan “pendekatan” ini tidak terkandas, berjuta-juta Ringgit Malaysia diluluskan dengan segera supaya “pendekatan” dapat berjalan dengan lancar. Kegagalan “pendekatan” mencapai objektif tentulah menghasilkan sesuatu yang sia. Namun sang pengenal dan sang pelaksana “pendekatan” tidak boleh dipersalahkan oleh mana-mana pihak, rakyat terutamanya. Ini kerana sang pengenal dan sang pelaksana “pendekatan” berkhidmat atas nama bangsa dan negara.

Untuk menjadi elitis pada asasnya tidak salah. Manusia akhir zaman yang terkepompong dalam “centric” negara bangsa semuanya menyimpan cita untuk mencapai elitis. Ada yang gagal (setelah berusaha atau malas) dan ada yang berjaya (setelah berusaha atau culas). Golongan yang berjaya biasanya adalah golongan pemerintah, atasan dan pertengahan. Golongan bawahan juga terkadang mencapai kejayaan elitis tetapi jarang-jarang berlaku (kebanyakannya yang berjaya setelah mendapat “tongkat sakti” daripada kerajaan yang memerintah). Golongan-golongan yang berjaya mencapai elitis sudah tentu mengelitiskan "Malaysia" walaupun golongan miskin dan yang kurang bernasib baik di Malaysia masih lagi tinggi kadar peratusannya.

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.