Skip to main content

Program pembangunan golf remaja dan peruntukan RM1j

Kejohanan Golf Terbuka Malaysia-Maybank 2009 telah pun “the end” pada 15 Februari 2009 lepas. Pada kejohanan tersebut pemain Amerika Syarikat yang berbangsa Korea, Anthony Kang menguntum senyuman lebar kerana dapat pulang dengan hadiah kemenangan AS$333,330 (RM2juta) Satu siri pengaliran Ringgit Malaysia ke luar negara yang dianggap munasabah dan tepat pada masanya.


Rentetan daripada kejohanan tersebut, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kerajaan peruntuk RM1j untuk program pembangunan golf remaja sebagai tanda sokongan dalam membantu meningkatkan mutu sukan golf di negara ini. Ironisnya pengumuman peruntukan RM1j untuk program pembangunan pemain golf remaja sepanjang tahun ini (2009) dibuat sedang negara mengidap “demam influenza” kemelesetan ekonomi global.

Datuk Seri Najib Razak menyifatkan pengumuman peruntukan RM1j untuk program pembangunan golf remaja sebagai tanda sokongan kerajaan. Adakah ia benar-benar sokongan kerajaan? Atau, keputusan pengumuman Datuk Seri Najib itu keputusan kerajaan dan dianggap sebagai tanda sokongan kerajaan? Walaupun Umno/BN dipangkah oleh rakyat sebagai kerajaan, kerajaan (Umno/BN) membuat keputusan eksekutif, dan keputusan itu sebagai tanda sokongan kerajaan, namun ia tidak semestinya boleh disifatkan sebagai tanda sokongan kerajaan yang dianggap mutlak. Ini adalah kerana, rakyat (termasuk penulis) tidak keseluruhannya memangkah Umno/BN sebagai kerajaan pada PRU-12 (Pilihan Raya Umum-12) lalu. Oleh yang demikian, tanda sokongan kerajaan tidak bermakna tanda sokongan rakyat. Adakah kerajaan yang memerintah mengambil kira akan pandangan rakyat di dalam membuat keputusan?

“Kita perlu meningkatkan mutu sukan golf negara dan usaha Persatuan golf Malaysia (MGA) menerusi program pembangunan untuk pemain remaja negara mendapat sokongan kerjaan.”

“Padang golf yang hebat, cuaca baik sepanjang tahun, keramahan rakyat Malaysia, kestabilan politik dan pembangunan seimbang adalah antara faktor yang boleh menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama pemain golf.”
-Datuk Seri Najib Razak

Rakyat, marhaen terutamanya, selain daripada berperanan sebagai rakyat dan yang diperintah, ia juga berfungsi sebagai mesin pengeluaran dan penghasilan cukai kerajaan yang memerintah. Walaupun menganggur secara mutlak, rakyat tetap membayar cukai (Contoh: Harga tiket RM8.80, Cukai Hiburan RM2.20) kepada kerajaan yang memerintah. Tujuan rakyat membayar cukai kepada kerajaan yang memerintah bukan sebagai tanda "ufti" untuk kerajaan yang memerintah tetapi untuk kemaslahatan rakyat sendiri termasuklah pemerintah. Maka, dengan itu rakyat berhak untuk tidak menyokong keputusan kerajaan, melainkan keputusan kerajaan itu memberi pulangan yang berfaedah kepada rakyat. Kerajaan yang memerintah pastinya maklum bahawa pembuatan keputusan harus berlandaskan demokrasi.

Program pembangunan golf remaja juga boleh disifatkan sebagai sesuatu yang sinis dan sarkastikal. Pada rakyat, golf hanya layak dijadikan permainan, hobi atau sukan bagi golongan birokrat, teknokrat dan korporat. Manakala “hanya sekadar rakyat,” hanya mampu melihat karenah dan telatah birokrat, teknokrat dan korporat bermain golf seperti “Golongan Orang Lemah Fikiran (GOLF).”

Dari segi biaya bermain golf, rakyat secara keseluruhannya tidak berkemampuan kesan dan akibat daripada bebanan kos sara hidup yang tinggi. Hanya golongan birokrat, teknokrat dan korporat yang memiliki upaya biaya dan sememangnya berkemampuan. Tambahan pula, peralatan bermain golf keseluruhannya dibeli dari luar negara. Tentu mahal harganya. Rakyat sememangnya tidak mampu total. Sememangnya rakyat sudah tidak mampu, apatah lagi anak-anak rakyat yang muda remaja yang mengimpikan permainan yang berprestij ini.

Seterusnya, adakah program pembangunan golf remaja (yang disokong oleh kerajaan yang memerintah) benar-benar program pembangunan golf remaja? Golongan remaja yang bagaimana? Adakah golongan remaja yang datang daripada keluarga birokrat, teknokrat dan korporat dijadikan sebagai golongan remaja sasar? Bagaimana dengan golongan remaja yang datang daripada keluarga “hanya sekadar rakyat?” Adakah golongan ini juga diambil kira di dalam program pembangunan golf remaja?

Program pembangunan golf remaja bukanlah tidak mempunyai faedah yang bermanfaat, malah jika ia dibandingkan dengan program-program lain seperti program hiburan Akademi Fantasia, program pembangunan golf remaja lebih baik. Cuma adalah tidak wajar sekiranya program pembangunan golf remaja ini hanya menjurus kepada pencarian nama dan kebanggaan duniawi semata, dan hanya menguntungkan sebelah pihak sahaja iaitu golongan birokrat, teknokrat dan korporat. Sedangkan, sumber peruntukan RM1j adalah bersumber daripada hasil cukai rakyat yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan rakyat terutamanya rakyat yang tidak terbela dari segi ekonomi.

Daripada sudut sosial, program pembangunan golf remaja tidak lain dan tidak bukan hanyalah satu siri pengwujudan kasta sosial yang berbeza secara berterusan. Permainan, hobi dan sukan golf adalah permainan, hobi dan sukan golongan elit dan pertengahan. Realitinya, golongan yang mengangkat golf sebagai permainan, hobi dan sukan biasanya berada dalam kelompok kasta elit sosial. Tidak mustahil remaja yang dibentuk daripada program pembangunan golf remaja ini akan besifat elit dalam kelompok sosial. Remaja hari ini akan menjadi pemimpin negara pada masa akan datang. Bagaimana pula dengan tingkah laku dan gelagat sosial remaja yang terhasil dan terbentuk daripada program pembangunan golf remaja ini seandainya mereka menjadi pemimpin politik (Umno/BN terutamanya) di suatu masa nanti?

Manakala daripada sudut ekonomi pula, program pembangunan golf remaja ini boleh disifatkan sebagai langkah dan usaha kerajaan yang memerintah untuk melahirkan kelompok sosial yang berpendapatan tinggi. Rata-rata pemain golf sama ada pemain amatur atau professional, memiliki tangga pendapatan yang tinggi. Tangga pendapatan yang tinggi juga bermakna kuasa beli yang tinggi. Kuasa beli yang tinggi yang ada pada pemain golf pastinya mampu mengubah prestasi kelarisan produk-produk yang berharga tinggi. Prestasi kelarisan produk-produk yang berharga tinggi yang cemerlang, gemilang dan terbilang pastinya mampu mengubah pola perolehan cukai kerajaan yang memerintah. Maka bertambah makmur dan berlimpah-ruahlah pemimpin-pemimpin kerajaan yang memerintah. Rakyat, golongan marhaen terutamanya, pula bagaimana?

Sukan golf adalah sukan yang berprestij dan perlu dimainkan oleh pemain yang berprestij dari segi keprofesionalan bermain. Berprestij dari segi pakaian dan aksesori bermain golf atau berprestij dari segi memiliki set pemukul bola golf yang berbelas ribu harganya tidak boleh disifatkan sebagai “pemain berprestij.” Sekiranya kerajaan yang memerintah benar-benar ingin melahirkan pemain golf bertaraf handalan dunia melalui program pembangunan golf remaja, adalah lebih cemerlang, gemilang dan terbilang jika kerajaan yang memerintah mengwujudkan kelab sukan golf di sekolah-sekolah rendah kebangsaan di seluruh negara tanpa mengira letak kawasan sesebuah sekolah itu sama ada bandar atau luar bandar dan desa. Ini adalah sesuatu yang munasabah di dalam mencari dan menggilap pemain golf yang memiliki bakat dan kesungguhan yang boleh diketengahkan.

Untuk mencungkil bakat dan kesungguhan bermain golf, bakat dan kesungguhan itu perlu dikenalpasti pada peringkat akar umbi dan bukannya di peringkat “pucuk umbi.” Maka adalah cemerlang, gemilang dan terbilang sekiranya “Program Pembangunan Golf Remaja” ditukarkan kepada “Program Pembangunan Golf.” “Program Pembangunan Golf Remaja” adalah program pembangunan golf peringkat atau tahap “pucuk umbi.” Manakala “Program Pembangunan Golf,” adalah program pembangunan golf peringkat “akar umbi.” Jika dibuat perbandingan di antara “pucuk umbi” dan “akar umbi,” “akar umbi” adalah lebih cemerlang, gemilang dan terbilang dari segi hasilnya.

Di negara-negara yang telah banyak melahirkan pemain atau ahli sukan handalan dunia, selalunya program pembangunan sukan bermula pada tahap dan peringkat “akar umbi,” bukannya “pucuk umbi.” Mutu bola sepak Malaysia jatuh merudum kerana program pembangunan pemain bola sepak Malaysia lebih kepada tahap dan peringkat “pucuk umbi,” bukannya tahap dan peringkat “akar umbi.” Melentur buluh biarlah dari rebungnya, kalau tidak sungguh-sungguh yang susah kita. Cuba fikir dan renungkan.

Bagi kanak-kanak sekolah luar bandar dan desa, golf mungkin sesuatu yang masih asing bagi mereka. Manakala kanak-kanak sekolah bandar tahu serba sedikit tentang golf terutamanya yang datang atau berlatarbelakangkan golongan birokrat, teknokrat dan korporat. Namun kita perlu dan harus menginsafi akan Keagungan dan Maha Pemurahnya Allah Sang Pencipta. Allah menganugerahkan bakat atau kebolehan dan kemahiran bermain sesuatu permainan kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya tanpa mengira seseorang itu siapa. Tidak mustahil kanak-kanak sekolah luar bandar dan desa juga memiliki bakat, kebolehan dan kesungguhan bermain golf seandainya mereka ini didedahkan kepada “Apa itu golf?”

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.