Skip to main content

Umno/BN dan Pakatan Rakyat: vis-a-vis

Bibit-bibit retak meniti belah arena politik tanah air sudah mulai tampak. Umno/BN bak kapal layar tua yang hanya menanti masa dibaham badai laut gelora politik. Parti Pembangkang juga berada dalam keadaan yang serupa. Umno/BN dengan rasuahnya, Parti Pembangkang dengan derhakanya. Mungkin harapan rakyat boleh disandarkan dibahu BEBAS. Andaikan BEBAS juga tersungkur di dalam menjulang obor mandat dan amanat rakyat, maka adalah lebih baik sistem pemerintahan beraja dihidupkan semula.

Pada zahirnya, ahli politik boleh disifatkan sebagai golongan komuniti kecil yang dianggap istimewa sehingga mendapat jolokan “golongan insan terpilih.” Ahli-ahli politik sudah semestinya bukan calang-calang orang. Ilmunya bertingkat-tingkat, lagaknya hebat-hebat, pengaruhnya merambat rakyat dan lain-lain lagi. Namun agak menghairankan sejak akhir-akhir ini, ahli-ahli politik sudah jauh tersasar dari landasan “ahli.” Apa mungkin kelak apabila rakyat sudah tidak bersifat “pasif politik,” rakyat tidak akan percaya lagi kepada ahli-ahli politik tetapi masih percaya kepada politik.

Umno/BN dan Parti Pembangkang dasarnya kelihatan sama sahaja tetapi tidak serupa sedikit, tetapi pada kaca mata rakyat tetap juga kelihatan sama. Ahli-ahli politik kedua-dua parti (Umno/BN dan Parti Pembangkang) bermain dengan tari yang sama tetapi berbeza dengan rentak gendangnya. Ada yang sumbang dan ada yang sumbing, hingga rakyat berasa susah dan bingung. Namun apakan daya rakyat, tidak mempunyai kuasa eksekutif, yang ada hanya kuasa memangkah kertas undi setiap selang lima tahun. Seusai rakyat memangkah, ahli-ahli politik mendabik dada hingga ke tahap euphoria. Rakyat menderita dan sengsara terkena racun dan bisa politikus menikus.

Krisis politik yang berlaku di Perak pada zahirnya boleh disifatkan atau diandaikan sebagai hakikat politik. Namun bagi mereka yang arif tentang negatif dan posistif makro dan mikro politik pasti membuat kesimpulan: kecelakaan politik, sine qua non. Apa yang berlaku di Perak jelas memperlihatkan unsur-unsur semulajadi manusia, “ambitious” (tamak haloba, pengkhianat hasad dengki, keegoan yang menggunung dan lain-lain).

Manakala rakyat yang tahu politik tetapi tidak “ahli” dalam hal-hal politik diperkuda oleh pemimpin-pemimpin politik melalui demonstrasi emosional, mempersoal itu dan ini, yang mana akhirnya tidak membawa apa-apa makna melainkan membuang masa yang begitu penting (kepada perkara-perkara yang membawa ke arah pemajuan diri). Adakah rakyat yang diperkuda ini boleh disifatkan sebagai golongan orang lemah fikiran? Jika ya, siapa yang harus dipersalahkan dan diperbetulkan? Salahkan ibu yang melahirkan? Atau kesan kegagalan sistem pelajaran dan pendidikan yang digubal dan didasarkan oleh kerajaan yang memerintah? Menuding jari tanpa menghulurkan bantuan tidak akan menghasilkan permuafakatan.

Perbalahan perebutan kuasa di Perak di antara Umno/BN dengan Parti Pembangkang (Pakatan Rakyat) boleh disifatkan sebagai “vis-à-vis dalam merealisasikan kecelakaan dan kehancuran politik dan berpolitik di Malaysia (oh tanah airku, tanah tempat tumpahnya darahku). Kedua-duanya ingin menjadi jagoan rakyat (kononnya atas nama rakyat, kepada rakyat, dan untuk rakyat). Namun “atas nama” itu luput dari minda kedua-dua parti politik tersebut setelah mendapat “endorsement” rakyat seusai pilihan raya, sehingga kedua-duanya secara tidak sedar , “L’etat C’est moi!”

Kecelakaan politik yang berterusan seringkali disimpulkan dengan kesimpulan yang cetek. Ahli bijak pandai negara yang bertuan dengan kerajaan yang memerintah sering menyatakan bahawa kedua-dua pihak yakni ahli-ahli politik dan rakyat akan mendapat kerugian akibat kecelakaan politik. Namun pada realitinya, rakyatlah yang mengalami hambatan kerugian, manakala ahli-ahli politik walauppun sudah ditulah rakyat masih lagi hidup mewah berjela-jela kesan daripada sarat mengandung laba sewaktu bergelar politikus yang menikus sebegitu rakus sehingga tanah air dibumi-hangus.

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.